Terperosok bawah bas
Oleh MOHD FAUZI ABDULLAH
fauzie@hmetro.com.my
KUANTAN: “Saya mengucap dua kalimah syahadah apabila bas berhenti sebelum turun dan mendapati dua orang tersepit dan terperosok di bawah bas,” kata pemandu bas ekspres, Kamarudin Ibrahim, 48, dalam kemalangan ngeri membabitkan kenderaan dipandunya dengan sebuah kereta di Kilometer 37 Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Sungai Baging, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.50 pagi, bas ekspres membawa 25 penumpang dipandunya dalam perjalanan dari Kuantan ke Kota Bharu, Kelantan, dirempuh kereta dinaiki dua remaja, menyebabkan kedua-duanya terbunuh di tempat kejadian akibat cedera parah di badan.
Mayat pemandu Perodua Viva berkenaan, Che Wan Muhammad Hafizuddin Che Wan Abdullah, 17, dari Kampung Titian Berayung, Kijal, Terengganu hanya dapat dikeluarkan empat jam selepas kejadian apabila tersepit di bawah enjin keretanya yang tercabut yang terperosok di bahagian depan bawah bas.
Seorang lagi mangsa, Mohd Shafawie Ismail, 16, dari Kampung Penunjuk Kijal, Kemaman, Terengganu, tersepit di tempat duduk bahagian depan yang juga terperosok di bawah bas berkenaan.
Kamarudin ketika ditemui berkata, dia bertolak dari Terminal Makmur, di sini, pada jam 1 pagi, namun ketika tiba di tempat kejadian, tiba-tiba dia perasan sebuah kenderaan terbabas ke laluan bertentangan dipercayai mengelak lopak air sebelum merempuh bas ekspres dipandunya.
“Pada mulanya saya sangka kenderaan itu adalah motosikal kerana hanya sebelah lampu menyala… lampu sebelah kanan.
“Saya sedaya upaya mengelak dengan memulas stereng bas ke kiri jalan, namun tidak berdaya kerana ‘motosikal’ itu meluru laju dan terus merempuh saya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, pagi semalam.
Katanya, akibat rempuhan kuat itu, kereta berkenaan terseret di bawah bas kira-kira 20 meter sebelum kedua-dua kenderaan berhenti di pembahagi jalan.
“Ketika rempuhan itu, saya sekuat hati berpaut pada stereng bas dan sehabis kudrat menekan brek untuk memberhentikan kenderaan.
“Jika tidak memegang kuat stereng, saya kemungkinan besar akan tercampak ke depan memandangkan cermin bas juga pecah,” katanya yang tinggal di Cenderawasih, di sini.
Bapa tiga anak itu berkata, selama 14 tahun pengalamannya memandu bas ekspres, itu kejadian pertama menimpanya.
“Sebelum bertolak saya memang sudah rasa tidak sedap hati ketika berbuka bersama keluarga di rumah.
“Biasanya, saya akan menjamah nasi ketika berbuka namun tidak berbuat demikian petang semalam (kelmarin) menyebabkan isteri menegur.
“Saya hanya minum air dan termenung sebelum menunaikan solat Maghrib dan makan sedikit nasi selepas itu,” katanya yang bersyukur kerana terselamat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Viva dalam perjalanan dari Kemaman ke Kuantan terbabas ke laluan bertentangan selepas mengelak lopak air.