Didik insan intelektual – Metro


Didik insan intelektual
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Warga pendidik disaran supaya memainkan peranan sebaik mungkin dalam melengkapkan generasi masa depan dengan membangunkan modal intelektual mereka khususnya kemampuan berfikir pada tahap lebih tinggi iaitu tajam, mendalam, kreatif dan inovatif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, usaha itu penting kerana negara berhasrat melahirkan anak bangsa bukan hanya untuk menikmati kemajuan hari ini semata-mata, tetapi untuk masa depan negara yang lebih gemilang.
Menurutnya, pada masa depan generasi terbabit terpaksa mengisi pekerjaan mungkin masih belum wujud pada hari ini, manakala cabaran dihadapi negara pula ialah usaha mencari jalan untuk menyediakan mereka dalam menghadapinya.

“Kalau sebut modal intelektual itu mungkin kita boleh pecahkan, perincikan kepada kemampuan kita berfikir pada peringkat pemikiran lebih tinggi. “Sebab kita nak melahirkan anak Malaysia bukan untuk hari ini tapi untuk masa akan datang, di mana keadaan masa akan datang mungkin mereka ini terpaksa mengisi pekerjaan yang hari ini belum lagi wujud, hari ini kita tak dapat fikir. “Jadi, bagaimana kita nak menyediakan mereka untuk pekerjaan yang belum lagi wujud. Jawapannya, kita tak boleh sebab kita tak tahu apa jenis pekerjaan akan diisi oleh mereka. Cuma kita boleh menyediakan mereka dari segi kemampuan berfikir,” katanya berucap pada Perhimpunan Perdana Guru Cemerlang 2012, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.
Perhimpunan dihadiri kira-kira 1,500 guru cemerlang itu dikelolakan Biro Tatanegara (BTN) dengan kerjasama Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) serta Majlis Guru Cemerlang Malaysia (MGCM) dengan tema Guru Cemerlang Inovatif Merealisasikan Transformasi Pendidikan.

Najib berkata, guru cemerlang adalah ikon komuniti pendidikan yang memainkan peranan kerana mereka tahu mengenai cara menguruskan proses pembelajaran dan pengajaran bagi menyuntik motivasi di kalangan pelajar, di samping mencetuskan idea baru di bidang pendidikan.
“Kita mesti mencabar diri supaya sesuatu yang tidak konvensional itu (idea baru) boleh difikirkan untuk kita memecahkan sesuatu kebuntuan permasalahan ataupun untuk mencari alternatif lebih baik daripada kita terus menerima sesuatu itu,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga apabila jumlah guru cemerlang kini sudah mencecah 13,000 orang, malah sesetengahnya menikmati pangkat lebih tinggi iaitu Jusa C.
“Guru, terutama guru cemerlang boleh kita jadikan ikon di kalangan masyarakat. Keputusan mewujudkan guru cemerlang ini amat tepat sekali. Saya berdoa semoga guru cemerlang ini akan terus kita dapat tambah lagi,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, beliau juga berasa amat bimbang apabila mendengar peratusan pelajar yang memilih aliran sains sudah menurun.
“Saya rasa amat bimbang, kita mesti mencapai nisbah 60:40, (iaitu) 60 peratus mesti dalam sains, teknologi. Inilah teras kepada negara maju. Negara maju mestilah berdasarkan bidang utama iaitu berasaskan teknologi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/13

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s