Lemas di lubuk ketika mandi – Sinar Harian


Lemas di lubuk ketika mandi
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Ogos 2012

Pakamis tidak dapat menahan kesedihan sambil ditenangkan saudaranya.
HULU SELANGOR – “Masa saya pulang ke rumah untuk makan tengah hari, dia baru sahaja tiba dari sekolah dan bersiap keluar sambil tersenyum kepada saya, tapi saya tidak fikir apa-apa.

Rupanya itulah senyumannya yang terakhir dapat saya lihat,” kata P Pakamis, 43, ibu kepada C Partiban, 16, remaja yang ditemui mati lemas di Sungai Bernam, petang kelmarin.

Menurut Pakamis, perasaan sedih mengenangkan kembar Partiban meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dua tahun lalu masih belum hilang dan kesedihan itu ditambah pula dengan kejadian malang yang berlaku ke atas anak keempatnya itu.

Katanya, ketika dia pulang dari kerja sekitar jam 3.30 petang hari kejadian, anaknya itu tiada di rumah dan dimaklumkan oleh seorang lagi anaknya, kemungkinan mangsa berada di kuil untuk persiapan Thaipusam.

“Namun saya hairan, kerana kuil sudah siap dan saya fikir dia pasti mahu mandi di sungai berhampiran.

“Tidak lama kemudian, polis datang ke rumah meberitahu anak saya hilang semasa mandi di sungai. Ketika itu saya tidak boleh berfikir apa-apa kecuali menangis sehinggakan orang lain terpaksa memapah saya ke tempat kejadian,”katanya.

Kelmarin, Pakamis setia menunggu di lokasi kejadian ketika usaha mencari anaknya dilakukan anggota bomba dan penyelamat serta penduduk kampung.

Bagaimanapun, mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Katolik, Tanjung Malim itu ditemui mati lemas oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kira-kira jam 9.50 malam selepas lima jam usaha mencari dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim dan Slim River.

Menurut saksi, mangsa mandi berseorangan di Sungai Bernam kira-kira jam 4.30 petang kelmarin selepas membersihkan kawasan tebing sungai berkenaan bersama beberapa rakan dan penduduk kampung bagi persiapan sambutan Thaipusam pada 2 Ogos nanti.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan terkapai-kapai dan tenggelam dipercayai disedut pusaran air di lubuk sungai berkenaan memandangkan ketika itu airnya tenang.

Sementara itu, Pakamis berkata, mendiang anaknya adalah seorang yang baik dan pandai berdikari.

“Dia sentiasa ringan tulang dan ketika kejadian mendiang secara sukarela membantu membersihkan kawasan itu bagi memudahkan penganut Hindu menunaikan ibadat pada sambutan Thaipusam,”katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s