Najib: Hubungan erat kerajaan-kakitangan awam tonggak kejayaan negara – Bernama


Najib: Hubungan erat kerajaan-kakitangan awam tonggak kejayaan negara

4 Ogos 2012
PEKAN – Kerjasama yang erat selama ini antara kerajaan dan penjawat awam terbukti menjadi tonggak kejayaan negara sejak dulu lagi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, hubungan erat dan baik yang terjalin sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga kini juga jelas membuktikan adanya persefahaman antara kedua-dua pihak.

“Kerjasama dan sokongan para penjawat awam terutamanya dalam melaksanakan semua keputusan kerajaan dan membantu menyelesaikan masalah rakyat sangat bermakna untuk kita,” katanya ketika berucap di majlis berbuka puasa bersama penjawat awam daerah Pekan di sini, malam ini.

Najib berkata, tanpa hubungan baik itu, tidak mungkin negara dapat melalui proses trasformasi yang besar dengan Malaysia mengalami pelbagai perubahan sejak merdeka.

Beliau berkata, transformasi itu termasuklah kejayaan negara yang menghapuskan kadar kemiskinan yang dicatatkan lebih 50 peratus sejak awal kemerdekaan.

“Usaha pembasmian kemiskinan oleh kerajaan kita adalah antara terbaik dilaksanakan selain menukar status daripada negara pertanian kepada pertanian berpendapatan sederhana tinggi,” katanya.

Najib berkata kerajaan sejak dulu lagi memberi perhatian khusus terhadap kebajikan penjawat awam dengan pelbagai inisiatif dan tumpuan diberi dalam memastikan ikatan kedua-duanya terus kukuh.

“Pada awal tahun ini kita beri kenaikan gaji dari tujuh hingga 17 peratus kepada penjawat awam yang melibatkan peruntukan lebih RM4 bilion.

“Baru-baru ini pula kita mengumumkan bonus setengah bulan gaji sempena sambutan Aidilfitri, ini menunjukkan kita menghargai penjawat awam,” katanya.

Najib berkata, apa yang penting adalah penjawat awam perlu komited dan berdedikasi dalam menjalankan tugas manakala kerajaan akan terus menjaga kebajikan mereka mengikut kemampuan. – Bernama

Adik koma selepas dibedah – Sinar Harian


Adik koma selepas dibedah
WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Ogos 2012

Keadaan Nur Syamira Ezzety yang masih koma selepas menjalani pembedahan jantung di IJN.
JASIN – Jika ibu bapa lain sibuk membuat persiapan untuk anak-anak menjelang Syawal tidak lama lagi, namun bagi ibu tunggal Sorina Abas, 46, dia hanya mampu menatap wajah anaknya yang lebih dua hari koma selepas menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), 2 Ogos lalu.

Menurutnya, bukan mudah untuk menerima ujian apabila anak bongsu kesayangannya, Nur Syamira Ezzety Ibrahim, 11, yang mesra dengan panggilan ‘Adik’ menjalani pembedahan kerana memahami risiko maut yang bakal dihadapi.

“Sempena bulan penuh keberkatan ini, saya hanya mampu berserah kepada ALLAH SWT.

“Pembedahan yang mengambil masa selama sembilan jam berjaya dilakukan dengan dua proses termasuk menampal jantung berlubang dan membetulkan kedudukan jantung yang terbalik pada Nur Syamira,” katanya.

Sorina berkata, dia seolah-olah hampir kehilangan anaknya itu apabila selepas pembedahan, Nur Syamira koma dan kritikal sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) disebabkan terlalu banyak pendarahan sehingga terpaksa menggunakan 15 beg darah untuk menyelamatkannya.

“Alhamdulillah, biarpun sekarang dia masih koma, namun perkembangannya semakin positif dan bersyukur pembedahan berjaya dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan itu, jauh di sudut hati Sorina terbit rasa gusar mengenangkan kos hospital yang tidak mampu dibiayai memandangkan warung makan yang diusahakan bukan sahaja tidak beroperasi sepanjang Ramadan, malah dia perlu menemani anaknya itu di IJN.

Katanya, walaupun kos pembedahan ditanggung oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun dia masih memerlukan dana untuk menjelaskan bil hospital termasuk kos perubatan dan beberapan keperluan lain selepas anaknya dibenarkan keluar hospital kelak.

“Sebelum ini pihak IJN menganggarkan kos sebanyak RM15,000 bagi rawatan selepas pembedahan termasuk perubatan dan sebagainya, namun kos berkenaan lebih dari itu dan saya benar-benar memerlukan dana bagi meringankan beban.

“Sememangnya saya tidak dapat membalas jasa penderma sebelum ini dan mengharapkan keprihatinan masyarakat untuk terus membantu saya supaya adik dapat menjalani kehidupan seperti kanakkanak lain,” katanya.

Malah, katanya, dia juga berharap pihak yang telah berjanji untuk memberikan sumbangan tabung masjid sebelum ini dapat berbuat demikian dalam membantu dia menambahkan dana untuk kos pembiayaan selepas pembedahan.

Sinar Harian sebelum ini pernah menyiarkan penderitaan murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Selandar itu yang menghidap sakit jantung kritikal memerlukan dana bagi kos perubatan dan hospital termasuk keperluan lain.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh salurkan melalui akaun Bank Islam atas nama Sorina Abas (no akaun: 04033020189781) atau hubunginya di talian 017 2152313 .

Giant dan Nestle rai OKU – Sinar Harian


Giant dan Nestle rai OKU
WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Ogos 2012

Nadzry (kanan) membantu kanan-kanak OKU memilih samping untuk digayakan pada hari raya nanti.
KOTA BHARU – Peneraju pasar raya dan peruncit utama negara, Giant dengan kerjasama Nestle (M) Sdn Bhd melunaskan tanggungjawab sosial mereka dengan menyediakan kelengkapan raya kepada 50 orang kurang upaya (OKU), kelmarin.

Pengurus besarnya, Nadzry Nordin berkata sekurang-kurang sejumlah RM200 kos pembelian diperuntukkan pada setiap seorang OKU untuk membeli keperluan mereka sempena Aidilfitri akan datang.

Katanya, usaha itu juga bertujuan memberi peluang kepada golongan istimewa itu merasai nikmat memiliki baju, kasut dan barangan baru ketika berhari raya.

“Kami juga memberi peluang mereka memilih sendiri, pakaian dan kasut yang mereka mahu pakai nanti dengan membawa mereka ke pasar raya Giant di sini.

“Di samping itu kami juga mengadakan majlis berbuka puasa selepas selesai pemilihan barangan-barangan berkenaan,” katanya ketika ditemui di pasar raya berkenaan di sini, petang kelmarin.

Pada program berkenaan, OKU dari Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) bernasib baik dipilih sebagai peserta program berkenaan.

Nadzry berkata, program itu dijalankan serentak di lima lokasi termasuk dua Selangor, Kuching dan Kelantan.

“Program ini adalah acara tahunan kami dan pertama kali kolaborasi bersama Nestle diadakan dan Insya-Allah akan diteruskan pada masa depan. Selain itu Giant juga turut menawarkan potongan harga terhadap pelbagai barangan untuk keperluan Ramadan dan Aidilfitri akan datang,” katanya.

Sementara itu, Azimah Mohd Anuar, 22, menyatakan rasa gembira apabila berpeluang mengenakan baju kurung baru pada hari raya nanti.

“Sekurang-kurangnya pemberian ini dapat meringankan beban ibu yang perlu berbelanja kepada tujuh lagi adik-beradik saya yang lain. Terima kasih kepada Giant dan Nestle,” katanya.

Awasi anak dari bermain mercun – Sinar Harian


Awasi anak dari bermain mercun
WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Ogos 2012
PASIR MAS – Ibu bapa dan golongan dewasa perlu memastikan anak-anak kecil diawasi sepenuhnya, agar mereka tidak leka membeli dan bermain mercun.

Aktivis masyarakat, Daud Abdullah berkata, meskipun kerajaan melarang penjualan barangan berasaskan mercun, namun anak-anak kecil dan remaja mempunyai cara tersendiri untuk mendapatkan bekalan mercun.

“Banyak kes melibatkan kecederaan dilaporkan dan yang terlibat adalah kanak-kanak dan remaja,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, anak-anak perlu dididik mengenai kesan jangka panjang, yang mana jika berlaku sesuatu perkara, ia mungkin menjadi satu tragedi buruk sehingga boleh mengakibatkan kehilangan anggota badan mahupun nyawa.

Senyuman ceria anak yatim – Sinar Harian


Senyuman ceria anak yatim
FARAH SHAZWANI ALI
5 Ogos 2012

Warga kerja Sinar Harian Terengganu bersama 20 anak yatim yang dijemput di balai raya Wakaf Mempelam sempena proram Kasih Sinar Ramadan. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kema
KUALA TERENGGANU – Setelah hampir dua minggu menunaikan ibadah puasa, kebanyakan umat Islam sudah pastinya sibuk membuat persiapan awal bagi menyambut hari Lebaran.

Namun bagi mereka yang kurang bernasib baik seperti anak yatim dan golongan kurang berkemampuan, pastinya persiapan yang dibuat tidak ‘semeriah’ orang lain yang jauh lebih berkemampuan.

Menyedari hakikat itu, Sinar Harian mengambil inisiatif menganjurkan program ‘Kasih Sinar Ramadan’ dan telah meraikan 20 anak yatim dan kurang berkemampuan dari Kampung Wakaf Mempelam.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Wakaf Mempelam yang diterajui Pengerusinya, Husin Mohd Noor yang memberikan komitmen tidak berbelah bahagi dalam merealisasikan majlis ini.

Sempena program ‘Kasih Sinar Ramadan’ ini, konvoi Sinar Harian yang diketuai Editor Sinar Harian Edisi Terengganu, Wan Normi Hasan dan Ketua Wartawan Sinar Harian Terengganu, Rahayu Mustafa telah pergi ke beberapa lokasi bagi meraikan kanak-kanak dan remaja terpilih.

Sinar Harian cukup bertuah kerana mendapat sokongan penuh dan kerjasama daripada Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang juga Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu yang sanggup turun padang dan membeli pakaian raya untuk kanak-kanak dan remaja yang terpilih.

Lebih mengharukan, kakitangan Mydin Mall yang tidak menang tangan dengan memberikan kerjasama yang baik dalam memastikan kelancaran majlis ini.

Selain itu, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Mempelam, Wan Mahyuddin Wan Ngah juga bermurah hati menyumbangkan duit raya.

Tidak ketinggalan, kedai kasut terkenal di Terengganu iaitu Kasut You turut menyumbang baucar sebanyak RM50 kepada semua kanak-kanak dan remaja yang diraikan, yang disampaikan Eksekutif Pemasaran Kasut You cawangan Terengganu, Nicky Mak.

Lebih bermakna, restoran yang tersohor dengan makanan laut dan ikan tawar segar iaitu T’Kafe D’Muara Live Seafood di Losong turut menyumbang dengan menaja majlis berbuka puasa.

Melihatkan keceriaan yang terpancar pada wajah kanak-kanak dan remaja yang diraikan, pastinya ia cukup menggembirakan kami selaku penganjur dan juga penaja-penaja program ini.
Janji kami, ikatan yang terjalin ini tidak akan terhenti setakat ini!

Lima beranak berhimpit di ruang tamu – Metro


Lima beranak berhimpit di ruang tamu
Laporan dan foto JAUHARIATUL AKMAL JOHAR
am@hmetro.com.my

RANTAU PANJANG: Lima beranak hanya mampu tidur beralaskan tikar getah dan berhimpit di ruang tamu memandangkan rumah yang didiami sejak 17 tahun tidak mempunyai bilik tidur.

Pasangan suami isteri, Abdullah Yah, 39, dan isterinya, Fatimah Mat Hassan, 49, hidup dalam kemiskinan, menyebabkan mereka tidak mampu untuk membaik pulih rumah di Kampung Kubang Puyuh, di sini.
Tiga anak mereka berusia 18 hingga 14 tahun terpaksa dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan dan dua daripadanya masih meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periuk.

Menurut Abdullah, dia mempunyai pendapatan tidak menentu dan hanya melakukan kerja kampung yang cukup untuk digunakan bagi makan dan minum sekeluarga.
“Rumah ini didirikan atas tanah mentua yang diserahkan kepada isteri. Ini saja rumah yang mampu saya sediakan untuk keluarga berteduh dan ia semakin usang.
“Saya tidak mampu mengeluarkan wang bagi membaik pulih rumah kerana pendapatan sekadar cukup untuk menyara keluarga,” katanya.

Tinjauan Harian Metro ke rumah itu semalam, mendapati keadaan rumah keluarga terbabit terlalu sempit untuk didiami dan hanya mempunyai ruang tamu serta dapur.
Keluarga terbabit juga terpaksa tidur beralaskan lantai papan kerana tidak mampu membeli tilam.

Abdullah berkata, dia sedar sememangnya tidak sesuai bagi dua anak lelaki dan perempuannya untuk tidur di satu ruang sama, namun mereka tiada pilihan lain.
Katanya, selain masalah rumah, dia runsing mengenai keadaan kesihatan isteri yang menghidap penyakit kencing manis dan perlu mendapatkan rawatan susulan setiap bulan.
“Isteri saya perlu mengambil suntikan sebanyak dua kali disebabkan penyakit kencing manis dialami selepas melahirkan anak bongsu.
“Mengenai rumah, saya memohon Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan berharap ia dapat dipertimbangkan supaya dapat tinggal dalam rumah lebih selesa,” katanya.

Remaja maut digilis lori – Metro


Remaja maut digilis lori
IPOH: Seorang remaja maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya pecah sejurus dirempuh dan digilis oleh sebuah lori dalam kemalangan berhampiran Jalan Lahat-Pasir Puteh, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.50 petang, Fong Kar Kui, 16, dari Bandar Lahat Baru, Lahat, yang menunggang motosikal dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum dirempuh sebuah lori percayai dari arah Pasir Puteh ke Lahat.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharudddin Wan Omar berkata, mangsa yang cedera parah di kepala mati di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dari arah Lahat ke Pasir Puteh ingin membuat pusingan U ketika lampu isyarat merah sebelum dirempuh dan digilis lori yang datang dari arah Pasir Puteh ke Lahat.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, untuk bedah siasat,” katanya.
Menurut Wan Sharudddin, motosikal mangsa remuk teruk manakala pemandu lori tidak cedera.

11,000 lagi guru j-Qaf diperlukan – Utusan


11,000 lagi guru j-Qaf diperlukan

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 4 Ogos – Seramai kira-kira 11,000 guru bagi mengajar subjek Jawi, al- Quran, Arab dan Fardhu Ain (j-Qaf) masih diperlukan dalam memastikan semua sekolah rendah di seluruh negara mempunyai pembelajaran itu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, masalah kekurangan guru itu turut menyukarkan pembelajaran tersebut diwujudkan di peringkat sekolah menengah pada tahun depan.

Katanya, pembelajaran j-Qaf juga sukar diperluaskan disebabkan kurangnya guru berijazah untuk mengajar j-Qaf serta masalah permohonan perjawatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang masih tidak diluluskan sehingga kini.

“Oleh itu, kita minta supaya JPA mempercepatkan kelulusan perjawatan bagi guru j-Qaf yang sudah dimohon Kementerian Pelajaran bagi membolehkan kekurangan diisi segera.

Pendidikan agenda utama – TPM – Utusan


Pendidikan agenda utama – TPM

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

Muhyiddin Yassin melihat barangan jualan ketika melawat ke gerai-gerai selepas pelancaran Jom Beli Barangan Raya di Kompleks Sukan, Pagoh, Johor, semalam. – BERNAMA
PAGOH 4 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru umat Islam meletakkan pendidikan sebagai antara agenda utama dalam kehidupan kerana ia merupakan aspek penting dalam memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan amat mementingkan bidang pendidikan dengan memastikan setiap rakyat mendapat peluang bersekolah dan mempelajari ilmu tanpa mengira kaum atau agama.

“Tiada sebab kita tidak dapat belajar ilmu dunia, ilmu agama dan sebagainya kerana dengan ilmu inilah akan dapat mengurangkan kemiskinan serta meningkatkan taraf hidup kita.

“Kerajaan memang mementingkan pendidikan,” katanya ketika berucap pada majlis tahlil dan berbuka puasa UMNO Bahagian Pagoh di Masjid Jamek Kampung Baru Batu 28, Lenga, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat dan ADUN Jorak, Datuk Dr. Shaharuddin Md. Salleh.

Terdahulu, beliau melawat dan beramah-mesra dengan orang ramai sebelum merasmikan Program Jom Beli Barang Raya @ Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, dekat sini, yang diadakan selama tiga hari bermula semalam.

Muhyiddin berkata, usaha kerajaan membangunkan rakyat dan negara selepas merdeka kini mencatatkan kadar positif apabila kemiskinan ketika ini hanya dua hingga tiga peratus berbanding 70 peratus sewaktu negara baru merdeka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh menambah, kerajaan tidak mahu melihat rakyat terbiar atau terpinggir kerana asas untuk menjadi negara maju adalah menerusi pendidikan yang seterusnya dapat meningkatkan ekonomi serta menangani cabaran kos sara hidup yang tinggi.

Beliau turut mengingatkan umat Islam mengambil peluang sepanjang Ramadan kali ini untuk memperbaiki diri dan meningkatkan ibadat kerana bulan tersebut penuh dengan rahmat dan keberkatan.

“Berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi lebih daripada itu dapat membentuk jati diri selain merasai kesusahan orang lain kerana umat Islam di negara ini tidak merasai kesusahan seperti di negara Islam lain yang dilanda musibah dan kebuluran,” katanya.

Pelajar dibelasah senior – Utusan


Pelajar dibelasah senior
Norakma Mohidin melihat kesan lebam pada badan anaknya, Mohd. Amirul Mukmin Mohd. Yusmiza akibat dibelasah pelajar senior.
KOTA TINGGI 4 Ogos – Gara-gara menegur sekumpulan pelajar membuat bising, seorang pelajar di sebuah sekolah asrama di Bandar Penawar dekat sini, dibelasah sekumpulan senior sehingga pengsan dan lebam di seluruh badan pada Khamis lalu.

Menurut pelajar tingkatan lima itu, Mohd. Amirul Mukmin Mohd Yusmiza, 17, kejadian pada pukul 1 pagi itu bermula apabila dia dikejutkan seorang pelajar yang tidak dikenali yang memberitahu ada pelajar senior mahu berjumpa dengannya.

“Ketika itu saya tidak terfikir akan dipukul tambahan pula saya masih dalam keadaan separuh sedar. Sebaik sahaja sampai di bilik pelajar berkenaan, salah seorang pelajar senior yang ada di situ bertanyakan soalan sebelum kira-kira tujuh atau lapan orang daripada mereka memukul saya bertubi-tubi.