IPGM Terengganu anjur Bicara Tokoh Datuk Razali Ismail
2 Julai 2012
KUALA TERENGGANU – Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Datuk Razali Ismail akan menganjurkan Program Bicara Tokoh Allahyarham Datuk Razali Ismail di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini, esok.
Setiausaha program Zahar Ibrahim berkata usaha itu sebagai penghargaan kepada bekas timbalan menteri pelajaran tersebut selain mahu masyarakat mencontohi ketokohan Razali dalam memimpin bidang pendidikan.
“Pada program itu nanti tiga panel yang merupakan orang paling dekat dengan Allahyarham dijemput iaitu anak sulungnya, Mohd Norazli, bekas setiausaha sulitnya, Wan Hashim Mohd dan S.M. Nor yang merupakan sahabat Allahyarham sejak kecil.
“Ketiga-tiga panel tersebut akan membicarakan pelbagai aspek mengenai ketokohan sebagai seorang bapa, penjawat awam dan politik serta seorang rakan yang amat baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang juga merupakan bekas pelajar Allahyarham akan menjadi moderator program.
Katanya program yang mendapat kerjasama kerajaan negeri itu akan dirasmi Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Kira-kira 2,000 orang dijangka menyertai program tersebut merangkumi golongan pendidik, pensyarah dan guru pelatih serta bekas pengarah IPGM wilayah Timur.
Allahyarham Razali yang berasal dari Hulu Terengganu merupakan bekas pengarah IPGM kampus itu sebelum dipilih menjadi Anggota Parlimen Kuala Terengganu, dan dianggap arkitek pendidikan di negeri ini.
Razali meninggal dunia pada 28 November 2008 ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands. -Bernama