Cipta alat bantu tukar tayar – Berita Harian


Cipta alat bantu tukar tayar

07:46:33 AM Oleh Nurhayati Abllah Cetak Emel Kawan

Mohd Yusof melihat pelajar SERATA, Farah Hanis Fadzil menunjukkan cara menggunakan ‘Nutty-Notty’ di Ipoh, semalam.
Hasil rekaan pelajar perempuan sekolah agama menang emas

Ipoh: Kesukaran menukar tayar kenderaan terutama bagi wanita menjadi ilham sekumpulan pelajar perempuan mencipta set membuka dan menukar tayar kereta mudah alih yang mereka namakan ‘Nutty-Notty’.

Kejayaan pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah (SERATA), di sini, itu diiktiraf apabila menerima anugerah medal emas pada Pameran Antarabangsa Pereka Muda 2012 di Bangkok, 28 hingga 30 Jun lalu.
Kumpulan dianggotai pelajar Tingkatan 4 dan 5 termasuk empat pelajar tahfiz itu juga membuktikan pelajar aliran agama juga kreatif dan mampu mereka cipta produk setanding sekolah aliran sains lain.

Kejayaan itu yang kelima apabila rekaan sama juga pernah menjuarai Pertandingan Anugerah Pencipta Muda Universiti Teknologi Petronas 2011, Ekspo Saintis Muda Perak 2011 (Kategori Inovasi Sekolah Menengah dan Sains), Hari Harta Intelek Negara 2012 (Kategori Inovasi Pelajar Sekolah Menengah) dan Pameran Inovasi dan Penciptaan Kejuruteraan Antarabangsa 2012.

Ketua kumpulan, Nor Ameera Nawi, 17, pelajar aliran sastera berkata, ada 522 penyertaan dari sembilan negara di Bangkok iaitu Thailand, Indonesia, Jepun, Hong Kong, Vietnam, Singapura, Taiwan, Filipina dan Malaysia.

“Kami bangga kerana dapat membuktikan rekaan pelajar sekolah agama diterima pada peringkat dunia. Sekurang-kurangnya, kami dapat membuktikan, pelajar sekolah agama bukan sekadar mementingkan ilmu keagamaan tetapi pada masa sama seimbang dengan ilmu sains serta bidang akademik lain,” katanya pada sidang media mengenai kejayaan itu di sekolahnya di sini, semalam.
Beliau berkata, kumpulannya mengambil masa tiga minggu untuk menghasilkan rekaan berkenaan bermula Julai 2011 dan rekaan itu sudah dipatenkan pada 27 Mac lalu.

“Kami tidak sangka rekaan yang hanya menelan kos kira-kira RM30 kini mampu dijual RM100 seunit bagi tujuan komersial. Ada beberapa syarikat sudah menunjukkan minat mengeluarkan produk berkenaan,” katanya.

Seorang lagi ahli kumpulan, Afifah Husain, 17, berkata set ‘Nutty-Notty’ itu ringan dan tahan karat, mampu membantu pemilik menggantikan tayar dalam tempoh dua hingga tiga minit berbanding enam hingga 12 minit mengikut kaedah biasa.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusof Husin; Pengetua SERATA, Noor Aini Zainal Abidin dan guru pengiring kumpulan itu, Ahmad Rezaudin Hussein.

Yusof berkata, kejayaan itu mampu meningkatkan imej sekolah agama negeri kerana terbukti mereka mampu bersaing dalam bidang rekaan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s