Jenayah seksual kanak-kanak serius
Oleh NORAZRIN MARZUKI
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 18 Julai – Kes rogol dan cabul yang berlaku di ibu negara melibatkan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun kini dikatakan berada pada tahap yang membimbangkan.
Statistik terbaru yang dikeluarkan oleh polis kontinjen Kuala Lumpur merekodkan sebanyak 124 kes dilaporkan sejak tahun 2009 sehingga bulan Jun lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, statistik yang diperoleh menunjukkan sebanyak 34 kes telah disiasat pada 2009, diikuti 44 kes (2010), 36 kes (2011) manakala bagi tempoh Januari sehingga Jun 2012 pula sejumlah 10 kes telah disiasat.
Beliau bagaimanapun berkata, jumlah sebenar kes rogol dan cabul melibatkan kanak-kanak dipercayai jauh lebih banyak berbanding statistik yang direkodkan itu.
“Kami percaya jumlah sebenar kes yang berlaku di ibu negara adalah lebih besar berbanding statistik tersebut kerana dipercayai ada segelintir mangsa dan ahli keluarga yang enggan tampil membuat laporan polis dan memberi maklumat.