Menyamar suami isteri, samun guru – Sinar Harian


Menyamar suami isteri, samun guru
HAMIZAH BASIR
25 Julai 2012
SEREMBAN – Dua penjenayah sanggup menyamar sebagai suami isteri yang mahu menghantar anak ke sebuah Tabika Perpaduan di Mantin, di sini semalam, sebelum bertindak menyamun dua guru wanita membabitkan RM37,000.

Dalam kejadian kira-kira 11.10 pagi itu, suspek wanita datang ke tabika berkenaan dan bertanyakan prosedur penghantaran anak kepada kedua-dua guru terbabit sebelum memanggil pasangannya yang menunggu di luar.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, kedua-dua suspek yang memakai helmet penuh serta bersenjatakan parang kemudian menyerbu masuk dan mengugut dua guru berkenaan supaya menyerahkan barang berharga.

“Bimbang dicederakan, guru berkenaan kemudian menyerahkan barangan kemas, dua telefon bimbit bernilai lebih RM500.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek tidak mencederakan kanak-kanak yang berada di dalam tabika itu dan kebetulan dua guru berkenaan berada di pejabat mereka,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, suspek kemudian bertindak meminta kunci kereta jenis Perodua Myvi milik salah seorang guru yang berada di luar kawasan tabika itu.

“Kedua-dua suspek kemudian bertindak melarikan kereta berkenaan dan meninggalkan motosikal jenis Honda di tabika berkenaan.

“Hasil pemeriksaan awal kita mendapati, motosikal berkenaan dicuri di Klang dan siasatan sedang dilakukan untuk memburu suspek,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sebuah kereta jenis Toyota Camry milik seorang guru dilarikan enam lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun di Taman Desa Indah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, mangsa berusia 30-an didatangi sebuah kereta jenis Toyota Estima dinaiki enam lelaki berhenti di hadapan rumah sejurus pulang dari bekerja.

“Tiga daripada suspek kemudian bertindak mengugut mangsa supaya menyerahkan semua barangan berharga seperti komputer riba, barang kemas, broadband, dan telefon bimbit.

“Suspek turut bertindak melarikan kereta Toyota Camry mangsa sebelum melarikan diri. Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM117 000,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

“Kita sedang mengesan kesemua suspek dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat bolehlah menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7991222 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Staf sendiri jadi dalang – Metro


Staf sendiri jadi dalang
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Siti Norhidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my

PUCHONG: Hasil bantuan seorang pekerja berusia 17 tahun, empat lelaki dipercayai membuat perancangan rapi sebelum menyamun sebuah panggung wayang di sebuah pusat beli-belah, di sini dan melarikan wang tunai RM140,000, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah malam itu, empat lelaki bertopeng bersama remaja bawah umur yang bekerja lebih setahun setengah di panggung berkenaan menyelinap masuk melalui laluan kakitangan di tingkat tiga panggung wayang itu.
Seorang kakitangan yang enggan dikenali berkata, kejadian dipercayai dirancang kakitangan itu berikutan orang awam tidak mengetahui laluan masuk yang mempunyai jalan keluar ke kawasan letak kereta di pusat beli-belah terbabit.

“Disebabkan pintu berkunci ketika itu, mereka menggunakan paksaan untuk membuka pintu sebelum menyelinap masuk ke pejabat panggung di aras sama bersenjatakan dua bilah parang.
“Ketika kejadian, dua staf sedang membuat kira-kira harian manakala ada seorang pencuci bangunan syif malam dalam pejabat yang tergamam dengan tindakan empat lelaki itu yang menyerbu masuk ke dalam pejabat,” katanya.
Menurutnya, sebaik masuk, empat lelaki itu mengacu parang ke leher seorang staf dan meminta seorang lagi memasukkan wang kutipan bernilai RM140,000 ke dalam beg milik penyamun itu.

Katanya, kakitangan cuba melawan, tetapi mereka diugut dikelar di leher menyebabkan kedua-dua staf itu akur dan mereka dijadikan tebusan sementara kumpulan itu menggeledah pejabat.
Beliau berkata, dalam tempoh 10 minit, mereka berjaya melarikan wang tunai sebelum mengunci kakitangan di dalam pejabat dan keluar melalui laluan yang sama.

“Mereka melarikan diri dengan menaiki Perodua Myvi diletakkan di tingkat tiga tempat letak kereta pusat beli -belah itu.
“Beberapa minit kemudian, sebaik dapat membebaskan diri, kakitangan berkenaan menghubungi pihak polis dan sepasukan polis dari Balai Polis Puchong dikejarkan ke lokasi untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, pengurusan panggung wayang berkenaan ketika ditemui Harian Metro enggan mengulas lanjut mengenai kejadian dan menyerahkan siasatan penuh kepada polis.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, susulan dari kejadian itu, pihaknya menahan seorang remaja berusia 17 tahun yang bekerja di panggung wayang berkenaan.
“Dia ditahan atas kesalahan bersekongkol dengan kumpulan penyamun itu dan kami mendapat tahu penglibatannya dalam kejadian ini berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCT) diperoleh daripada pihak pengurusan panggung.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/25

JKM beri kaunseling – Metro


JKM beri kaunseling
JOHOR BAHRU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan khidmat kaunseling kepada tiga beradik dan kakak mereka yang ponteng sekolah hampir 100 hari akibat kepenatan menjual nasi lemak di Kempas di sini, dalam tempoh terdekat.

Pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Manayi Ibrahim (gambar) berkata, ia akan diberi terutama kepada anak sulung keluarga itu dikenali sebagai Nazirah, 16, yang berhenti sekolah kerana malu diejek selepas keluarganya gagal melangsaikan yuran sekolah.
Selain itu, kaunseling juga akan diberikan kepada tiga adik Nazirah iaitu Hamirul, 11, Nabila, sembilan, serta Alyah, lapan tahun, bagi memberikan semangat dan keyakinan dalam diri mereka.

“Kami akan cuba memujuk Nazirah kembali memulakan persekolahannya. Dia hanya perlu menghabiskan setahun lagi untuk menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Peperiksaan itu amat penting dan kami harap Nazirah setuju menyambung pelajaran demi masa depannya,” katanya.
Menurut Manayi, selain itu, pemeriksaan susulan dan lawatan akan dilakukan ke atas keluarga berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kehidupan mereka terjamin.

“Kami memandang serius kes ini terutama nasib kanak-kanak berkenaan dan berharap nasib keluarga itu akan berubah selepas ini.
“Pelajaran adalah satu perkara yang amat penting dan kami akan berusaha untuk memastikan mereka berempat dapat menamatkan pelajaran dengan cemerlang,” katanya.

Laporan muka depan Harian Metro, Isnin lalu mendedahkan kesukaran hidup empat beradik itu dan ibu mereka yang hanya dikenali sebagai Noraini, 35.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/25

Jasad anak ditemui – Metro


Jasad anak ditemui
Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

SEDIH…Misnati (tengah) bersama suami, Markasan dan anak mereka, Nikmatul menunjukkan pakaian kegemaran Yaqin. Gambar kecil, Yaqin.
AMPANG: Mayat kanak-kanak yang hilang selepas terjatuh di lubang saliran air Taman Putra di sini, sejak Jumaat lalu, Nurul Yaqin Makasar, 11 ditemui di kolam takungan air berhampiran Flat Sri Johor Bandar Tun Razak, di ibu negara, petang semalam.

Mangsa ditemui anggota Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak yang menjalankan operasi mencari mangsa jam 5.30 petang.
Sementara itu, ibu mangsa, Misnati Hullah, 48, yang dihubungi mengesahkan penemuan anak bongsunya itu sebelum diminta ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Kami dimaklumkan oleh anggota polis mengenai penemuan Yaqin sejurus masuk waktu berbuka puasa kira-kira jam 7.35 malam dan membuat pengecaman di hospital pada jam 8.35 malam.
“Memang sah itu jasad Yaqin, namun kami hanya dibenarkan membawa pulang jenazah pagi esok (hari ini) kerana hospital perlu melakukan bedah siasat,” katanya.
Misnati berkata, sejak anak bongsunya itu hilang selepas terjatuh dari longkang dan dihanyutkan arus deras, dia sentiasa berdoa dan mengaji al-Quran berharap jasad anaknya itu ditemui untuk disemadikan dengan sempurna.
“Kali terakhir Yaqin mencium saya sebelum ke sekolahnya di Sekolah Kebangsaan Tasik Tambahan. Saya tidak menyangka itu ciuman terakhirnya. “Malah, kami sekeluarga tidak sempat menyambut kedatangan Ramadan kali ini bersamanya. Sejak Yaqin berusia tujuh tahun, dia tidak pernah tinggal puasa. Dia berpesan kepada saya supaya belikan baju Melayu merah dan sampin hitam untuk hari raya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tasik Tambahan, di sini, semalam.
Dengan nada sebak, Misnati yang berstatus penduduk tetap memberitahu dia yakin dan reda dengan takdir Ilahi anak lelaki daripada empat beradik itu sudah tiada lagi selain berdoa anaknya itu ditemui semula.

“Sejak mengetahui Yaqin lemas hingga semalam (kelmarin) kami pergi ke Sungai Kerayong melihat operasi mencari dan menyelamat. Setiap saat saya berdoa jasadnya ditemui kerana sudah tiga hari ia belum ditemui.
“Tadi (semalam) saya membaca surah Luqman sebanyak tiga kali. Mungkin terlalu penat, saya terlelap lebih kurang satu minit dan bermimpi Yaqin senyum kepada saya, malah bibirnya merah,” katanya.
Menurutnya, dia yang tersedar dari tidur menceritakan mimpi itu kepada suami, Markasan Markadi, 58, dan anak perempuan ketiganya, Nikmatul Hanafia, 17. Katanya, anaknya yang bersekolah di tahun lima tergelincir dalam lubang saliran air di Taman Putra jam 6 petang, Jumaat lalu, selepas keluar bermain dengan empat rakannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/24

Cuepacs minta segera naikkan gred guru PJJ – Metro


Cuepacs minta segera naikkan gred guru PJJ
GEORGETOWN: Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempercepatkan kenaikan gred penjawat awam termasuk guru yang memperoleh ijazah menerusi program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ).

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, penangguhan kenaikan gred penjawat awam berijazah hanya akan mendatangkan lebih banyak masalah selain turut menyebabkan mereka beranggapan dilayan dengan tidak adil.
“Cuepacs tidak mahu masalah membabitkan penjawat awam mendapat ijazah melalui PJJ timbul pada masa akan datang dan mereka ini sudah lama belajar untuk mendapat segulung ijazah.

“Kerajaan harus mempertimbangkan kenaikan taraf mereka supaya mereka ada semangat untuk bekerja lebih cepat, tepat dan berintegritri,” katanya ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng di sini semalam.

Telefon bimbit di sekolah: Kerajaan perlu tegas – Utusan


Telefon bimbit di sekolah: Kerajaan perlu tegas

KUALA LUMPUR 24 Julai – Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menggesa kerajaan membuat keputusan tegas berhubung cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad ke sekolah.

Presidennya, Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, selain mengganggu proses pembelajaran, ia juga boleh mewujudkan budaya tidak sihat dalam kalangan pelajar.

“Langkah membenarkan pelajar membawa telefon bimbit hanya akan menganggu tumpuan mereka pada sesi pembelajaran ketika berada di dalam kelas.

“Langkah itu juga dikhuatiri akan mengundang beberapa masalah lain seperti kecurian, penyalahgunaan dan wujud jurang antara berkemampuan dan kurang berkemampuan dalam kalangan pelajar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Khamis lalu yang menegaskan, belum ada sebarang keputusan dibuat terhadap cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad ke sekolah.

Jelas Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, perkara tersebut hanya salah satu cadangan yang diusulkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Disiplin peringkat kementerian yang dipengerusikan oleh timbalannya, Datuk Dr. Wee Ka Siong beberapa minggu lalu setelah mengambil kira perkembangan teknologi terkini.

Mohd. Ali berkata, penggunaan peralatan alat komunikasi itu turut dilihat akan membebankan pihak sekolah daripada aspek kos dan masa.

“Saya bimbang ia akan meningkatkan kos pihak sekolah dalam menyediakan lokar khas untuk menyimpan peralatan elektronik itu kepada pelajar serta menambahkan beban guru untuk memantau sewaktu proses pembelajaran,” ujarnya.

Justeru jelasnya, kerajaan harus mengkaji perkara tersebut secara mendalam terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan agar ia tidak mendatangkan kesan negatif terhadap institusi pendidikan negara.