Remaja 17 tahun ditahan bantu siasat kes ragut kerani wanita – Bernama


Remaja 17 tahun ditahan bantu siasat kes ragut kerani wanita

10 Julai 2012
MELAKA – Polis menahan seorang remaja yang dipercayai terlibat dalam kes ragut seorang kerani wanita yang meninggal dunia sehari selepas kejadian itu di Jalan Benteng, Balai Panjang empat hari lepas.

Remaja lelaki berusia 17 tahun yang tidak bersekolah itu ditahan bersama tiga lagi lelaki berusia 20-an dalam satu operasi khas di dua inap desa di Merlimau dan Semabok bermula 1.30 petang semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Supt R. Gunarajan berkata kesemua mereka dipercayai merupakan ahli kumpulan yang terlibat dalam 15 kes pecah rumah dan ragut di sekitar daerah Melaka Tengah dan Jasin sejak tahun lepas.

Beliau berkata hasil siasatan, remaja terbabit mengaku mengambil beg tangan dari raga motosikal mangsa dalam kejadian berkenaan.

“Ketika kejadian, remaja itu membonceng motosikal yang ditunggangi seorang lagi rakannya yang masih dijejaki,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 8.05 pagi Sabtu lepas, mangsa, Tang Mui Choo, 35 yang menunggang motosikal diragut dua lelaki ketika dalam perjalanan ke tempat kerja menyebabkannya terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala dan rusuk sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya.

Gunarajan berkata dalam operasi itu polis turut menemui tiga komputer riba, lapan telefon bimbit pelbagai jenama, beg duit dan matawang asing dan empat topi kaledar yang dipercayai hasil ragut dan pecah rumah.

Beliau berkata kumpulan tersebut dipercayai menggunakan taktik bersembunyi di inap desa atau hotel dan keluar meragut untuk membeli dadah.

Katanya kesemua mereka yang juga positif dadah jenis methamphetamine kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s