Majoriti guru tak setuju – Berita Harian


Majoriti guru tak setuju
23:51:53 PM Syuhada Choo Abdullah | choo@bharian.com.my Cetak Emel Kawan

Hasil negatif benar pelajar bawa gajet ke sekolah

Kuala Lumpur: Lebih 90 peratus guru dan 80 peratus pemimpin sekolah tidak bersetuju cadangan Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah. Keputusan hasil kaji selidik membabitkan kira-kira 2,000 responden di seluruh negara itu dimaklumkan Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM), Muhamad Khailani Abdul Jalil kepada BH, semalam.
Muhamad Khailani adalah Ahli Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Malah, kajian itu turut mendapati lebih 75 peratus ibu bapa dan 55 peratus pelajar sendiri turut menolak cadangan berkenaan.

Kajian dibuat Kementerian Pelajaran tahun lalu untuk mendapatkan pendapat pihak berkepentingan mengenainya.

Beliau berkata, rata-rata semua pihak kepentingan menegaskan keperluan pelajar untuk membawa telefon bimbit ke sekolah amat sedikit dan tidak mewakili suara majoriti.
“Kebimbangan utama semua pihak berkepentingan itu ialah ia lebih banyak membawa keburukan.

“Berdasarkan pengalaman sekolah, 60 peratus pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak dibenarkan ketika ini. Masalah berlaku apabila telefon bimbit hilang, pelajar menuduh rakan mencuri sehingga mencetuskan pergaduhan.

“Selain itu, pelajar membawa anasir berunsur lucah ke sekolah dan berisiko tinggi berlaku penyebaran yang boleh mempengaruhi rakan,” katanya.

‘Luluskan segera kenaikan Gred DG41’ – Berita Harian


‘Luluskan segera kenaikan Gred DG41’
23:51:12 PM Cetak Emel Kawan

Batu Pahat: Kementerian Pelajaran meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) segera meluluskan permohonan 9,051 guru lepasan Program Perkhidmatan Perguruan Siswazah (PPPS) ke Gred DG41.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kelewatan itu bukan mengecewakan pendidik terbabit, malah melemahkan semangat guru lain untuk mengikuti program berkenaan. “Oleh itu, kita meminta JPA mempercepatkan kelulusan perjawatan baru ini supaya mereka dapat disahkan ke Gred DG41,” katanya selepas majlis penyerahan komputer riba 1Malaysia Parlimen Batu Pahat di Dewan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) di sini, semalam.
Mohd Puad mengulas keluhan lebih 9,000 guru lepasan PPPS, termasuk ada yang tertangguh sejak dua tahun lalu.

Perbelanjaan tidak banyak beza – Utusan


Perbelanjaan tidak banyak beza
MUHYIDDIN Yassin melambai tangan kepada para pelajar ketika hadir majlis perasmian bangunan baru SJKC Kampung Baru, Tampin, semalam. Turut hadir Mohamad Hasan. – UTUSAN/MD.SHAHJEHAN MAAMI
TAMPIN 17 Julai – Peruntukan perbelanjaan tahunan untuk sekolah kebangsaan (SK) dengan sekolah jenis kebangsaan (SJK) di negara ini tidak mempunyai perbezaan yang ketara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, secara purata sebuah SJK Cina (SJKC) menerima peruntukan sebanyak RM2.235 juta setahun, SJK Tamil (SJKT) (RM1.19 juta) dan SK (RM2.26 juta).

“Perbezaan ini adalah kecil kerana kerajaan memberi layanan yang sama kepada semua sekolah di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan bangunan baru SJKC Kampung Baru di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan membelanjakan RM2.8 bilion setahun untuk membayar gaji guru SJKC dan RM1.9 bilion (SJKT).

Katanya, semua sekolah termasuk SK, SJKC dan SJKT menerima peruntukan khas Perdana Menteri dalam jumlah yang sama iaitu sebanyak RM100 juta.

“Walaupun sistem pendidikan di negara ini pelbagai, apa yang penting ialah kerajaan mahu mutu ilmu pengetahuan yang diterima adalah setara dengan kualiti pendidikan di negara-negara maju,” ujarnya.

Bangunan baru SJKC Kampung Baru itu merupakan satu blok empat tingkat dan satu blok tiga tingkat yang siap didirikan pada Oktober 2010 dengan perbelanjaan sebanyak RM5 juta.

Terdahulu, Muhyiddin dan isteri tiba dengan menaiki helikopter yang mendarat di Stadium Mini Tampin pada pukul 11.55 pagi untuk lawatan kerja ke negeri ini.

Sementera itu di KUALA LUMPUR, Muhyiddin mengajak guru-guru yang telah bersara terutama guru mata pelajaran Bahasa Inggeris memohon menyambung perkhidmatan mengajar.

Beliau berkata, ia bagi menampung kekurangan guru di beberapa buah sekolah khususnya melibatkan mata pelajaran tertentu termasuk subjek tersebut.

“Sekitar dua tahun lalu, saya telah mengarahkan kementerian membuka permohonan guru-guru terbabit yang mahu menyambung perkhidmatan mengajar. Malangnya, hanya 200 orang sahaja yang memohon untuk kembali mengajar.

“Kita mahu mereka ini kembali (mengajar). Mohonlah dan kita akan tempatkan mereka (di sekolah-sekolah yang memerlukan). Tetapi kita berdepan masalah apabila ada guru-guru terbabit enggan ditempatkan di kawasan-kawasan tertentu,” katanya pada sesi dialog bersama peserta Sidang Kemuncak Wanita Ke-10 selepas merasmikan sidang kemuncak itu di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini.

Turut sama dalam sesi dialog itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur.

Sidang Kemuncak Wanita anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menjadi platform penting bagi wanita dan menerusi persidangan berkenaan beberapa saranan dan resolusi dihasilkan dan bakal dipertimbang kerajaan.

Antara saranan itu ialah penglibatan 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan di sektor korporat, lanjutan cuti bersalin selama 90 hari bagi penjawat awam, peraturan kerja separa masa dan pindaan kepada Akta Kerja bagi menangani gangguan seksual di tempat kerja.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris kementerian telah melaksanakan pelbagai inisiatif meningkatkan penguasaan bahasa itu di kalangan murid dan pelajar sekolah.

Antara inisiatif itu jelasnya, memperkenal program Pembantu Bahasa Inggeris (ETA).

“Melalui program itu, sukarelawan dari Amerika Syarikat (AS) ditempatkan di beberapa buah sekolah terpilih,” katanya.

Dedah bahaya media sosial kepada pelajar – Utusan


Dedah bahaya media sosial kepada pelajar

GEORGETOWN 18 Julai – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) hari ini meminta pihak berkenaan termasuk sekolah agar mendedahkan bahaya media sosial kepada pelajar bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah.

Naib Pengerusinya Datuk Kamarudin Md Ali berkata pelajar kini dilihat begitu mudah mendedahkan maklumat peribadi menerusi laman sosial tanpa menyedari aktiviti mereka dipantau penjenayah.

“Keadaan ini menyebabkan potensi berlakunya jenayah culik amat tinggi apabila setiap pergerakan mangsa dapat dibaca dengan mudah dan lebih membimbangkan jika ia diakhiri dengan jenayah seperti rogol dan bunuh,” katanya berucap pada seminar “Kanak-Kanak dan Jenayah”, di sini.

Katanya pembabitan remaja dalam media sosial sememangnya tidak boleh dikekang, justeru semua pihak bertanggungjawab memastikan golongan itu tahu dan faham akan risiko laman sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. – BERNAMA

Jenayah seksual kanak-kanak serius – Utusan


Jenayah seksual kanak-kanak serius

Oleh NORAZRIN MARZUKI
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 18 Julai – Kes rogol dan cabul yang berlaku di ibu negara melibatkan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun kini dikatakan berada pada tahap yang membimbangkan.

Statistik terbaru yang dikeluarkan oleh polis kontinjen Kuala Lumpur merekodkan sebanyak 124 kes dilaporkan sejak tahun 2009 sehingga bulan Jun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, statistik yang diperoleh menunjukkan sebanyak 34 kes telah disiasat pada 2009, diikuti 44 kes (2010), 36 kes (2011) manakala bagi tempoh Januari sehingga Jun 2012 pula sejumlah 10 kes telah disiasat.

Beliau bagaimanapun berkata, jumlah sebenar kes rogol dan cabul melibatkan kanak-kanak dipercayai jauh lebih banyak berbanding statistik yang direkodkan itu.

“Kami percaya jumlah sebenar kes yang berlaku di ibu negara adalah lebih besar berbanding statistik tersebut kerana dipercayai ada segelintir mangsa dan ahli keluarga yang enggan tampil membuat laporan polis dan memberi maklumat.

Bantah pelajar bawa telefon – Utusan


Bantah pelajar bawa telefon

Oleh SOFIAN BAHAROM dan AZHARI ZAINOODDIN
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 18 Julai – Langkah membenarkan para pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah dikhuatiri boleh menyebabkan tumpuan mereka terhadap pembelajaran di dalam kelas terganggu.

Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, selain tidak sesuai dilaksanakan kerana memberi kesan terhadap fokus pelajar, ia juga boleh mewujudkan jurang antara pelajar berkemampuan dan kurang berkemampuan.

”Perkara ini perlu dikaji kerana dikhuatiri ia akan menganggu fokus para pelajar ketika di dalam kelas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong kelmarin, berhubung kebenaran kepada pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan seperti yang digariskan menerusi Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012.

Panduan Pelaksanaan Program Pembangunan Guru Baharu (PPGB) Di Sekolah-Sekolah Di Bawah Kementerian Pelajaran Malaysia


Panduan Pelaksanaan Program Pembangunan Guru Baharu (PPGB) Di Sekolah-Sekolah Di Bawah Kementerian Pelajaran Malaysia

YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia pada 2 April 2010 telah meluluskan cadangan pelaksanaan lima belas (15) inisiatif dalam Makmal NKRA Kualiti Guru. Program Pembangunan Guru Baharu (PPGB) merupakan salah satu daripada inisiatif tersebut yang perlu dilaksanakan di semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mulai tahun 2011.

PPGB merupakan satu program pembelajaran melalui bimbingan yang berstruktur berasaskan sekolah untuk menyokong pembangunan profesionalisme Guru Baharu bagi meningkatkan kualiti guru dalam profesion keguruan. PPGB juga merupakan proses sosialisasi kepada profesion keguruan yang dapat membantu Guru Baharu membuat penyesuaian antara ilmu dan kemahiran yang sedia ada dengan prosedur, sistem sekolah, penguasaan pembelajaran dan pengajaran (P&P) yang berkesan dan kemahiran pengurusan bilik darjah.
Untuk maklumat lanjut, sila muat turun surat siaran di sini.