Rosmah: Badan amal jangan putus asa bantu kanak-kanak OKU – Bernama


Rosmah: Badan amal jangan putus asa bantu kanak-kanak OKU

6 Ogos 2012
PETALING JAYA – Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini meminta semua badan amal agar tidak berputus asa dalam menyediakan pelbagai program yang dapat mempersiapsiagakan kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau berkata waima sekalipun keadaan golongan itu, masyarakat tidak boleh sesekali terlepas pandang terhadap kebajikan kanak-kanak istimewa itu kerana mereka juga mempunyai kelebihan masing-masing, bahkan mungkin lebih hebat daripada kanak-kanak yang sempurna sifat.

“Tingkatkan kolaborasi dengan pelbagai pihak, tidak kiralah pihak kerajaan, golongan korporat mahupun individu supaya mereka (OKU) sentiasa menjadi sebahagian daripada masyarakat,” katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Pasaraya Mydin, Subang Jaya di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Toh Puan Dr Aishah Ong.

Rosmah juga berharap agar tiada lagi kekangan minda dalam kalangan ibu bapa mahupun guru-guru dan masyarakat untuk mendidik anak-anak ini, supaya mereka dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik.

Beliau berkata golongan itu juga perlu diberi ruang untuk memainkan peranan secara lebih menyeluruh dan saksama agar dapat mencapai potensi maksimum sebagai masyarakat yang mampu menyumbang ke arah pencapaian matlamat wawasan 2020.

Dalam pada itu, Rosmah berkata tahun ini, Bakti menyerahkan bantuan berjumlah RM10,000 untuk diagih-agihkan kepada kanak-kanak OKU di pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan
Masyarakat

Pada majlis itu, Bakti menyampaikan sumbangan duit raya dan pakaian kepada 237 OKU daripada pusat PDK sekitar Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Turut hadir Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd Datuk Ameer Ali Mydin. – Bernama

JKM Kulim cari ibu bapa tiga kanak-kanak ditinggalkan – Bernama


JKM Kulim cari ibu bapa tiga kanak-kanak ditinggalkan

6 Ogos 2012
KULIM – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulim ingin menghubungi seorang ibu dan sepasang suami isteri untuk menyelesaikan kes tiga kanak-kanak yang dijaga sementara oleh dua keluarga di sini.

Pegawai Pelindung Kanak-Kanak JKM Kulim Munirah Athirah Abdul Aziz berkata Noraini Sarmadi, 47, dikehendaki mengambil kembali dua anak lelakinya, Mustafa Kamal Zainal Abidin, 9, dan Mohd Adam, 7.

Alamat terakhir Noraini adalah B8, Kuarters KTMB, Kampong Boyan, 34000, Taiping, Perak.

Kedua-dua beradik itu diserahkan oleh Noraini kepada keluarga Hadzri Md Yusuf, 47, dan isterinya Zarinah Mohd Idris yang menetap di No. 460, Taman Bestari, Kulim pada Mac tahun lepas.

Dia perlu membuat pengakuan bertulis menyerahkan hak penjagaan kedua-dua anaknya itu sekiranya enggan mengambil mereka kembali, kata Munirah Athirah.

Munirah Athirah memberitahu pemberita Norani turut menyerahkan surat beranak kedua-dua anaknya serta salinan fotostat kad pengenalannya kepada keluarga Hadzri.

Kedua-dua beradik itu belajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Ular, dekat sini, masing-masing dalam Tahun Tiga dan Satu.

“Sejak mereka ditinggalkan beradik, Noraini ada menelefon sekali untuk mendapatkan maklumat kedua-dua beradik itu bagi tujuan mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” kata Zarinah, seorang peniaga di sini.

Zarinah berkata dia dan suaminya berhasrat menjaga kedua-dua beradik itu berikutan bapa tiri mereka yang dikenali sebagai Hasan meninggal dunia tahun lepas.

Munirah Athirah berkata JKM memberi tempoh sehingga 14 Ogos ini kepada Noraini untuk mendapatkan kembali kedua-dua anaknya dan selepas itu kes penjagaan mereka akan diserahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Dalam satu kes lagi, ibu bapa seorang kanak-kanak perempuan yang diberi nama sementara, Nor Nabilah, 20 bulan, diminta menghubungi JKM di sini berkaitan sijil kelahiran bayi itu yang kini dijaga Mohamad Ali Naina Mohamad, 47, dan isterinya Halimah K. Abdul Azeez, 41.

Mohamad Ali, seorang peniaga dari Simpang Tiga Keladi di sini yang turut hadir di JKM, berkata seorang wanita berusia lingkungan 20-an menyerahkan bayi itu kepadanya pada 9 Sept tahun lepas.

Wanita itu yang dikenali sebagai ‘Nah’ sahaja hanya sekali menelefon bertanyakan anaknya itu dan lepas itu tiada lagi menghubungi kami, katanya.

Ibu bapa kanak-kanak itu dan Noraini diminta datang ke JKM Kulim atau menghubungi Munirah Athirah atau Norizan Hassan melalui talian 04-4907403 atau 04-4914642 bagi membantu menyelesaikan kes anak mereka.- Bernama

 

Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Guru (KKPG) 2012


Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Guru (KKPG) 2012

Adalah dimaklumkan bahawa Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Guru (KKPG) 2012 akan diadakan pada 15 Oktober hingga 17 Oktober 2012. Sehubungan itu, semua warga pendidik di bahagian-bahagian Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Institut Pendidikan Guru, Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta adalah dijemput untuk menyertai dan membentang kertas kerja di konvensyen tersebut. Penyertaan adalah percuma kepada warga KPM. Berikut merupakan tarikh penting berkenaan konvensyen tersebut :
Penghantaran abstrak sebelum : 31 Ogos 2012
Penghantaran kertas kerja lengkap sebelum : 22 September 2012
Pendaftaran pembentangan sebelum : 15 Oktober 2012

Maklumat lanjut sila layari : www.moe.gov.my/bpg

Kanak-Kanak Tiga Tahun Mati Ditindih Dalam Upcara Pemujaan – Bernama


Kanak-Kanak Tiga Tahun Mati Ditindih Dalam Upcara Pemujaan
BUKIT MERTAJAM: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati apabila lapan ahli keluarganya termasuk pembantu rumah warga Indonesia menjalankan upacara pemujaan dengan menindih tubuhnya di Bukit Minyak di sini malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Azman Abd Lah berkata kejadian pukul 10 malam itu disedari bapa saudara mangsa yang secara kebetulan berkunjung ke rumah itu.

“Saksi yang curiga melihat pintu utama rumah tidak berkunci segera naik ke tingkat atas rumah yang menempatkan bilik tidur utama.

“Apabila lelaki berkenaan mendapati pintu bilik itu berkunci dan penghuni yang berada di dalam enggan membuka pintu, dia segera memaklumkan kejadian kepada polis,” katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Azman berkata polis terpaksa memecah masuk bilik itu sejurus tiba di lokasi kejadian dan mendapati kanak-kanak itu sedang ditindih kesemua suspek.

Azman berkata hasil siasatan awal, suspek yang berusia antara 16 tahun hingga 67 tahun sedang melakukan upacara pemujaan dan jampi atas sebab yang tidak diketahui.

“Polis yakin kanak-kanak itu baharu sahaja mati berdasarkan keadaan mayatnya yang masih panas dan sebab kematiannya dipercayai berpunca daripada sesak nafas,” katanya.

Katanya suspek yang terdiri daripada ibu, bapa, nenek, bapa saudara, ibu saudara, dua sepupu beserta pembantu rumah terbabit ditahan reman selama lima hari bermula hari ini di IPD SPT bagi membantu siasatan.

Beliau berkata mayat kanak-kanak itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Mayat Murid Lemas Ditemui Di Pam Pasir – Bernama


Mayat Murid Lemas Ditemui Di Pam Pasir
IPOH: Mayat murid Tahun Satu yang lemas setelah terjerlus di dalam pasir di Sungai Kampung Dusun Hulu, Parit semalam ditemui pagi Isnin.

Mayat Mohd Azhar Daneil Mohd Azwar, 7, ditemui di kawasan Pam Pasir Hj Raof, Bota Kiri kira-kira 9 pagi, lima kilometer dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohd Fakri Che Sulaiman berkata mayat telah dihantar ke Hospital Changkat Melintang. Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan oleh pasukan polis, bomba, Rela serta penduduk kampung bermula dari tengah hari semalam, katanya.

Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, Mohd Azhar Daniel dipercayai turun ke sungai untuk mandi.

Dua lagi rakannya selamat kerana mereka tidak turun ke dalam sungai bersama mangsa.-BERNAMA

Dua Beranak Maut, Kereta Rempuh Lembu – Bernama


Dua Beranak Maut, Kereta Rempuh Lembu
MELAKA: Seorang guru dan anak bongsunya terbunuh selepas kereta yang dinaiki merempuh seekor lembu di Kilometer 213 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata kejadian 1.20 pagi itu menyebabkan Ngatina Semin, 47, dan Muhamad Habib Firdaus Mokhtar, 10, mati di tempat kejadian.

“Sewaktu kejadian, kereta Perodua Kancil yang dipandu suami Ngatina iaitu Lans koperal Mokhtar Abu Bakar, 50, dilaporkan merempuh seekor lembu yang melintas jalan secara tiba-tiba,” katanya ketika dihubungi, Ahad.

Beliau berkata Mokhtar, seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) SimpangRenggam, cedera parah manakala seorang lagi anak pasangan itu, Siti Nasuha, 21,cedera ringan.

Katanya, Mokhtar sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Simpang Renggam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas menjemput Siti Nasuha, yang belajar di Jepun, pulang bercuti sempena Aidilfitri.

Umar Ali berkata jenazah Ngatina dan Muhamad Habib dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala Mokhtar yang patah tulang rusuk serta luka di beberapa bahagian badan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital sama.

Beliau berkata tiga kenderaan lain turut terlibat dalam kemalangan itu ketika mengelak lembu tersebut, namun semua pemandu dan penumpangnya selamat. — BERNAMA