Kementerian kesal, projek sekolah gagal siap ikut jadual – Bernama


Kementerian kesal, projek sekolah gagal siap ikut jadual

2 Julai 2012
MIRI – Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zakarshi hari ini meluahkan rasa kesal kerana pembinaan blok baharu dan surau Sekolah Menengah Sains (SMS) Miri gagal disiap mengikut jadual.

Katanya projek tersebut sepatutnya siap dua bulan lepas, namun agensi pelaksana projek gagal berbuat demikian dengan pelbagai alasan termasuk kekurangan pekerja.

“Saya dah empat kali buat lawatan ke sekolah ini dan kali terakhir Januari lepas. Saya harap projek ini tidak dikategori projek sakit kelak,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek, di sini hari ini.

Pembinaan blok baharu dan surau SMS Miri bernilai RM10.9 juta itu bermula November lepas setelah cadangan memindahkan guru dan pelajar dari sekolah itu ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar dibatal, susulan bantahan banyak pihak kerana kedudukan SMK Tinjar yang terletak 120 km dari Miri selain hanya boleh dicapai dengan kenderaan pacuan empat roda.

Isu itu turut dibawa ke Parlimen untuk kajian semula dan mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

Mengenai isu lain, Mohd Puad berkata kementerian itu akan memperuntukkan RM100,000 kepada Sekolah Kebangsaan Sayed Othman bagi mengatasi masalah anai-anai.

Katanya peruntukan itu adalah penyelesaian sementara bagi sekolah yang terletak di tengah bandar raya Miri tersebut sebelum cadangan menaik taraf blok sedia dipertimbang.

Beliau berkata kerajaan pusat telah memperuntukkan RM125.8 juta kepada Sarawak untuk melaksanakan 553 projek di bawah Pakej Rangsangan Khas (PRK) yang bermula bulan ini dengan jangkaan siap dari hujung tahun ini sehingga 2014.

Mohd Puad berkata secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan RM900 juta untuk semua sekolah di negara ini menerusi PRK. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s