Berkat kerjasana Ibu Bapa, Guru – Sinar Harian


Berkat kerjasana Ibu Bapa, Guru
NOOR AINULYAKIN MOHAMAD ISHAK
16 Julai 2012

Suriani beramah mesra dengan penjual pada program tersebut.
Bagi sesebuah sekolah, keperluan mengumpul dana untuk sesuatu perancangan pasti tidak akan berjaya jika tiada sokongan daripada warga sekolah dan masyarakat sekeliling yang keseluruhannya bertujuan meningkatkan mutu pendidikan serta pembangunan sekolah.

Selain mendapat dana daripada kerajaan, banyak lagi dana mahu digunakan justeru berdikari untuk mencari dana sendiri lebih memuaskan pihak sekolah untuk menyediakan kemudahan dan kelengkapan pendidikan yang sempurna kepada pelajarnya.

Begitulah dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam apabila berinisiatif mengadakan program Bacaton dan Hari Koperasi 2012 baru-baru ini yang dilihat mendapat sambutan menggalakkan daripada warga sekolah. Majlis dua hari itu telah dirasmikan oleh Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan, Manap Katis.

Pengetuanya, Datin Suriani Supardi berkata, kerjasama daripada ibu bapa, guru, pelajar dan masyarakat sekitar amat penting untuk mendorong pihak sekolah menghasilkan pelbagai kecemerlangan baik dalam akademik atau kokurikulum.

Menurutnya, justeru melalui penganjuran program seperti Bacaton dan Hari Koperasi sekolah sedikit sebanyak menyumbang dana kepada sekolah hasil kutipan pelajar dan guru menggunakan sistem kad.

“Kami hanya membenarkan pelajar tingkatan lima mengutip sendiri dana masing-masing manakala kad kutipan pelajar bawah 16 tahun dipegang oleh ibu bapa untuk mengumpul dana.

“Kutipan Bacaton ini telah bermula pada 2 Julai sehingga 26 September ini yang menyasarkan dana sebanyak RM100,000 hingga RM150,000 untuk pelbagai tujuan,” katanya kepada Sinar Harian.

Untuk pengetahuan, program Bacaton diadakan semula oleh pihak sekolah setelah kali terakhir diadakan pada 2008 di mana program yang sama tetapi dengan nama berbeza iaitu Senamrobikton.
Dana pembangunan sekolah

Kata Suriani, pemilihan nama Bacaton ini bersesuaian dengan objektif sekolah untuk mengumpul dana bagi kegunaan Pusat Sumber Sekolah (PSS) sebagai persediaan pada Pertandingan PSS Peringkat Kebangsaan tahun hadapan.

“Selain itu, dana kepada PSS ini, bagi menambah baik pengurusan dan kelengkapan PSS sekolah yang sering digunakan pelajar untuk mencari bahan rujukan serta mengulang kaji pelajaran.

“Justeru pada tahun lepas, PSS kami menerima Anugerah PSS terbaik Peringkat Negeri dan berharap pada peringkat Kebangsaan nanti akan turut menerima anugerah terbaik,” katanya.

Suriani menambah, selain dana untuk PSS, pihak sekolah juga mahu menggunakan dana tersebut untuk program peningkatan prestasi sekolah dan pembentukan sahsiah pelajar.

“Kami mahu memastikan keputusan pelajar sentiasa cemerlang dan meningkat dengan adanya pelbagai program pendidikan yang diadakan pihak sekolah hasil kerjasama ibu bapa dan pelajar sendiri.

“Sejak program peningkatan prestasi diadakan, kita nampak hasil sangat memberangsangkan apabila baru-baru ini, sekolah menerima Anugerah Kualiti Lonjakan Saujana peringkat negeri dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah tahun lalu,” katanya.

Kejayaan itu kata Suriani merupakan berkat kerjasama antara PIBG dan sekolah di mana ibu bapa sangat memberi kepercayaan kepada pihak sekolah untuk mengadakan pelbagai program demi kebaikan anak-anak mereka.

Tidak penting juga kata Suriani, dana daripada Bacaton ini nanti akan turut digunakan untuk menyiapkan surau sekolah yang kini 80 peratus telah siap.

“Surau sekolah ini, hanya tinggal menyiapkan bilik air dan tempat mengambil wuduk sahaja dan dijangka akan dirasmikan pada 26 September akan datang jika kutipan mencapai sasaran yang diingini.

“Pembinaan surau ini sebagai menampung jumlah pelajar yang semakin ramai dan memudahkan sekolah mengadakan program keagamaan di surau yang lebih selesa dan besar,” katanya yang telah berkhidmat sebagai Pengetua di sekolah berkenaan selama tujuh tahun.
Nilai keusahawanan

Pada program Bacaton dan penutupan Hari Koperasi itu, pelbagai gerai jualan diadakan oleh pelajar dan kakitangan sekolah termasuk pihak luar yang merangkumi gerai makanan, pakaian, permainan dan perkhidmatan.

Suriani berkata, secara langsung, penjualan ini memberikan kemahiran baru kepada pelajar untuk mempelajari selok-belok perniagaan sekali gus menerapkan nilai keusahawanan dalam diri pelajar.

“Dalam urusan penjualan dan pembelian, kami menggunakan kaedah kupon yang tertera harga 50 sen, RM1, RM2 dan RM5 dan kaunter jualan kupon disediakan untuk memudahkan pembeli membeli barangan yang diingini.

“Setiap hasil jualan, 20 peratus daripada keuntungan akan disumbangkan kepada sekolah dan selebihnya menjadi milik peniaga berkenaan. Selain membeli barang, pembeli dan penjual secara tidak langsung turut menyumbang dana kepada sekolah,” katanya.

Pencapaian yang turut boleh dibanggakan adalah apabila, sekolah yang mempunyai 2200 pelajar dan 148 guru ini merupakan antara tiga sekolah pertama yang mewujudkan Koperasi (Coop 1 Malaysia) di negara ini.

“Coop ini menjual pelbagai barangan keperluan harian untuk kemudahan warga sekolah dan ibu bapa dengan harga berpatutan.

“Keuntungan daripada pengurusan Coop 1Malaysia ini, akan turut disumbangkan kepada sekolah sebagai kutipan dana untuk pelbagai kegunaan,” katanya.

Jelas Suriani, semua pencapaian ini adalah usaha sama semua pihak terutama ibu bapa yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada sekolah demi melihat sekolah dan anak berjaya dalam pelbagai bidang.

Empat bilik SMK Bachok musnah dalam kebakaran – Sinar Harian


Empat bilik SMK Bachok musnah dalam kebakaran

16 Julai 2012
KOTA BHARU – Empat bilik di blok bangunan lama Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok dekat sini musnah dalam kebakaran malam semalam dengan kerugian dianggarkan RM150,000.

Pegawai Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Azmi Ibrahim berkata bilik yang musnah dalam kebakaran kira-kira 9.55 malam itu ialah bilik kaunseling, bilik sukan, bilik pendidikan seni dan bilik suis utama.

Katanya seramai 16 anggota bomba membabitkan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok dan Pengkalan Chepa dengan dibantu anggota bomba sukarela, berjaya mengawal api daripada merebak ke bangunan berhampiran dan kebakaran dapat dipadam sepenuhnya pada 11.15 malam.

Unit Siasatan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu sedang menyiasat punca kebakaran itu, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Bachok Saupi Majid berkata kebakaran itu tidak menjejaskan pembelajaran lebih 800 pelajar sekolah berkenaan kerana ia tidak melibatkan bilik darjah. – Bernama

Mohon elaun bilal, siak dan guru Kafa dinaikkan – Sinar Harian


Mohon elaun bilal, siak dan guru Kafa dinaikkan
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Julai 2012
PERAK TENGAH – Ketua Umno Bahagian Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan meminta supaya bayaran elaun bagi bilal, siak dan guru Kafa dikaji semula memandangkan bayaran elaun kini masih di tahap lama.

Menurutnya, golongan berkenaan telah melakukan kerja-kerja untuk kemudahan para jemaah dan penduduk, sepatutnya mereka menerima bayaran elaun yang berpatutan.

“Kita mencadangkan supaya elaun ini dapat dinaikkan memandangkan mereka juga bekerja untuk mengimarahkan masjid dan elaun itu adalah sebagai satu penghargaan kepada mereka.

“Begitu juga dengan guru Kafa, mereka mempunyai pengaruh tertentu dalam kalangan masyarakat dan kita tidak mahu timbul sebarang masalah jika elaun masih tidak dinaikkan,” katanya ketika perasmian mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Parit, di sini semalam.

Mesyuarat itu telah dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Hadir sama, Ahli Parlimen Parit, Drs Mohd Nizar Zakaria, Ketua Wanita Umno Bahagian Parit, Asmah Laily Abd Rahman dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Parit, Khairul Shahril Mohamed.

Mohd Zaim berkata, perkara itu perlu dikaji semula supaya tidak timbul sebarang masalah di kemudian hari. “Kita harap perkara ini dapat dibawa ke peringkat jemaah menteri untuk dibincangkan dan difikirkan bagi kenaikkan elaun itu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Blanja.

Sementara itu, beliau menegaskan kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba memperkotak-katikkan agama Islam. “Kita harus memastikan agama Islam dijaga dan tidak boleh dibuat main-main. Jika ada yang berbuat demikian tindakan tegas harus diambil,” katanya.

Dalam ucapannya juga Mohd Zaim berkata, pilihan Raya Umum ke-13 adalah satu pilihan raya yang paling kritikal.

“Kita harus mencari cara yang terbaik bagi memenangi ketiga-tiga kerusi di Parlimen Parit dalam pilihan raya nanti.

“Oleh sebab itu, kita menjemput Dr Mashitah untuk memberi pandangan dan nasihat sebagai panduan kita di sini,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak mahu lagi kejadian dahulu (bertukar kerajaan) berlaku lagi di Perak dan dapat mempertahankan kerusi kerajaan sedia ada.

Sementara itu, Dr Mashitah berkata, berkenaan bayaran elaun bilal, siak dan guru Kafa berkenaan adalah sedang dalam perhatian.

Remaja hilang ditemui – Metro


Remaja hilang ditemui
KUALA LUMPUR: Remaja perempuan berusia 13 tahun yang gagal dikesan selepas keluar dari rumahnya di Semenyih, dekat sini, sejak 7 Julai lalu, akhirnya ditemui semula dalam keadaan selamat di tepi jalan di Taman Impian Ehsan, Balakong, dekat sini, malam kelmarin.

Keluarga remaja, Nur Izatul Yazmin Rosli tidak berputus asa mencarinya, kini lega apabila dia ditemui tepi jalan kawasan taman berkenaan jam 10 malam selepas mendapat maklumat daripada orang ramai memberitahu kemungkinan remaja itu adalah Nur Izatul.
Difahamkan teman lelakinya dikenali sebagai Jeffri turut berada bersamanya, dibawa ke Balai Polis Kajang bagi membantu siasatan berhubung kehilangan remaja itu sejak seminggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/16

Bijak awasi anak-anak – Metro


Bijak awasi anak-anak
KUALA LUMPUR: Penggunaan media sosial seperti laman facebook dan twitter di kalangan remaja bawah umur sukar dihentikan, namun boleh dikawal sekiranya ibu bapa mengambil pendekatan bijak dengan memantau pergerakan anak-anak.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, institusi keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak, sahsiah diri serta moral anak-anak.
“Saya mengucapkan syabas kepada Metro Ahad kerana mendedahkan isu Parti Lolipop dan bercakap sendiri dengan bapa yang anaknya terbabit dengan pesta liar berkenaan.

“Laporan sebegini sepatutnya membuka mata golongan ibu bapa supaya lebih prihatin dengan pergerakan dan kegiatan anak-anak di dalam atau di luar rumah,” katanya ketika diminta mengulas laporan berkenaan, semalam.
Menurut Lee, interaksi positif antara ibu bapa dan anak penting supaya mereka tidak berasa dipinggirkan ketika berdepan masalah mahupun situasi tidak menyenangkan.
“Ibu bapa memang tidak boleh menghalang anak-anak membabitkan diri dalam kemajuan arus siber, tapi mereka boleh membantu membimbing sekali gus mengekang sebarang kegiatan tidak bermoral,” katanya.

Selain itu, Lee berkata, penyalahgunaan Internet juga boleh dikaitkan dengan ketidakseimbangan pembangunan ekonomi negara berikutan berlakunya keciciran dalam pembentukan modal insan berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/16

Sikap biadab bongkar rahsia diperkosa abang – Metro


Sikap biadab bongkar rahsia diperkosa abang
PETALING JAYA: Keprihatinan seorang guru yang pelik melihat sikap liar seorang murid perempuan dalam kelasnya di sebuah sekolah rendah di sini, membongkar rahsia budak berusia 11 tahun itu dirogol abang kandung sejak empat tahun lalu.

Difahamkan, guru wanita itu yang tidak tahan dengan murid berkenaan kerana masih mengulang sikap sama walaupun sudah berulang-kali ditegur supaya berkelakuan baik, membawa kanak-kanak itu untuk dirujuk kepada guru kaunseling, 12 Julai lalu.
Menurut sumber, pada sesi pertemuan dengan guru kaunseling, murid berkenaan hanya mendiamkan diri dan enggan menjawab ketika ditanya mengapa dia bersikap tidak menghormati guru dan rakan dalam kelas.

“Ketika disoal lagi, tiba-tiba murid itu menangis dan keadaan itu membuatkan guru kaunseling berkenaan semakin hairan. “Selepas didesak, budak perempuan itu mendedahkan rahsia dia dirogol abang kandungnya yang berusia 20-an sejak dia berusia lapan tahun,” katanya.
Katanya, pelajar berkenaan menyatakan perbuatan jijik itu dilakukan abangnya ketika keluarga mereka tiada di rumah di Taman Petaling Utama, di sini, dan kali terakhir dirogol, awal bulan ini.
“Berasakan dirinya sudah tidak berharga menyebabkan murid berkenaan memberontak. Sebenarnya kanak-kanak itu mahukan perhatian dan nasib baik gurunya mengesan masalah itu.

“Sebaik mengetahui perkara itu, guru kaunseling berkenaan membawa pelajarnya membuat pemeriksaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan laporan itu dan pihak polis kini sedang memburu abang mangsa.

Katanya, suspek melarikan diri sebaik mengetahui dirinya dicari polis bagi membantu siasatan kes rogol itu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/16

Kuat ingat wajah ibu – Metro


Kuat ingat wajah ibu
Oleh Hadzlihady Hassan dan Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my

LAPOR…ibu mangsa menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya. Gambar kecil, Halimah.
KEPALA BATAS: “Wajah ibu dan kitab al-Quran dalam beg menaikkan semangat saya untuk meronta sekuat hati sebelum berjaya melepaskan diri daripada genggaman lelaki berbadan besar itu,” kata murid tahun tiga yang nyaris menjadi mangsa culik tiga lelaki menaiki sebuah van putih, Khamis lalu.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Halimah, 9, baru pulang dari sekolah agama tidak jauh dari rumahnya, dekat sini, jam 11.20 pagi.

Ketika kejadian, mangsa baru turun daripada kereta jiran yang diupah mengambilnya dari sekolah setiap hari dipercayai mahu melintas jalan untuk pulang ke rumahnya sebelum dihampiri sebuah van putih dinaiki tiga lelaki.

Menceritakan saat menakutkan itu, anak bongsu dua beradik itu berkata, seorang daripada lelaki terbabit menarik tangan kanan sambil mengarahkannya masuk ke dalam van menggunakan bahasa Melayu.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/16

50 murid cirit birit dan muntah selepas makan nasi goreng – Berita Harian


50 murid cirit birit dan muntah selepas makan nasi goreng
12:26:16 PM Cetak Emel Kawan

IPOH: Seramai 50 murid Sekolah Kebangsaan Sungai Rapat, Medan Gopeng di sini mengalami cirit birit dan muntah secara tiba-tiba dipercayai selepas makan nasi goreng di kantin sekolah pagi tadi.

Kejadian berlaku antara jam 9 hingga 10 pagi seleaps murid tahun empat hingga enam mengadu sakit perut dan muntah.

Perkasa gesa Kementerian Pelajaran kaji 18 resolusi – Utusan


Perkasa gesa Kementerian Pelajaran kaji 18 resolusi
Ibrahim Ali menunjukkan Buku Resolusi Persidangan Meja Bulat selepas mempengerusikan perjumpaan NGO Melayu Islam di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 15 Julai – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa Kementerian Pelajaran mengkaji dengan teliti 18 resolusi yang dikemukakannya berhubung Kajian Semula Sistem Pendidikan Kebangsaan.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, resolusi yang diserahkan kepada kementerian tersebut pada Jumaat lalu mencakupi pelbagai aspek khususnya tuntutan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama persekolahan dan institusi pengajian tinggi.

Ujar beliau, ia sejajar dengan apa yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan mengenai bahasa kebangsaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.

”Resolusi ini adalah hasil persidangan meja bulat anjuran Perkasa pada 19 Mei lalu yang disertai pelbagai pihak dan kita sudah serahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan perjumpaan NGO Melayu Islam di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini hari ini.

Antara NGO yang hadir ialah Jalur Tiga (Jati), Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Waris Malaya.

Ibrahim berkata, selain bahasa Melayu, Perkasa juga menuntut kementerian tidak menunaikan tuntutan yang bercanggah dengan dasar yang terkandung dalam Penyata Razak 1956, Penyata Abdul Rahman Talib 1960, Akta Pendidikan 1996 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan bagi mengelak berlakunya polarisasi kaum.

Mengulas mengenai perjumpaan bersama NGO Melayu Islam tersebut, jelasnya, ia antara lain membincangkan penyelarasan tugas dan rangkaian kerjasama antara NGO berkenaan.

Sementara itu, Presiden Jati, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, NGO Melayu Islam perlu seiring bekerjasama bagi membolehkan perjuangan mempertahan Islam, Melayu dan raja dapat diperkasakan.

”Hari ini kita saling berkenalan antara satu sama lain bagi mewujudkan rangkaian kerjasama dan bagaimana kita boleh memberi manfaat kepada perjuangan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, ketika merasmikan Ibu pejabat Perkasa Selangor di Seksyen 9 di sini malam semalam, Ibrahim meminta masyarakat Cina terus memberi sokongan kepada MCA bagi menjamin keamanan negara dapat dikekalkan.

Menurutnya, ini kerana setiap tuntutan kaum Cina menerusi parti itu tidak pernah diabaikan oleh kerajaan.

“Salah satu faktor negara ini dikenali dengan keamanannya adalah kerana kesemua parti yang mewakili pelbagai kaum dalam BN termasuk MCA berbincang dengan baik tanpa menyinggung hati kaum lain,” katanya

Terdahulu, dalam ceramahnya, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang turut menghadiri majlis itu berkata, DAP langsung tidak menghormati Pas apabila sering mempertikaikan keputusan parti tersebut sehingga membuatkan ramai ahlinya tersinggung.

“Sebagai contoh di Kedah, hanya ada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP tetapi mereka dengan biadab sering mempertikaikan keputusan kerajaan negeri yang ditadbir Pas meskipun mereka adalah rakan dalam pakatan pembangkang,” ujarnya.

Perkasa Serah Memorandum 18 Resolusi Mantapkan Sistem Pendidikan Kebangsaan – mStar


Perkasa Serah Memorandum 18 Resolusi Mantapkan Sistem Pendidikan Kebangsaan

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pada Ahad memberitahu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu telah menyerahkan memorandum berhubung Kajian Semula Sistem Pendidikan Kebangsaan yang mengandungi 18 resolusi kepada Kementerian Pelajaran.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, memorandum itu merupakan hasil daripada sidang meja bulat bersama beberapa pihak termasuk wakil-wakil NGO dan cendiakiawan Melayu pada 19 Mei lalu.

Beliau menjelaskan, memorandum berkenaan diserahkan kepada pejabat Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri pada Jumaat lalu (13 Julai).

“Kami berharap supaya pihak Kementerian Pelajaran dapat mengkaji kajian semula sistem pendidikan kebangsaan dengan teliti dan serius.

“Juga (diharapkan) mengambil apa jua yang dicadangkan oleh Perkasa. Kandungan (resolusi) ini mencakupi semua aspek,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan bersama beberapa NGO Melayu anjuran Perkasa dan Jalur Tiga (Jati) di sini, Ahad
Ibrahim Ali
Dilaporkan bahawa satu sidang meja bulat diadakan mengenai Kajian Semula Sistem Pendidikan Kebangsaan pada 19 Mei lalu dan ketika itu telah meluluskan 13 resolusi.

Resolusi berkenaan menggariskan perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh kerajaan apabila melaksanakan sebarang pindaan terhadap sistem pendidikan kebangsaan dan cadangan-cadangan baru bagi memantapkannya.

Ibrahim berkata, tiada sebarang perbincangan semasa penyerahan memorandum kepada Kementerian Pelajaran dan tidak menetapkan tempoh maklum balas mengenainya.

“Tiada tempoh yang ditetapkan. Kita sudah serahkan memorandum, kita sudah menunaikan tanggungjawab kita dan terpulanglah kepada kerajaan (untuk pertimbangan),” katanya.

Beliau menambah, kajian semula sistem pendidikan kebangsaan itu adalah di peringkat akhir dengan mempertahankan dasar pendidikan kebangsaan sejak dahulu.

“Semasa sidang meja bulat pada Mei lalu, ahli-ahli menambah pandangan untuk menambah baik (resolusi) dan ini adalah yang final (muktamad),” kata Ibrahim.

Antara kandungan 18 resolusi dalam Kajian Semula Sistem Pendidikan Kebangsaan adalah:

1. Menuntut penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama persekolahan dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mesti dikekalkan, diperkukuhkan dan dimartabatkan sejajar seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Fasal 152 Bahasa Kebangsaan dan Akta Kebangsaan 1963/67 tanpa tolak ansur.

2. Menuntut mengembalikan penggunaan istilah bahasa Melayu menggantikan istilah bahasa Malaysia sejajar dengan Faal 152 Perlembagaan Malaysia.

3. Menuntut pelaksanaan dasar pendidikan kebangsaan yang baru hendaklah berteraskan dan tidak bercanggah dengan semangat falsafah dan matlamat yang termaktub dalam Penyata Razak (1956), Ordinan Pelajaran (1957), Laporan Rahman Talib (1960), Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979), Akta Pendidikan 1996 serta Pindaan 1997 dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (1988) dan Rukun Negara.

4. Menuntut kerajaan menghormati, mematuhi dan tidak melaksanakan dasar yang bercanggah dengan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Fasal 153, “Kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak” mengenai biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan seumpamanya.

5. Menuntut kesungguhan Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bersama-sama merancang strategi dan melaksanakan program memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia bagi seluruh negara meliputi sektor awam dan swasta.