Pelajar sekolah agama juara tinju Sukma Pahang – Bernama


Pelajar sekolah agama juara tinju Sukma Pahang

15 Julai 2012

Sukma 2012
KUANTAN – Pelajar sekolah agama, Muhamad Hazizul Hakim Md Sukor, muncul juara tinju kategori berat badan 52 kilogram lelaki pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang berlangsung di Dewan Bitara, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin hari ini.

Muhamad Hazizul Hakim dinobat sebagai pemenang pingat emas selepas menewaskan peninju Pulau Pinang A. Jagadish dengan kiraan mata 20-15.

Pingat gangsa milik Mohd Azman Mohd Azhar dari Kelantan dan peninju Pahang Mohd Zulfadlie Ibrahim.

Muhamad Hazizul Hakim, yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Al-Quran Waddin, berkata beliau bersyukur dengan kejayaan itu dan ia sesuatu yang besar untuk diri sendiri selain hadiah kepada ibu bapa serta jurulatih yang banyak memberi dorongan kepadanya selama ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Tinju Amatur Johor yang banyak membantu saya,” kata.

Anak bongsu daripada empat beradik itu juga mengakui memilih sukan tinju kerana dapat melepaskan tekanan ketika beraksi.

Anak kelahiran Larkin itu juga berhasrat mencontohi idolanya, peninju negara Muhamad Farkhan Mohd Harun, yang disifatkan mempunyai gaya bersahaja ketika beraksi.

“Saya amat tertarik dengan gaya Muhamad Farkhan dan berharap dapat menjadi seorang peninju yang baik seperti beliau satu hari nanti,” katanya yang mula meminati sukan itu sejak berusia 13 tahun.

Muhamad Hazizul Hakim berkata ada juga rakan yang memintanya meninggalkan sukan itu namun beliau enggan berbuat demikian.

“Sukan tinju telah menjadi darah daging saya, tidak mungkin saya akan beralih darinya,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s