Dua Remaja Lelaki Maut Nahas Kereta & Bas – Bernama


Dua Remaja Lelaki Maut Nahas Kereta & Bas
KUANTAN: Dua remaja lelaki maut selepas kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Km37 Jalan Kuantan-Kemaman dekat Sungai Baging di sini, awal pagi Sabtu.

Kedua-dua mangsa yang maut di tempat kejadian ialah pemandu kereta terbabit, Che Wan Muhammad Hafizuddin Che Wan Abdullah, 17, dan rakannya, Mohd Shafawie Ismail, 16, kedua-duanya berasal dari Kijal, Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata dalam kejadian pukul 2 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari arah Kemaman menuju ke Kuantan.

Manakala bas ekspres tersebut yang membawa 25 penumpang dalam perjalanan dari Kuantan ke Kota Baharu, Kelantan.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan selepas melanggar lopak air lalu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas terbabit. “Akibat itu, kereta mangsa terperosok di bawah bas terbabit dan pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng mengambil masa empat jam untuk mengeluarkan mayat mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa tidak memiliki lesen memandu yang sah.

“Kita juga percaya, mangsa yang memandu laju gagal mengawal kenderaan akibat permukaan jalan yang licin berikutan hujan,” katanya.

Beliau berkata pemandu bas berusia 48 tahun dan semua penumpang tidak mengalami kecederaan dalam insiden tersebut.

Mohd Jasmani berkata kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -BERNAMA

Palanivel tinjau keadaan SRJK Tamil Sg Siput dan Tapah – Bernama


Palanivel tinjau keadaan SRJK Tamil Sg Siput dan Tapah

28 Julai 2012
KUALA LUMPUR – Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel akan mengadakan lawatan dua hari ke 12 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil di Sungai Siput dan Tapah di Perak, mulai Isnin ini, untuk meninjau keadaan di sekolah berkenaan.

“Lawatan rutin ke dua kawasan Parlimen yang diwakili MIC itu juga bertujuan untuk menyelesaikan keperluan guru dan pelajar bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Palanivel juga ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Pada Isnin, beliau akan melawat tujuh sekolah di Sungai Siput.

Sekolah berkenaan ialah SJKT Dovenby, SJKT Tun Sambanthan, SJKT Ladang Elphil, SJKT Sungai Reyla, SJKT Mahatma Gandhi Kalasai, SJKT Ladang Changkat Salak dan SJKT Enggor Karai.

Keesokkannya, beliau akan melawat lima buah sekolah Tamil di Tapah. – Bernama

KSN: Tindakan tegas terhadap penjawat awam beli ijazah palsu – Bernama


KSN: Tindakan tegas terhadap penjawat awam beli ijazah palsu

28 Julai 2012
KUALA LUMPUR – Tindakan tegas akan dikenakan terhadap penjawat awam yang didapati membeli ijazah palsu, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata polis masih menyiasat perkara itu dan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang memilih jalan mudah tanpa perlu menghadiri kuliah, mengambil ujian dan menghantar kertas kerja untuk memperolehi ijazah.

“Setakat ini tiada kes melibatkan penjawat awam yang terlibat di dalam pembelian ijazah palsu. Jika hasil siasatan mendapati ada di antara penjawat awam yang terlibat, tindakan tegas akan diambil serta merta,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Program Transformasi Pegawai ke Luar Negara di sini, hari ini.

Program lima hari itu dihadiri 117 penjawat awam yang bakal melanjutkan pelajaran ke beberapa universiti di luar negara dalam tempoh terdekat bagi peringkat Sarjana dan Sarjana Muda.

Sebelum ini, media melaporkan ijazah itu dikeluarkan atas nama lima universiti luar negara termasuk tiga yang disahkan tidak wujud.

Lima universiti itu ialah University Of Rockhampton (tidak wujud), Harvey International University (tidak wujud), Cannington Brook University (tidak wujud), Glastonbury University (United Kingdom) dan Charles Molnar University (Hungary).

Pada majlis yang sama, Ali turut menyampaikan sumbangan kewangan daripada sektor swasta sebanyak RM1,578 (USD500) kepada setiap penuntut yang terlibat dalam insiden kebakaran di sebuah blok pangsapuri di South Meadow Apartments, di Ames, Iowa, Amerika Syarikat, pada Ahad lepas.

“Ini merupakan susulan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyeru supaya pihak swasta mengambil bahagian di dalam aktiviti seperti ini sempena Ramadan mulia ini.

“Secara tidak langsung dapat menggandingkan pihak kerajaan serta swasta dalam menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan memberi bantuan kepada setiap penuntut terbabit berjumlah antara RM6,313 dan RM7,892 (USD2,000-USD2,500).

Ali berkata daripada 17 penuntut terbabit, 10 adalah penuntut tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), enam ditaja Mara manakala seorang penuntut persendirian.

“Bantuan yang sama akan diberi kepada penuntut persendirian memandangkan keluarga penuntut itu menanggung beban yang sama seperti penuntut tajaan kerajaan,” katanya.

Sejurus selepas kebakaran itu, katanya sebanyak RM13,132 (USD4160) dikumpul melalui kutipan derma Biro Agama dan Kebajikan Kedutaan Besar Malaysia, Washington, Pertubuhan Malaysian Islamic Study Group serta orang persendirian.

“Kementerian Luar Negeri bersama agensi lain sentiasa memantau keadaan penuntut-penuntut tersebut serta memberi bantuan yang diperlukan mengikut keperluan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri juga telah meminta Duta Khas ke Amerika Syarikat Datuk Seri Jamaludin Jarjis untuk menyelaras bantuan kepada penuntut terbabit.

Sementara itu, penuntut tajaan JPA Hazwan Izzuddin Hashim, 21, berasa amat bersyukur serta berterima kasih kepada pihak swasta yang tampil menghulurkan sumbangan kepada beliau dan penuntut lain.

“Syukur, ini merupakan rezeki Ramadan setelah saya menerima dugaan kerugian akibat kebakaran baru-baru ini,” kata pelajar tahun dua jurusan Kejuruteraan Mekanikal itu. – Bernama