Nenek maut dalam kemalangan ketika jemput cucu – Bernama


Nenek maut dalam kemalangan ketika jemput cucu

9 Julai 2012
KUANTAN – Seorang nenek yang menjemput pulang dua cucunya dari sekolah, maut dirempuh sebuah motosikal ketika cuba melintas jalan di Kilometer 10, Jalan Jerantut-Temerloh dekat Sanggang semalam.

Dalam nahas 5.45 petang itu, mangsa Ramlah Ali, 64, dari Kampung Baru Paya Luas, Kuala Krau cedera parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh.

Sementara itu, dua cucunya, Kurniawati Karna Hidayat, 16, dan Khairul Nazim Karna Hidayat, 7, turut mengalami kecederaan dan dirawat di hospital sama.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Superintenden Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata penunggang motosikal terbabit, Ahmad Arshad, 62, dari Jengka 22, Bandar Jengka, Maran cedera parah.

Beliau berkata mangsa bersama cucunya dilanggar Ahmad yang dipercayai gagal menghentikan motosikalnya, menyebabkan mereka terjatuh di atas jalan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki maut manakala abang, adik dan seorang rakannya terselamat selepas kereta yang mereka naiki berpusing sebelum melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 91.8 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat Bentong, petang semalam.

Mohamed Fauzi berkata dalam nahas 7.25 petang itu, mangsa Mohamed Adam Che Rasdi, 29, dari Kampung Permatang Piah, Jalam Kolam Melor, Kelantan cedera parah dan disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Bentong.

Abang mangsa, Mohd Rasdan Che Rasdi, 31, dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur dan adiknya, Mohd Fadly Hisham Che Rasdi, 27, serta rakan mereka Ahmad Nor Nasriq Mohammad Nor Azman, 24, dari Felcra Keruak, Jertih, Terengganu terselamat dan hanya cedera ringan.

Mohamed Fauzi berkata ketika kejadian, semua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala Kuala Lumpur, dan kenderaan yang mereka naiki dipercayai mengalami kerosakan stereng.

“Ini menyebabkan kenderaan tersebut tidak dapat dikawal lalu berpusing beberapa kali sebelum merempuh besi penghadang jalan di sebelah kiri dan kereta yang dinaiki mereka remuk di bahagian hadapan,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s