Staf sendiri jadi dalang
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Siti Norhidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
PUCHONG: Hasil bantuan seorang pekerja berusia 17 tahun, empat lelaki dipercayai membuat perancangan rapi sebelum menyamun sebuah panggung wayang di sebuah pusat beli-belah, di sini dan melarikan wang tunai RM140,000, tengah malam kelmarin.
Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah malam itu, empat lelaki bertopeng bersama remaja bawah umur yang bekerja lebih setahun setengah di panggung berkenaan menyelinap masuk melalui laluan kakitangan di tingkat tiga panggung wayang itu.
Seorang kakitangan yang enggan dikenali berkata, kejadian dipercayai dirancang kakitangan itu berikutan orang awam tidak mengetahui laluan masuk yang mempunyai jalan keluar ke kawasan letak kereta di pusat beli-belah terbabit.
“Disebabkan pintu berkunci ketika itu, mereka menggunakan paksaan untuk membuka pintu sebelum menyelinap masuk ke pejabat panggung di aras sama bersenjatakan dua bilah parang.
“Ketika kejadian, dua staf sedang membuat kira-kira harian manakala ada seorang pencuci bangunan syif malam dalam pejabat yang tergamam dengan tindakan empat lelaki itu yang menyerbu masuk ke dalam pejabat,” katanya.
Menurutnya, sebaik masuk, empat lelaki itu mengacu parang ke leher seorang staf dan meminta seorang lagi memasukkan wang kutipan bernilai RM140,000 ke dalam beg milik penyamun itu.
Katanya, kakitangan cuba melawan, tetapi mereka diugut dikelar di leher menyebabkan kedua-dua staf itu akur dan mereka dijadikan tebusan sementara kumpulan itu menggeledah pejabat.
Beliau berkata, dalam tempoh 10 minit, mereka berjaya melarikan wang tunai sebelum mengunci kakitangan di dalam pejabat dan keluar melalui laluan yang sama.
“Mereka melarikan diri dengan menaiki Perodua Myvi diletakkan di tingkat tiga tempat letak kereta pusat beli -belah itu.
“Beberapa minit kemudian, sebaik dapat membebaskan diri, kakitangan berkenaan menghubungi pihak polis dan sepasukan polis dari Balai Polis Puchong dikejarkan ke lokasi untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, pengurusan panggung wayang berkenaan ketika ditemui Harian Metro enggan mengulas lanjut mengenai kejadian dan menyerahkan siasatan penuh kepada polis.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, susulan dari kejadian itu, pihaknya menahan seorang remaja berusia 17 tahun yang bekerja di panggung wayang berkenaan.
“Dia ditahan atas kesalahan bersekongkol dengan kumpulan penyamun itu dan kami mendapat tahu penglibatannya dalam kejadian ini berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCT) diperoleh daripada pihak pengurusan panggung.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/25