Mohon elaun bilal, siak dan guru Kafa dinaikkan – Sinar Harian


Mohon elaun bilal, siak dan guru Kafa dinaikkan
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Julai 2012
PERAK TENGAH – Ketua Umno Bahagian Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan meminta supaya bayaran elaun bagi bilal, siak dan guru Kafa dikaji semula memandangkan bayaran elaun kini masih di tahap lama.

Menurutnya, golongan berkenaan telah melakukan kerja-kerja untuk kemudahan para jemaah dan penduduk, sepatutnya mereka menerima bayaran elaun yang berpatutan.

“Kita mencadangkan supaya elaun ini dapat dinaikkan memandangkan mereka juga bekerja untuk mengimarahkan masjid dan elaun itu adalah sebagai satu penghargaan kepada mereka.

“Begitu juga dengan guru Kafa, mereka mempunyai pengaruh tertentu dalam kalangan masyarakat dan kita tidak mahu timbul sebarang masalah jika elaun masih tidak dinaikkan,” katanya ketika perasmian mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Parit, di sini semalam.

Mesyuarat itu telah dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Hadir sama, Ahli Parlimen Parit, Drs Mohd Nizar Zakaria, Ketua Wanita Umno Bahagian Parit, Asmah Laily Abd Rahman dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Parit, Khairul Shahril Mohamed.

Mohd Zaim berkata, perkara itu perlu dikaji semula supaya tidak timbul sebarang masalah di kemudian hari. “Kita harap perkara ini dapat dibawa ke peringkat jemaah menteri untuk dibincangkan dan difikirkan bagi kenaikkan elaun itu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Blanja.

Sementara itu, beliau menegaskan kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba memperkotak-katikkan agama Islam. “Kita harus memastikan agama Islam dijaga dan tidak boleh dibuat main-main. Jika ada yang berbuat demikian tindakan tegas harus diambil,” katanya.

Dalam ucapannya juga Mohd Zaim berkata, pilihan Raya Umum ke-13 adalah satu pilihan raya yang paling kritikal.

“Kita harus mencari cara yang terbaik bagi memenangi ketiga-tiga kerusi di Parlimen Parit dalam pilihan raya nanti.

“Oleh sebab itu, kita menjemput Dr Mashitah untuk memberi pandangan dan nasihat sebagai panduan kita di sini,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak mahu lagi kejadian dahulu (bertukar kerajaan) berlaku lagi di Perak dan dapat mempertahankan kerusi kerajaan sedia ada.

Sementara itu, Dr Mashitah berkata, berkenaan bayaran elaun bilal, siak dan guru Kafa berkenaan adalah sedang dalam perhatian.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s