Tingkat tahap keselamatan, kesihatan sekolah: NUTP – Bernama


Tingkat tahap keselamatan, kesihatan sekolah: NUTP

16:48:33 PM Cetak Emel Kawan

KUALA TERENGGANU: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Kementerian Pelajaran Malaysia mempertingkat tahap keselamatan dan kesihatan di semua sekolah di negara ini dengan menyediakan kos penyelenggaraan yang diperlukan.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata banyak punca kemalangan di sekolah adalah berkaitan masalah penyelenggaraan yang sering terabai akibat kekangan kewangan.

“Penyelenggaraan di sekolah perlu dipantau dari semasa ke semasa, dan pengurusan sekolah mesti diberi peruntukan yang cukup untuk membaiki setiap kerosakan infrastruktur bagi mengelakkan kemalangan berlaku di kawasan sekolah.
“Antara infrastruktur yang perlukan penyelenggaraan ialah pendawaian elektrik yang sudah terlalu lama, tandas dan tangga bangunan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ceramah di Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu hari ini.

Lebih 400 pengetua dan guru besar hadir sempena program kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan sekolah yang dirasmikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Mengulas permintaan pengetua dan guru besar yang mahu kementerian menyediakan kenderaan di setiap sekolah, Lok berkata kerajaan tidak mampu melaksanakan perkara itu kerana membabitkan kos yang sangat besar kerana terdapat 10,000 sekolah di seluruh negara.

“Kita akan fikirkan alternatif lain yang lebih selamat, dan buat masa sekarang, sekolah perlu menyediakan kenderaan untuk membawa pelajar ke program atau aktiviti di luar kawasan sekolah.
“Mungkin boleh gunakan teksi yang pemandunya kita kenal dan percayai, atau menggunakan kereta guru di mana kereta itu perlu dipastikan selamat, dan jika terjadi sebarang kemalangan, guru tersebut tidak boleh diambil tindakan mahkamah kerana dia hanya menjalankan tanggungjawabnya sahaja,” katanya sambil menambah NUTP sering membawa isu ini ke peringkat kementerian namun belum mendapat kata putus.

Beliau turut mengingatkan semua pengetua dan guru besar agar meluluskan permohonan cuti tambahan 30 hari yang dikemukakan guru wanita yang hendak bersalin.

Sehingga kini, katanya, semua guru yang bersalin diberi cuti selama 60 hari dan perlu mengemukakan permohonan cuti tambahan jika mahu terus bercuti selama 90 hari.

“Tolong luluskan permohonan cuti tambahan ini kerana kita sudah ada kes di mana terdapat guru besar dan pengetua yang enggan meluluskan cuti tambahan ini sedangkan ini berkait rapat dengan faktor kesihatan guru itu sendiri,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s