Sekolah cuti awal Aidilfitri – Berita Harian


Sekolah cuti awal Aidilfitri
03:32:29 AM | (10) Oleh Mohd Azrone Sarabatin CetakEmel Kawan

Tiada kelas 17 Ogos sempena balik kampung

Kementerian Pelajaran menetapkan Jumaat 17 Ogos depan sebagai cuti berganti sempena Aidilfitri untuk sekolah di negeri yang cuti hujung minggunya pada Sabtu dan Ahad.
Pihak sekolah dicadangkan menggantikan cuti berkenaan pada Sabtu 22 September.
Kementerian tidak bercadang membenarkan cuti berganti pada 15 dan 16 Ogos seperti didesak beberapa pihak.
Surat siaran mengenainya yang ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Sufa‘at Tumin, sudah dihantar kepada semua Jabatan Pelajaran negeri kelmarin untuk tindakan lanjut.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, pula berkata cuti pada Jumaat itu untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada orang ramai pulang ke kampung menyambut Aidilfitri yang dijangka pada Ahad 19 Ogos.

Bercakap kepada BH semalam, beliau bagaimanapun berkata, kementerian tidak bercadang membenarkan cuti berganti pada 15 dan 16 Ogos seperti didesak beberapa pihak.

Beliau diminta mengulas cadangan orang ramai supaya sekolah diberikan cuti awal bagi memudahkan murid pulang kampung untuk berhari raya bersama keluarga. Mereka mengemukakan cadangan itu menerusi panggilan telefon dan laman Facebook BH.
NUTP anggap keputusan tepat

Dalam surat siaran Bilangan 25/2012 itu, kementerian tidak menyelaras cuti berganti Aidilfitri kerana perayaan diraikan dalam cuti pertengahan penggal kedua. Ini bermakna cuti ganti hanya untuk sekolah di negeri Kumpulan B, iaitu hujung minggu Sabtu dan Ahad.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Hashim Adnan berkata kementerian membuat keputusan tepat memberi cuti ganti pada 17 Ogos.

Katanya, ini memudahkan orang ramai merancang program balik kampung tanpa perlu meredah kesesakan lalu lintas yang teruk berbanding menjelang perayaan.

Beliau berkata, ada keluarga sanggup memulakan perjalanan pada jam 11 malam walaupun ia tidak sesuai kerana penat dan mengantuk yang mendedahkan mereka kepada kemalangan jalan raya.

Maaf pusat tuisyen diterima – Sinar Harian


Maaf pusat tuisyen diterima
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Ogos 2012

Chong Yoong bersalaman dengan Zaidi selepas melakukan permohonan maaf secara terbuka di Pejabat Umno Bahagian Ledang, semalam.
LEDANG – Pemuda Umno Bahagian Ledang, Badan Kebajikan Imam-imam dan Jawatankuasa Imam-imam Masjid Qariah Daerah Ledang menerima permohonan maaf guru dan pengusaha sebuah pusat tuisyen di Tangkak yang mencetuskan kontroversi berhubung penggunaan karikatur dalam nota ringkas subjek Sejarah tingkatan empat, baru-baru ini.

Penerimaan permohonan maaf secara terbuka dilakukan dalam sidang akhbar di Pejabat Umno Bahagian Ledang, semalam, dengan turut dihadiri pengurus pusat tuisyen tersebut, Lim Lee Yee dan tenaga pengajar terbabit, Fu Chong Yoong.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Ledang, Zaidi Abd Majis berkata, secara peribadinya Pemuda Umno Ledang agak sukar untuk memaafkan individu terbabit kerana kesalahan itu sangat berat.

Namun begitu apabila melihat keikhlasan yang ditunjukkan itu katanya, Pemuda Umno bersedia memberikan kemaafan itu.

“Kemaafan ini bersyarat yang mana mereka perlu berjanji memastikan perkara ini tidak akan berulang lagi.

“Kami (Pemuda Umno Ledang) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas jika mendapati perkara ini berulang,” katanya dalam majlis tersebut.

Zaidi menegaskan, pihaknya juga tidak akan menarik laporan polis yang dibuat kerana tidak mahu selepas ini terdapat pihak lain dengan sewenang-wenangnya mempermainkan agama Islam.

“Diharapkan apa yang dilakukan itu akan menjadi pengajaran kepada pihak lain dan menjadi lebih sensitif dengan agama lain di negara ini.

“Kita minta mana-mana pihak yang ingin menghasilkan bahan pelajaran seperti ini supaya merujuk dahulu kepada orang Islam. Sekarang ini terlampau banyak penghinaan terhadap Islam sama ada sengaja atau tidak disengajakan,” katanya.

Sementara itu, pengerusi badan berkenaan, Salimin Abd Ghani berkata, pihaknya menerima permohonan maaf dengan hati terbuka walaupun berasa cukup terhina dan tergores hati.

“Penerimaan maaf ini juga kerana umat Islam tidak pernah berdendam, selain bersifat pemaaf tetapi tidak berhasrat menarik balik laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, Isnin lalu,” katanya.
Ahad lalu, Sinar Harian melaporkan sebuah pusat tuisyen di sini, mencetuskan kontroversi apabila didakwa menggunakan karikatur menghina sahabat Nabi Muhammad SAW dalam nota ringkas bagi mata pelajaran Sejarah
tingkatan empat, bab lima, Kerajaan Islam di Madinah yang diajar kepada pelajarnya.

Menurut Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin, dalam nota tersebut terdapat 16 sahabat nabi yang disamakan dengan karikatur mencerminkan perwatakan tidak baik dan merupakan penghinaan terhadap agama Islam.

Pelajar lemas di kolam – Metro


Pelajar lemas di kolam
REMBAU: Kegembiraan lima pelajar perempuan mandi-manda di sebuah kolam mandi di taman rekreasi, di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas, petang kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 4 petang itu, Gigi Low Mei Kee, 13, dari Taboh Naning, Alor Gajah, Melaka pergi ke kolam itu bersama empat rakannya.
Ibu saudaranya, Liew Ying Yie, 35, berkata, Gigi yang juga anak sulung dua beradik tinggal bersama datuknya, Liew Sin, 58, manakala ibu bapanya, Bi Ting, 32, dan Low Wei Chuan, 30-an bekerja di Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia terkejut dimaklumkan bapanya bahawa Gigi lemas ketika mandi di kolam bersama rakannya dan bergegas pulang bersama ibu bapa mangsa.
“Seorang rakan Gigi menghubungi ayah dan memaklumkan kejadian mengejutkan itu. Ayah kemudian bergegas ke tempat kejadian dan apabila sampai, ada orang cuba membantu cucunya dengan melakukan pernafasan mulut (CPR).
“Melihat keadaan Gigi yang lemah, ayah terus terus membawanya ke hospital menggunakan kereta tetapi disahkan mati ketika mendapat rawatan di Hospital Tampin,” katanya. ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin.

Sementara itu, ibu bapa mangsa enggan ditemubual kerana terlalu bersedih di atas kehilangan anak mereka.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/03

Semakan Keputusan Permohonan Program Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani 2012


Semakan Keputusan Permohonan Program Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani 2012

Adalah dimaklumkan bahawa Semakan Keputusan Permohonan Program Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani Tahun 2012 Kemasukan 8 Ogos 2012 boleh disemak melalui Portal BPG htttp://www.moe.gov.my/bpg mulai jam 2.00 petang (3hb Ogos 2012).

Ibu, anak ditahan mabuk di pusat hiburan – Sinar Harian


Ibu, anak ditahan mabuk di pusat hiburan
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Ogos 2012
KUALA TERENGGANU – Memalukan! Seorang ibu bersama anak gadisnya bukan sahaja tergamak mencemari kesucian Ramadan dengan berhibur di sebuah pusat hiburan, malah mereka dengan tidak rasa bersalah meneguk minuman keras di tingkat empat Plaza Perdana, di sini, awal pagi semalam.

Aktiviti maksiat kedua-dua beranak itu yang tinggal di Rumah Pangsa Bukit Depu, Kuala Ibai, di sini, terbongkar apabila mereka antara 52 pengunjung yang ditahan dalam serbuan ‘Ops Noda Bulan Ramadan’ oleh anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat daerah (IPD) Kuala Terengganu bersama anggota Penguat kuasa Syariah Kuala Terengganu.

Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 1 pagi itu, ‘si ibu’ yang berusia 34 tahun dan si anak 16 tahun ditangkap ketika sedang asyik menuang minuman keras sambil berhibur dengan dikelilingi lelaki bukan muhrim, rata-rata dalam kalangan buruh dan nelayan.

Kedua-dua beranak itu yang berpakaian menjolok mata ditahan bersama lima wanita dan tujuh lelaki di bawah Seksyen 23 (1) Enakmen Jenayah Syariah Takzim Negeri Terengganu 2001 atas kesalahan minum minuman memabukkan.

Turut ditahan, seorang pondan berusia 32 tahun atas kesalahan memakai pakaian dan menyamai perempuan di tempat awam.

Siasatan awal mendapati, dua beranak itu yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan sebelum ini pernah ditahan beberapa kali atas kesalahan sama dan didapati tidak pernah insaf.

Serbuan dilakukan selepas pihak berkuasa menerima maklumat berhubung terdapat premis yang membenarkan remaja bawah umur masuk dengan menawarkan pakej serendah RM10 sahaja jika tidak mahu minum minuman keras di samping turut menjalankan urus niaga lebih masa.

Dalam serbuan itu juga, beberapa botol minuman keras dan gelas minuman keras turut dirampas sebagai barang kes manakala tiga pekerja premis terbabit yang beragama Islam serta pemiliknya turut ditahan atas kesalahan menyediakan dan menjual minuman keras kepada orang Islam.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian semalam mengesahkan tangkapan dan operasi berkenaan.

Guna murid sekolah, OKU jual mercun – Sinar Harian


Guna murid sekolah, OKU jual mercun
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Ogos 2012

Jamshah (kanan) bersama Dahlan dan Pengurus Besar Ulek Beach Resort, Nizam Ahmad (dua dari kanan) menyertai program pencegahan jenayah ‘kesejahteraan komuniti tanggungjawab bers
DUNGUN – Polis Terengganu mengesan terdapat aktiviti penjualan mercun secara haram melibatkan murid sekolah yang dijadikan orang tengah untuk memasarkan bahan terlarang itu.

Ketua Polis Negeri, Senior Assistan Kommisioner Datuk Jamshah Mustapa berkata, terbaru, pihaknya turut mengesan strategi dilakukan orang tengah dengan orang kurang upaya (OKU) serta murid sekolah untuk menjual mercun di lokasi tertentu.

Beliau berkata, taktik terbabit dilakukan sebagai salah satu cara peniaga mengaburi pihak berkuasa kerana ia akan mengubah tanggapan bahawa kanak-kanak biasannya tidak terlibat dengan aktiviti penjualan mercun secara haram sebaliknya mercun hanya dijadikan satu barang mainan.

Sehubungan itu, Jamshah berkata, pihaknya sedang melakukan pemerhatian terhadap aktiviti tidak bertanggungjawab itu dan meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya aktiviti berkenaan wujud di persekitaran mereka.

“Kalau boleh kita hendak hentikan pembekal sebab sekiranya tiada pembekal, bekalan mercun memang tidak akan wujud.

“Hendak sekat bukan sesuatu yang mudah kerana keuntungannya tinggi, harga berlipat kali ganda. Oleh itu, kita perlu kerjasama orang ramai untuk membanteras perkara ini,” katanya ketika menyertai kempen pencegahan jenayah di sini, petang kelmarin.

Pada program berkenaan, Jamshah bersama pegawainya mengedarkan bubur lambuk secara percuma kepada pengguna jalan raya tajaan Ulek Beach Resort.
Menurutnya, setakat ini, dua tangkapan telah dibuat berhubung penjualan mercun secara haram dan semuanya hasil maklumat orang awam.

Pancaragam SMK Sultanah Asma terima anugerah badan dunia – Bernama


Pancaragam SMK Sultanah Asma terima anugerah badan dunia
15:55:03 PM Cetak Emel Kawan

ALOR SETAR: Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma di sini menerima anugerah ‘The Sudler Shield Award’ daripada World Association of Marching Show Band (WAMSB) berikutan pencapaian cemerlang sekolah itu pada Persembahan Pancaragam Sedunia (WCMSB) 2011.

Anugerah disampaikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif WAMSB, Robert G Eklund kepada Pengetua SMK Sultanah Asma, Kartini Zakaria, hari ini.

Pemilihan SMK Sultanah Asma berdasarkan pencapaian terbaiknya dengan memenangi beberapa kategori acara yang dipertandingkan selain muncul juara keseluruhan.
Jurulatih pancaragam sekolah itu, Tang Chia Hue, berkata beliau tidak menyangka sekolahnya dipilih memenangi anugerah berkenaan kerana terpaksa melalui proses saringan dengan 26 sekolah lain dari seluruh dunia.

“Kami akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk terus mendapat tempat pada kejohanan akan datang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, pasukan pancaragamnya adalah sekolah pertama di negara ini yang dipilih menerima anugerah berprestij itu sambil menambah bahawa kemenangan itu adalah hasil kegigihan pasukannya selain persembahan unik yang berjaya menawan juri profesional.

Pertandingan diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 23 hingga 31 Julai tahun lalu.
Pada kejohanan itu, SMK Sultanah Asma yang diwakili 140 anggota pancaragam berjaya mengumpul 94.2 mata, manakala Suphanburi Marching Band dari Thailand di tempat kedua dengan 91.7 mata dan Chein-Kuo High School Marching Band dari Taiwan di tempat ketiga dengan 90.6 mata. – BERNAMA

Kaji semula elaun, insentif – Utusan


Kaji semula elaun, insentif

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 2 Ogos – Kerajaan diminta mengkaji semula beberapa jenis elaun dan insentif yang dibayar kepada anggota sektor awam memandangkan bayaran elaun sekarang masih di takuk lama.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda berkata, cadangan tersebut merupakan salah satu daripada 24 cadangan dan 23 syor yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam.

Katanya, cadangan kajian semula itu berikutan kos perbelanjaan seharian telah meningkat dan untuk memberikan transformasi kepada sektor perkhidmatan awam.

“Antaranya kita meminta kerajaan mengkaji semula elaun keraian, elaun tetap perumahan dan elaun khidmat awam serta memberi penekanan terhadap isu perumahan memandangkan lonjakan harga rumah berbanding gaji diterima.

Ambil tindakan tegas terhadap guru, pusat tuisyen – Utusan


Ambil tindakan tegas terhadap guru, pusat tuisyen

JOHOR BAHRU 2 Ogos – Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa mengambil tindakan tegas terhadap guru dan pusat tuisyen yang mengedarkan nota ringkas subjek Sejarah yang memaparkan karikatur menghina sahabat Nabi Muhammad SAW baru-baru ini.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut berkata, perbuatan itu tidak boleh dimaafkan kerana telah menyentuh isu agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

Menurutnya, perkara seperti itu bukanlah yang pertama berlaku tetapi telah berulang kali dan perlu dikenakan tindakan tegas sebagai iktibar kepada pihak lain.

“Saya akui negara ini mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama, tetapi status Islam sebagai agama rasmi mesti dihormati dan difahami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.