Remaja curi motor dicekup – Sinar Harian


Remaja curi motor dicekup
WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Julai 2012

Antara motosikal yang dileraikan untuk mendapatkan alat ganti.
IPOH – Walaupun pelbagai taktik dan helah digunakan untuk mengelak dicekup namun kegiatan seorang remaja berusia 15 tahun akhirnya tumpas di tangan sekumpulan ahli Persatuan Keselamatan Bandar Baru Pengkalan (PKBBP) dengan kerjasama polis selepas mendapati terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal sejak setahun lalu.

Remaja yang baru dibuang sekolah itu dipercayai melakukan kegiatan itu bersendirian dan menjual motosikal curi tersebut dengan harga murah iaitu antara RM300 ke RM500 kepada pelanggannya yang terdiri daripada mat rempit.

Ketua PKBBP, Liew Hong Meng berkata, ahlinya mendapat aduan mengenai kecurian motosikal itu daripada salah seorang rakan remaja terbabit yang turut menjadi mangsa apabila motosikalnya dicuri baru-baru ini.

Katanya, selepas mendapat maklumat tersebut, salah seorang daripada ahli persatuan menyamar berkawan dengan remaja terbabit dan meminta agar menjual motosikal kepadanya.

“Helah itu menjadi apabila remaja terbabit terpedaya dengan kata-kata ahli kami yang kemudian membawanya ke tempat simpanan motosikal curi di dalam semak di Pengkalan Pegoh Seberang.

“Bagaimanapun, rakan kami meminta remaja itu membawa motosikal yang hendak ‘dibeli’ ke rumah kelab di Taman Pakatan.

“Lebih kurang jam 1.30 pagi kami menahan remaja terbabit dan menghubungi polis untuk menjalankan tindakan lanjut,” katanya.

Hong Meng berkata, remaja itu sudah mencuri 13 motosikal dan menerima ribuan ringgit sepanjang melakukan kegiatan tersebut.

“Motosikal itu dicuri dan kemudiannya dijual kepada mat rempit yang lazimnya hanya mahukan alat ganti bagi tujuan mengubahsuai motosikal mereka. “Antara motosikal yang paling banyak menjadi ‘habuan’ remaja terbabit adalah daripada jenis Honda EX5,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengesahkan pihaknya ada menahan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan curi motosikal.

Menurutnya, remaja itu direman sehingga 5 Julai ini bagi membantu siasatan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s