Perbelanjaan tidak banyak beza – Utusan


Perbelanjaan tidak banyak beza
MUHYIDDIN Yassin melambai tangan kepada para pelajar ketika hadir majlis perasmian bangunan baru SJKC Kampung Baru, Tampin, semalam. Turut hadir Mohamad Hasan. – UTUSAN/MD.SHAHJEHAN MAAMI
TAMPIN 17 Julai – Peruntukan perbelanjaan tahunan untuk sekolah kebangsaan (SK) dengan sekolah jenis kebangsaan (SJK) di negara ini tidak mempunyai perbezaan yang ketara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, secara purata sebuah SJK Cina (SJKC) menerima peruntukan sebanyak RM2.235 juta setahun, SJK Tamil (SJKT) (RM1.19 juta) dan SK (RM2.26 juta).

“Perbezaan ini adalah kecil kerana kerajaan memberi layanan yang sama kepada semua sekolah di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan bangunan baru SJKC Kampung Baru di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan membelanjakan RM2.8 bilion setahun untuk membayar gaji guru SJKC dan RM1.9 bilion (SJKT).

Katanya, semua sekolah termasuk SK, SJKC dan SJKT menerima peruntukan khas Perdana Menteri dalam jumlah yang sama iaitu sebanyak RM100 juta.

“Walaupun sistem pendidikan di negara ini pelbagai, apa yang penting ialah kerajaan mahu mutu ilmu pengetahuan yang diterima adalah setara dengan kualiti pendidikan di negara-negara maju,” ujarnya.

Bangunan baru SJKC Kampung Baru itu merupakan satu blok empat tingkat dan satu blok tiga tingkat yang siap didirikan pada Oktober 2010 dengan perbelanjaan sebanyak RM5 juta.

Terdahulu, Muhyiddin dan isteri tiba dengan menaiki helikopter yang mendarat di Stadium Mini Tampin pada pukul 11.55 pagi untuk lawatan kerja ke negeri ini.

Sementera itu di KUALA LUMPUR, Muhyiddin mengajak guru-guru yang telah bersara terutama guru mata pelajaran Bahasa Inggeris memohon menyambung perkhidmatan mengajar.

Beliau berkata, ia bagi menampung kekurangan guru di beberapa buah sekolah khususnya melibatkan mata pelajaran tertentu termasuk subjek tersebut.

“Sekitar dua tahun lalu, saya telah mengarahkan kementerian membuka permohonan guru-guru terbabit yang mahu menyambung perkhidmatan mengajar. Malangnya, hanya 200 orang sahaja yang memohon untuk kembali mengajar.

“Kita mahu mereka ini kembali (mengajar). Mohonlah dan kita akan tempatkan mereka (di sekolah-sekolah yang memerlukan). Tetapi kita berdepan masalah apabila ada guru-guru terbabit enggan ditempatkan di kawasan-kawasan tertentu,” katanya pada sesi dialog bersama peserta Sidang Kemuncak Wanita Ke-10 selepas merasmikan sidang kemuncak itu di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini.

Turut sama dalam sesi dialog itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur.

Sidang Kemuncak Wanita anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menjadi platform penting bagi wanita dan menerusi persidangan berkenaan beberapa saranan dan resolusi dihasilkan dan bakal dipertimbang kerajaan.

Antara saranan itu ialah penglibatan 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan di sektor korporat, lanjutan cuti bersalin selama 90 hari bagi penjawat awam, peraturan kerja separa masa dan pindaan kepada Akta Kerja bagi menangani gangguan seksual di tempat kerja.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris kementerian telah melaksanakan pelbagai inisiatif meningkatkan penguasaan bahasa itu di kalangan murid dan pelajar sekolah.

Antara inisiatif itu jelasnya, memperkenal program Pembantu Bahasa Inggeris (ETA).

“Melalui program itu, sukarelawan dari Amerika Syarikat (AS) ditempatkan di beberapa buah sekolah terpilih,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s