Operasi ponteng PPD Kota Bharu, 12 pelajar ditahan
31 Julai 2012
KOTA BHARU – Masalah tiada anggota keluarga mahu menghantar ke sekolah antara alasan yang diberikan oleh seramai 12 pelajar sekolah menengah di bandar ini yang ditahan kerana ponteng dalam operasi yang dijalankan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu hari ini.
Mereka ditahan di beberapa lokasi di sekitar bandar ini termasuk di Raja Sakti, Telipot, Pintu Geng dan Tanjung Chat serta sedang bermain snuker di sebuah pusat beli-belah.
Kesemua pelajar yang ditahan itu dikumpulkan di Masjid Telipot bagi mengikuti sesi kaunseling bersama imam muda masjid berkenaan, Ahmad Yunus sebelum diserahkan kepada sekolah masing-masing untuk tindakan lanjut.
Seorang pelajar Tingkatan Empat mendakwa dia terpaksa berjalan kaki ke sekolah yang terletak lima kilometer dari rumahnya di Pintu Geng kerana tiada anggota keluarganya yang mahu menghantarnya ke sekolah.
“Saya ke sekolah pada pukul 9 pagi, ketika sampai di taman permainan kanak-kanak berdekatan sekolah, saya ditahan beberapa anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA),” kata anak bongsu daripada 10 beradik itu ketika ditemui di masjid itu.
Seorang pelajar Tingkatan Dua pula berkata dia memang berniat untuk ponteng hari ini, namun tidak menyangka akan ditahan dalam operasi tersebut ketika sedang melepak bersama beberapa rakannya.
“Saya pakai baju dua lapis hari ini, di luar baju sekolah dan di dalam baju biasa bagi mengaburi ibu dan ayah saya. Saya memang kerap ponteng sekolah kerana sering ikut kawan melepak di beberapa tempat di sekitar bandar ini,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kota Bharu, Che Ab Aziz Daud berkata operasi itu adalah kali kedua dilakukan pihaknya dengan bantuan 80 anggota RELA, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), polis dan Majlis
Perbandaran Kota Bharu (MPKB).
“Ia bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pelajar dan ibu bapa supaya mereka tahu PPD sering mengadakan operasi ponteng. Jadi saya minta pada ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak agar mereka datang ke sekolah,” katanya. – Bernama