‘Saya takkan lupa pesan ayah’
WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Julai 2012
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.
PORT DICKSON – “Saya tidak akan lupa pesan ayah sampai bila-bila yang sentiasa mengingatkan saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan menjaga adik.” Itu janji Nurul Syafikah, 15, anak ketiga kepada mangsa yang ditemui mati terapung, Azizuddin Mohd Tahar, 43.
Mangsa ditemui terapung di sebuah lombong tinggal di Pengkalan Durian, pagi semalam.
Nurul Syafikah berkata, setiap kali bertemu, ayahnya tidak akan lupa meninggalkan pesanan itu.
“Kali terakhir saya bertemu dengan ayah kira-kira dua bulan lalu dan dia adalah ayah yang baik,” katanya.
Sinar Harian difahamkan, mangsa sudah berpisah dengan isterinya, Nor Hazlina Sulaiman, 40, dan meninggalkan lima anak, Mohd Norsyafaiz, 20, Mohd Norhamizan, 17, Nurul Syakira, 8, Nurul Shaukina, 6, termasuk Nurul Syafikah dan kesemua mereka tinggal bersama ibu mereka di Kampung Sega.
Nurul Syafikah yang bakal mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hujung tahun ini berkata, dia terkejut menerima berita penemuan mayat ayahnya itu.
“Abang datang ke sekolah dan memaklumkan berita sedih ini sebelum kami adik-beradik ke hospital,” katanya.
Dua hari tak pulang ke rumah
Sementara itu, kakak mangsa, Norazidah, 60, berkata, dia ada bertemu adiknya itu pada 3 Julai lalu ketika majlis kenduri di rumah saudara.
Menurutnya, arwah adalah anak ke-10 daripada 11 beradik dan hanya bekerja kampung.
“Arwah tinggal bersama seorang lagi kakaknya, Nor Ani Kalsom, 56, di Kampung Kuala Sawah, Rantau.
“Nor Ani ada memaklumkan ketika mangsa hendak keluar rumah pada malam Ahad lalu, dia sempat bersalaman dan mengatakan akan keluar sekejap serta akan pulang segera,” katanya.
Norazidah berkata, dia tidak mengesyaki apa-apa setelah arwah tidak pulang ke rumah selama dua hari berikutan dia sering keluar berhari- hari sebelum pulang semula.
“Saya hanya dimaklumkan kejadian ini selepas salah seorang rakan arwah menghubungi saya,” katanya.
Lihat objek besar terapung
Seorang kaki pancing, Ramli Mustakim, 39, tidak menyangka objek terapung di tengah lombong pasir tinggal di Pengkalan Durian yang dilihatnya adalah mayat manusia.
Ramli berkata, dia datang ke lombong tinggal itu untuk memancing dan memang kerap ke kawasan itu.
“Saya tiba di kawasan berkenaan sekitar jam 9.30 pagi dan terus memasang joran untuk memancing.
“Selepas itu saya ternampak objek besar terapung dihanyutkan arus dan bila diperhatikan dengan teliti baru saya sedar ia adalah mayat manusia,” katanya.
Menurutnya, ketika itu mayat ditemui dalam keadaan meniarap dan rambutnya ditocang.
“Saya segera memaklumkan kejadian kepada penjaga kawasan yang berada di pondok pengawal kira-kira 200 meter dari lokasi lombong,” katanya.
Ramli yang datang bersama isterinya, Salmiah Hussien, 36, berkata, ia adalah kali kedua dia menemui mayat ketika memancing.
“Kejadian kali pertama adalah kira-kira 15 tahun lalu di kawasan pantai Telok Kemang,” katanya.
Tiada unsur jenayah
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah terhadap mangsa.
“Anggota Bomba dan Penyelamat Telok Kemang membawa mangsa ke darat sebelum dihantar Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat.
“Jenazah dituntut keluarga petang semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Sawah, Rantau,” katanya.