Hujung dua jari hancur – Harian Metro


Hujung dua jari hancur
Oleh Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my

GUA MUSANG: “Saya berdebar sebaik terdengar suara adik meraung. Raungan adik kedengaran selepas saya mendengar bunyi letupan mercun dan tiba-tiba adik muncul bersama jiran dalam keadaan tangannya berlumuran darah dan berbalut kain.

“Saya terkejut apabila sebaik membuka balutan itu, saya lihat bahagian kuku jari hantu dan jari manis di tangan kiri adik hancur,” kata Nor Ayuni Ramlee, 16, kakak kepada Mohd Shafiq Afandi Ramlee, 5, yang menjadi mangsa mercun pertama di negeri ini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Mohd Shafiq bersama seorang lagi kakaknya Nor Atirah, 9, ke rumah jiran 30 meter dari rumahnya di Kampung Kolam Emas, dekat sini, sebelum cedera akibat bermain mercun bola.

Difahamkan, mercun bola yang dipegang Mohd Shafiq meletup di tangannya sebelum sempat dilemparkan.
Menurut Nor Ayuni, ibu bapanya meminta dia segera membawa adiknya ke Hospital Gua Musang bagi mendapatkan rawatan.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/06

Pengusaha Shell rai 50 pelajar tahfiz berbuka – Harian Metro


Pengusaha Shell rai 50 pelajar tahfiz berbuka
JITRA: Pengusaha Shell Wilayah Utara Kedah/Perlis (Team AO5) meraikan 50 pelajar Maahad Tahfiz Al-Munir Bukit Pinang dalam majlis berbuka puasa di Darulaman Suite, Darulaman Golf & Country Club, di sini, kelmarin.

Pengerusinya, Rusdi Sulaiman, berkata program itu menjadi acara tahunan mereka setiap kali tibanya Ramadan bagi menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu golongan yang memerlukan.
Menurutnya, dengan adanya majlis berbuka puasa itu juga, secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan antara pengusaha Shell dengan pelajar tahfiz diraikan.

Katanya, pelajar turut menerima sumbangan berupa duit raya dan juga hamper mengandungi makanan harian.
Sumbangan dikongsi bersama itu diharap membawa keberkatan kepada kedua pihak, sekali gus meringankan bebanan golongan kurang berkemampuan.
“Kita juga bukan sekadar menumpukan pada Ramadan bagi mengadakan aktiviti ini, sebaliknya mengadakan pelbagai program membabitkan anggota keselamatan seperti polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) serta rukun tetangga di kawasan setempat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/06

Ekspresi bakat pelajar sekolah – Kosmo


Ekspresi bakat pelajar sekolah
Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

Program inisiatif ekspresi belia DiGi ini menggalakkan remaja untuk tampil ke hadapan dan menonjolkan bakat kreatif yang dimiliki.

REMAJA dan muzik sukar dipisahkan. Malah, kreativiti mereka terhadap elemen itu menjangkaui pemikiran dan punya tarikan tersendiri. Menyedari hakikat itu, DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) mengambil langkah memperkenalkan program DiGi Live Sekolahku Berbakat bagi mencungkil potensi yang ada dalam diri mereka untuk diketengahkan menerusi seni pentas.

Program inisiatif ekspresi belia DiGi itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi menggalakkan mereka yang berumur antara 12 hingga 19 tahun menampilkan kreativiti diri dalam cara yang menyeronokkan dan kreatif melalui muzik dan tarian.

Menurut Ketua Pemasaran Segmen DiGi, Moharmustaqeem Mohammed, menerusi penglibatan mereka dengan golongan belia sebelum ini, banyak bakat dinamik dan unik sama ada individu mahupun berkumpulan berjaya ditemui terutama dalam bidang muzik.

“Justeru, ini telah memberikan kami sebab terbaik untuk mewujudkan satu platform di mana mereka boleh menampilkan kemampuan dan kreativiti mereka hingga ke peringkat nasional.

“Apa yang membezakan Sekolahku Berbakat daripada program persembahan bakat yang lain adalah tahap penglibatan yang disediakan kepada semua peserta. Dengan kerjasama KPM, kami akan menganjurkan bengkel kreativiti, tata rias dan persembahan bukan sahaja untuk murid-murid, malah juga guru-guru pilihan kementerian.

“Ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran kondusif yang menyokong dan memupuk pembangunan bakat para pelajar di sekolah-sekolah tempatan,” kata beliau sewaktu melancarkan program berkenaan di Studio DiGi House di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Lantaran itu, inisiatif DiGi Live Sekolahku Berbakat melengkapi saranan Kementerian Pelajaran dengan hasrat supaya murid-murid menjadi serba boleh dan memiliki cara hidup yang seimbang antara pelajaran dan aktiviti kokurikulum.

Program DiGi Live Sekolahku Berbakat telah bermula sejak 28 Februari lalu dan peringkat akhirnya akan berlangsung pada 8 Mei ini. Ia terbuka kepada semua pelajar sekolah di Malaysia berusia 12 hingga 19 tahun.

Untuk menyertai pertandingan itu, pelajar perlu membentuk kumpulan yang mempunyai dua hingga enam ahli dan mendaftarkan kumpulan mereka menerusi sekolah masing-masing atau dalam talian di http://www.digi.com.my/digilive bagi salah satu daripada lima kategori berikut, iaitu nyanyian, kugiran, kugiran instrumental, tarian atau tradisional.

Uji bakat akan diadakan di enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor. Sepuluh kumpulan akan dipilih dari setiap negeri untuk bertanding di peringkat akhir bagi negeri tersebut.

Dua kumpulan teratas dari setiap negeri pula layak menyertai pertandingan ke peringkat akhir kebangsaan yang akan berlangsung pada 8 Mei 2011 di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Pada setiap tahap pertandingan, kumpulan yang layak perlu menghadiri satu kem yang menampilkan latihan motivasi, sesi berhias diri dan raptai untuk menyediakan mereka ke peringkat akhir.

Bagaimanapun, kumpulan dari luar kawasan enam negeri tersebut boleh menyertai pertandingan ini sama ada dengan menghadiri uji bakat di lokasi yang telah ditetapkan atau menerusi penyertaan wildcard.

Mereka boleh memuat naik video uji bakat ke dalam laman Facebook Belia DiGi, http://www.facebook.com/digiyouths. Penyertaan wildcard itu juga termasuk bagi kumpulan yang tidak berjaya melepasi uji bakat di negeri masing-masing.

Hanya dua kumpulan daripada penyertaan wildcard di laman Facebook ini akan dipilih untuk bertanding di peringkat akhir kebangsaan berdasarkan undian popular daripada orang ramai.

Untuk maklumat lanjut mengenai program DiGi Live Sekolahku Berbakat, layari laman web http://www.digi.com.my/digilive.

Dua beranak maut langgar lembu – Kosmo


Dua beranak maut langgar lembu
Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
zulsham@kosmo.com.my

ANGGOTA polis memeriksa kereta Perodua Kancil yang terlibat dalam kemalangan hingga mengakibatkan dua beranak maut di Alor Gajah semalam.

ALOR GAJAH – Kegembiraan sebuah keluarga meraikan kepulangan seorang ahli keluarga mereka dari Jepun bertukar tragedi apabila dua daripadanya maut selepas kereta jenis Perodua Kancil yang mereka naiki merempuh seekor lembu semalam.

Kejadian pukul 1.20 pagi di Kilometer 213 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat itu mengorbankan guru Sekolah Kebangsaan Sungai Linau, Johor, Ngatina Semin (gambar kecil), 47, dan anak bongsunya, Muhamad Habib Firdaus Mokhtar, 10.

Suami Ngatina, Mokhtar Abu Bakar, 50, yang juga anggota polis dari Pasukan Gerakan Am Simpang Renggam dan seorang lagi anak mereka, Siti Nasuha, 21, kecederaan parah.

Difahamkan, Mokhtar patah tulang rusuk manakala Siti Nasuha cedera di mata kanan dan dirawat di Hospital Melaka.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian empat beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Simpang Renggam selepas menjemput Siti Nasuha di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.

Pelajar jurusan kejuruteraan itu pulang untuk menghabiskan cuti semestar selama dua bulan.

“Sebaik sampai di tempat kejadian, seekor lembu tiba-tiba melintas menyebabkan Mokhtar hilang kawalan. Ekoran itu, kereta yang mereka naiki terbalik di atas penghadang jalan menyebabkan Ngatina dan Muhamad Firdaus maut,” katanya di sini semalam.

Dituduh rogol remaja – Sinar Harian


Dituduh rogol remaja
ROSMIZA KASIM FOTO:KHIRU SHALLEH ABDULLAH
6 Ogos 2012

Mohammad Izdihar tenang ketika dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
KOTA BHARU – Seorang pemuda dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol remaja berusia 14 tahun di sebuah rumah di Taman Haji Mustafa, Ketereh pada 27 Julai lalu.

Bagaimanapun, Mohammad Izdihar Abdullah, 21, ketika dihadapkan di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nariman Badruddin mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan memohon untuk dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Izdihar didakwa merogol remaja berusia 14 tahun 4 bulan itu di sebuah rumah di Taman Haji Mustafa, Ketereh pada 1.30 pagi, bulan lalu.

Dakwaan ke atas lelaki dari Kampung Pagut, Ketereh itu dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dengan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Salam Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ahmad Salam tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh dan Nariman menetapkan tiada jaminan dibenarkan ke atas Mohammad Izdihar.

Mahkamah menetapkan 6 September ini untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan kimia dan perubatan mangsa.

Remaja mengaku bersalah rogol kanak-kanak – Sinar Harian


Remaja mengaku bersalah rogol kanak-kanak
WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Ogos 2012

Remaja berkenaan dibawa keluar dari mahkamah semalam selepas pengakuan salahnya.
KOTA BHARU-Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun mengaku bersalah merogol kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun di sebuah rumah di Kampung Bemban, Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, remaja lelaki itu didakwa merogol kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun 11 bulan itu di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Bemban, jam 4 petang, 20 Mei lalu.

Remaja lelaki itu dihadapkan di depan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor dengan ditemani ibunya sebagai penjaga.

Remaja itu yang merupakan pesalah juvana membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh juru bahasa mahkamah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) dan dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan semalam dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Nizam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nabilah menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 namun Muhamad Hafiz membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 selepas ibu tertuduh memohon jaminan dikurangkan dan berjaya meyakinkan mahkamah mereka dapat hadir pada tarikh ditetapkan.

“Saya memohon wang jaminan dapat dikurangkan kerana suami saya hanyalah seorang buruh binaan dengan pendapatan RM1,500 sebulan, manakala saya hanya seorang suri rumah yang tidak bekerja.

“Saya berjanji akan memastikan anak saya hadir setiap kali dikehendaki mahkamah,” katanya. Mahkamah menetapkan 12 September ini untuk sebutan kes tersebut.

Dua kanak-kanak dikesan minta sedekah – Sinar Harian


Dua kanak-kanak dikesan minta sedekah
WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Ogos 2012

Dua kanak-kanak yang dilihat berkeliaran di kawasan terbabit baru-baru ini.
KOTA BHARU-Tidak serik! Walaupun pihak berkuasa pernah melakukan serbuan di hadapan sebuah pasar raya di sini, namun dua kanak-kanak yang menggunakan nama sebuah pondok tahfiz di Kedah masih melakukan kegiatan meminta derma di kawasan itu.

Kelibat dua kanak-kanak lelaki dan perempuan itu dilihat sering dilihat berkeliaran di kawasan terbabit.

Seorang pelanggan, Mohd Aiman Haziq, 25, berkata, kehadiran pengutip derma terbabit yang menggunakan nama sebuah pondok tahfiz amat meragukan.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat memantau keadaan terbabit supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan mereka yang hendak membeli belah di kawasan itu.

“Memang ramai masyarakat yang prihatin menghulurkan bantuan kepada merekan tetapi mereka seolah-olah menyalah gunakan tenaga kanak-kanak itu yang sepatutnya belajar,” katanya kepada Sinar Harian.

Sehubungan itu, dia berharap pihak terbabit dapat menjalankan pemantauan berkala di kawasan terbabit.

Tiga beranak terselamat – Sinar Harian


Tiga beranak terselamat
WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Ogos 2012

Keadaan kereta mangsa yang remuk akibat kemalangan di KM 34 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh.
SERENDAH – Tiga beranak berdepan detik mencemaskan apabila kereta yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan di Kilometer 34 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, kereta jenis Proton Wira yang dipandu Yap Chow Soon, 37, dari arah Rawang menghala ke Ipoh hilang kawalan dan terbabas seterusnya melambung ke arah kereta dinaiki tiga beranak berkenaan. Saksi kejadian yang enggan dikenali, berkata, insiden itu dipercayai berlaku akibat daripada kecuaian pemandu kereta Wira yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkannya terbabas ke laluan bertentangan.

“Ketika tiba di laluan berdekatan persimpangan Taman Melati dekat Boys Home, pemandu kereta Wira berkenaan cuba menekan membrek kerana kereta di hadapannya memperlahankan kenderaan.

“Bagaimanapun, pemandunya gagal mengawal kereta lalu terbabas dan melepasi pembahagi jalan sebelum merempuh kereta Perodua Viva dinaiki tiga beranak yang dalam perjalanan ke Rawang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Orang ramai yang melihat kejadian itu cuba membantu dengan mengeluarkan mangsa sebelum dibawa menaiki ambulan ke Hospital Selayang (HS) bagi mendapatkan rawatan.

Kesan rempuhan itu mengakibatkan pemandu kereta Viva, Salmah Hashim berusia awal 40-an cedera di muka dan kaki.

Turut cedera, anak perempuannya yang duduk di bahagian hadapan penumpang dikenali sebagai Nor Diyana, 11, manakala anak lelaki mangsa duduk di bahagian belakang tidak

mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, pemandu kereta Wira berasal dari Bukit Putra Sungai Buloh itu cuba mengelak sebuah kenderaan di hadapannya yang menekan brek secara mengejut.

“Tindakannya untuk mengelak daripada melanggar kenderaan berkenaan menyebabkannya terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh kereta dinaiki tiga mangsa.

“Sehingga kini kita telah menerima laporan daripada pemandu kereta wira berkenaan dan kejadian masih disiasat,” katanya.

Cemas sejam terperangkap – Sinar Harian


Cemas sejam terperangkap
NUR SHARIEZA ISMAIL
6 Ogos 2012

Keadaan di luar lif ketika anggota bomba dan penyelamat datang untuk menyelamatkan mangsa.
SEREMBAN – “Saya terpaksa menenangkan anak saya yang ketakutan,” kata Salimin Ali, 42, mangsa yang terperangkap dalam lif di Terminal 2, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa bersama dua anaknya berusia 6 dan 9 tahun terperangkap hampir satu jam selepas lif di bangunan pasar raya berkenaan terhenti tiba-tiba.

Menurut Salimin, dia bersama anaknya pergi ke pasar raya itu untuk membeli barangan keperluan rumah.

“Kami naik lif bermula tingkat tiga. Ketika ingin turun ke tingkat bawah, secara tiba-tiba lif terhenti di tingkat dua.

“Ketika itu, saya memang berasa amat cemas bersama dua anak saya. Tetapi nasib baik dalam lif itu ada tingkap besar di belakang, membolehkan saya melambai kepada orang ramai untuk meminta pertolongan,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa meyakinkan anaknya yang ketakutan dengan berbual-bual memberitahu mereka akan diselamatkan tidak lama lagi.

“Apabila melihat kehadiran anggota bomba yang datang untuk menyelamat kami, barulah anak saya mula berasa lega.

“Ini adalah kali pertama kejadian sebegini berlaku kepada. Selepas ini, mungkin saya dan anak-anak akan gunakan tangga sahaja kerana trauma,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Ehsan Sukardi berkata, seramai enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rahang, Seremban dikejarkan ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

Budak hilang ditemui terapung – Sinar Harian


Budak hilang ditemui terapung
SITI SAFA MOHD NOR
6 Ogos 2012
PARIT – Mayat mangsa lemas di Kampung Dusun Hilir, Layang-layang Kiri ditemui awal pagi ini oleh pasukan bomba dan Rela di Kampung Aji, Bota Kiri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Parit, Amir Ahmad berkata, mayat mangsa, Mohd Azhar Daniel Fauzi, 7, ditemui lima kilometer dari tempat kejadian pada jam 9.58 pagi tadi.

Menurutnya, mayat mangsa timbul di permukaan air di Kampung Aji dan dijumpai oleh pasukan bomba serta Rela dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa sejak dari petang, semalam.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang serta sudah timbul di permukaan di air disebabkan tempoh mangsa hilang sudah 24 jam.

“Kita menutup operasi pada malam tadi pada jam 12 malam dan meneruskan kembali pada jam 8 pagi ini sebelum mayat ditemui pada jam 9.58 pagi dan operasi ditutup sepenuhnya pada jam 11 pagi,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kehilangan seorang budak berusia tujuh tahun yang disyaki lemas ketika sedang mandi di Sungai Perak di Kampung Dusun Hilir semalam.