Gegendang telinga anak pecah selepas menjalani rawatan – Sinar Harian


Gegendang telinga anak pecah selepas menjalani rawatan
NUR SHARIEZA ISMAIL
1 Ogos 2012

Mohd Fadzli Shah bersama Natasha Maria menunjukkan laporan polis yang dibuat dan gambar telinga yang bengkak selepas rawatan.
SEREMBAN – Seorang bapa kesal dengan kecuaian seorang doktor yang menjalankan rawatan terhadap telinga anak perempuannya sehingga menyebabkan gegendang telinga rosak.

Mohd Fadzli Shah Lim Abdullah, 55, mendakwa, selain kedua-dua belah telinga anaknya yang berusia 8 tahun terjejas, ia turut mendatangkan kecederaan selepas rawatan.

“Sudah hampir tiga bulan anak kedua saya, Natasha Maria Clara Lim menderita akibat kesakitan pada kedua-dua belah telinganya. “Natasha kini tidak boleh mendengar dengan baik kerana gegendang telinganya pecah selepas rawatan dijalankan doktor terbabit,” katanya.

Menceritakan semula kejadian itu, Mohd Fadzli Shah berkata, pada mulanya seorang cikgu di sekolah tempat anaknya belajar mengesyorkan supaya Natasha Maria dibawa menjalani pemeriksaan pembelajaran di mana-mana klinik mahupun hospital selepas mendapati anaknya itu lemah dari segi pembelajaran, selain sukar berkomunikasi dengan orang lain.

“Saya kemudiannya membawa Natasha Maria menjalani pemeriksaan pembelajaran di hospital berkenaan dan diarahkan supaya terus merujuk ke bahagian mata dan telinga, pada awal April lalu.

“Doktor berusia 28 tahun itu memberitahu anak saya tidak mempunyai apa-apa masalah di bahagian mata dan kedua-dua telinganya selepas pemeriksaan awal dilakukan,” katanya.

Menurutnya, doktor terbabit memberikan ubat titis dan mengarahkannya mengikut arahan tertera sebaik tiba di rumah.

“Namun, tiba-tiba doktor terbabit membantu menitiskan ubat berkenaan ke dalam telinga anak saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Fadzli Shah yang berasal dari Nilai berkata, ketika itu dia berada di dalam bilik rawatan semasa doktor tersebut menjalankan rawatan terhadap anaknya.

“Apa yang saya nampak, dia tidak pula menitiskan ubat berkenaan seperti diberitahu, sebaliknya menyembur sejenis cecair di luar cuping telinga kanan anak saya.

“Selepas beberapa saat, dia ambil sebatang besi pencuci telinga dan beberapa kali menukarnya selepas memasukkan ke dalam telinga Natasha Maria,” katanya.

Menurutnya, dia terkejut apabila melihat darah memancut keluar dari telinga anaknya sehingga urat saraf pada gegendang telinganya turut terkeluar.

“Doktor terbabit seperti tidak mengambil peduli ketika saya bertanyakan hal itu, sebaliknya terus menjalankan rawatan sebelum anak saya menjerit dengan kuat akibat kesakitan.

“Selepas kejadian berkenaan, saya membawa Natasha Maria membuat pemeriksaan di klinik kesihatan dan juga di klinik swasta lain,” katanya.

Mohd Fadzli Shah berkata, doktor mengesahkan gegendang telinga anaknya pecah dan terdapat pendarahan yang banyak pada kedua-dua telinga akibat daripada rawatan awal yang dilakukan.

“Saya membuat aduan terhadap hospital terbabit tetapi sehingga kini tiada maklum balas.

“Anak saya perlu menjalani rawatan pemeriksaan pembelajaran disebabkan dia menghadapi masalah pembelajaran, bukannya rawatan pendengaran sehingga menyebabkan kecederaan keduadua telinganya,” katanya yang telah membuat laporan polis di Bandar Baru Salak Tinggi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s