Pengurus didakwa cabul pelajar
KUALA LUMPUR 16 Julai – Seorang pengurus pusat karaoke di Sentul di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan mencabul seorang pelajar perempuan dan memeras ugut rakan pelajar itu pada hujung Mei lalu.
Bagi pertuduhan pertama, Alexander Augustin, 28, dituduh mencabul mangsa berusia 16 tahun itu di sebuah Pusat Karaoke Song Box, Wangsa Walk Mall, Sentul pada pukul 4.30 petang, 30 Mei lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Tertuduh juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu memeras ugut rakan lelaki mangsa yang juga berusia 16 tahun supaya menyerahkan kad pengenalan dan telefon bimbit jenama Blackberry kepadanya pada masa, tarikh dan tempat yang sama.