Kelab Doktor Muda disaran sebagai program pendidikan kesihatan – Bernama


Kelab Doktor Muda disaran sebagai program pendidikan kesihatan

7 Julai 2012
PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini menyarankan Kementerian Pelajaran agar program Kelab Doktor Muda dilaksanakan sebagai program pendidikan kesihatan berterusan dan secara automatik di semua sekolah rendah di negara ini.

Liow berkata langkah itu penting kerana sehingga Jun lepas, hanya 1,500 sekolah menjayakan program itu dengan penglibatan 36,000 pelajar, berbanding 2,860,340 murid sekolah rendah daripada 7,714 sekolah di seluruh negara.

“Bilangan ini hanya 19 peratus daripada jumlah sekolah rendah di seluruh negara. Ia satu bilangan yang masih kecil,” katanya ketika merasmikan Sambutan Minggu Doktor Muda Peringkat Kebangsaan dan Karnival Jelajah Sihat Putrajaya 2012, di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Kawalan Penyakit Dr Chong Chee Kheong. Turut hadir Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pelajaran, Muhamat Roli Hasan yang mewakili Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

Bermatlamat melahirkan murid yang mementingkan dan mengutamakan kesihatan, Kelab Doktor Muda merupakan program bagi murid sekolah tahun 4, 5 dan 6 yang terpilih dan terlatih sebagai pembimbing rakan sebaya yang bertindak sebagai pemangkin kepada perubahan pengetahuan, sikap dan amalan kesihatan yang positif dalam kalangan pelajar sekolah.

Katanya kewujudan kelab itu dilihat sebagai rasional memandangkan murid-murid kini berhadapan dengan pelbagai isu kesihatan yang serius antaranya obesiti, keracunan makanan, demam denggi, penyakit kulit dan masalah kutu.

“Kementerian Kesihatan menerusi Bahagian Pendidikan Kesihatan akan mengambil inisiatif melatih lebih ramai guru dan anggota kesihatan agar kerkemahiran dan terlatih dalam melaksanakan program ini,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kementerian pelajaran yang mewartakan Minggu Sihat Doktor Muda dari 1 hingga 7 Julai setiap tahun dalam kalendar pendidikan negara. – Bernama

30 pelajar keracunan makanan – Sinar Harian


30 pelajar keracunan makanan
NOOR ‘AINON MOHAMED YUSOF
7 Julai 2012
SUNGAI SIPUT – Seramai 30 pelajar sebuah sekolah menengah di sini terpaksa menerima rawatan selepas mengalami muntah-muntah, loya, sakit perut dan cirit biritselepas bersarapan pagi tadi.

Difahamkan, kesemua pelajaritu yang berusia 15, 17 dan 19 tahun mengalami keracunan makanan setelah bersarapan di kantin asrama sebelum mengikuti program motivasi khas untuk pelajar tingkatan tiga, lima dan enam.

Mereka bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Suspek Pasangan Pelajar Sorok Bayi Dalam Beg Ditahan – Bernama


Suspek Pasangan Pelajar Sorok Bayi Dalam Beg Ditahan
KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang remaja lelaki untuk membantu siasatan kes pelajar perempuan berumur 16 tahun yang menyembunyikan anak yang baru dilahirkannya di dalam beg galas, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata suspek berumur 19 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Cherang Guling, Marang kira-kira pukul 4 pagi ini.

Katanya tangkapan dibuat berdasarkan maklumat yang diberi pelajar perempuan Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di sini.

“Kita terus menahan suspek sebaik maklumat diperoleh. Suspek kini direman sehingga 13 Julai ini untuk membantu siasatan berhubung kes kematian bayi itu,” katanya kepada pemberita, di sini, Sabtu.

Manoharan berkata siasatan awal mendapati remaja lelaki itu dan pelajar perempuan berkenaan bukan pasangan kekasih namun kedua-duanya dipercayai mengadakan hubungan seks sebanyak dua kali tahun lepas.

Katanya siasatan turut dilakukan sama ada remaja lelaki itu pernah terlibat dalam kes jenayah lain.

Bernama sebelum ini melaporkan tindakan seorang pelajar perempuan yang mengadu sakit perut, mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)di sini, akhirnya mengaku baru melahirkan anak dan menyembunyikan bayi itu di dalam sebuah beg galas.

Beg galas yang mengandungi bayi perempuan yang dilahirkan pada pukul 1 pagi Selasa itu kemudian diberi kepada rakan perempuannya tanpa memberitahu isi kandungannya.

Mayat bayi perempuan yang cukup sifat itu kemudiannya ditemui di dalam beg galas itu apabila doktor yang merawat pelajar terbabit menghubungi rakan pelajar itu dan memintanya membawakan beg berkenaan pukul 6 petang hari yang sama. -BERNAMA

Tiga Pelajar Di Nilai Cedera Diserang Sekumpulan Lelaki – Bernama


Tiga Pelajar Di Nilai Cedera Diserang Sekumpulan Lelaki
KUALA LUMPUR: Tiga pelajar tingkatan enam sebuah sekolah menengah di Nilai, Negeri Sembilan cedera selepas dikatakan diserang sekumpulan lelaki di kawasan sekolah itu dalam kejadian 10.45 malam Jumaat.

Bapa seorang mangsa, ASP Zulkarnain Ismail dari Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, berkata anaknya dibelasah tiga lelaki berumur lingkungan 20-an selepas cuba menyelamatkan rakan yang dipukul di depan pejabat sekolah.

“Saya dimaklumkan anak saya (Muhammad Najib) bahawa kejadian berlaku ekoran seorang pelajar tingkatan tiga tidak berpuas hati dengan teguran kerana membuat bising yang dibuat seorang mangsa yang ketika itu bertugas sebagai fasilitator bagi program yang dianjurkan pihak sekolah.

“Pelajar (tingkatan tiga) itu kemudian menghubungi abangnya yang kemudian datang ke sekolah bersama dua lagi rakan sebelum membelasah pelajar tingkatan enam berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Zulkarnain berkata anaknya serta seorang lagi rakan yang cuba membantu Mohd Salman Mohd Ismail, 18, mengalami luka dan bengkak. Sementara itu, Mohd Salman berkata ketika kejadian, beliau sedang melihat aktiviti sekumpulan pelajar tingkatan tiga, sebelum seorang suspek menghampiri dan menumbuknya bertubi-tubi.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd Salman berkata seorang guru cuba menyelamatkan beliau namun tiga lelaki tersebut terus membelasahnya.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Nilai dan dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu. -BERNAMA