Pelajar terlibat kes samun – Sinar Harian


Pelajar terlibat kes samun
WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Julai 2012

Kedai serbanika 24 jam.
PORT DICKSON – Seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di negeri ini antara enam lelaki yang berjaya diberkas polis selepas dipercayai terlibat dengan kes samun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Pekan Lukut, awal pagi Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, semua suspek yang ditahan berusia antara 17 hingga 31 tahun berasal dari sekitar Seremban.

“Salah seorang daripadanya adalah pelajar tingkatan lima, empat penuntut di sebuah kolej swasta di Shah Alam dan seorang lagi pekerja di sebuah hotel di Seremban.

“Polis berjaya memberkas kesemua suspek yang cuba melarikan diri selepas menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di susur masuk tol Lebuhraya Lukut-Seremban tidak sampai 15 minit selepas kejadian tersebut berlaku,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Polis bersama Anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Port Dickson di perkarangan Masjid Port Dickson, semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah, Ab Khalid Mat; Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Zulkefli Adamsah dan Pegawai Perpaduan daerah, Zaizulman Zainal Abidin.

Abd Wahab berkata, dalam kejadian itu, suspek melakukan jenayah samun sekitar jam 4 pagi.

“Dua suspek masuk ke kedai berkenaan dan mengugut jurujual dengan membawa senjata kayu cota sebelum melarikan beberapa botol minuman keras dan rokok dengan jumlah keseluruhannya RM387.20.

“Empat lagi suspek menunggu di dalam kereta jenis Proton Waja berwarna perak dan kesemua mereka cuba meloloskan diri memandu menghala ke arah Seremban sebelum kenderaan mereka dipintas sebuah kereta peronda polis kurang dari 15 minit selepas kejadian selepas mangsa membuat aduan kepada polis,” katanya.

Katanya, semua suspek ditahan reman sehingga Khamis depan untuk membantu siasatan.

“Mereka ini juga dipercayai turut melakukan samun di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Telok Kemang pada jam 12 tengah malam hari sama.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata dan berkumpulan,” katanya.

Malah katanya, siasatan awal mendapati kesemua suspek bergerak secara berkumpulan dalam melakukan kegiatan jenayah samun.

“Suspek adalah dari kumpulan lain dan tidak terlibat dengan sekumpulan 13 suspek kes samun yang berjaya diberkas polis pada awal pagi Ahad 23 Julai lalu di Hotel Sunshine Bay.

“Dengan tertangkapnya suspek ini, kita yakin akan menyelesaikan beberapa kes samun lain di sini,” katanya.

Abd Wahab turut menasihatkan orang ramai agar segera melaporkan sebarang kejadian jenayah kepada polis agar tindakan pantas memberkas suspek dapat dilakukan.

“Kejayaan polis memberkas enam suspek ini adalah hasil daripada maklumat segera yang disalurkan oleh mangsa.

“Kerjasama masyarakat dalam membantu polis menangani dan membanteras jenayah sangat dihargai,” katanya lagi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s