Dua beradik milik mercun RM10,000 – Sinar Harian


Dua beradik milik mercun RM10,000
NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN
7 Ogos 2012

Harun menunjukkan mercun dan bunga api yang berjaya dirampas oleh anggota polis IPD Ledang dalam sebuan sebuah rumah di Kampung Serom 6, Sungai Mati, Ahad lalu
LEDANG – Dua beradik berputih mata setelah angan-angannya untuk memiliki wang lebih sebagai persiapan menyambut Aidilfitri dengan hasil menjual mercun tidak kesampaian apabila ditahan polis, Ahad lalu.

Dalam serbuan jam 5.30 pagi itu, remaja berusia 17 dan 19 tahun itu ditahan dalam sebuah rumah di Sungai Mati, dekat sini.

Ketika ditahan, polis merampas 200 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM10,000 dan wang tunai RM219 dipercayai hasil penjualan mercun itu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, suspek yang juga anak yatim piatu dipercayai baru sahaja terbabit dalam kegiatan itu, kira-kira seminggu lalu.

Menurutnya, kegiatan mereka berjaya dikesan pihak polis beberapa hari lalu, melalui risikan yang dijalankan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, yang diketuai oleh Inspektor Mohd Nor Mohd Isa, sebelum menyerbu rumah berkenaan.

“Rumah itu dipercayai merupakan tempat tinggal suspek dan menjadi stor menyimpan bahan terlarang sebelum dijual kepada pelanggan di sekitar daerah ini.

“Siasatan awal mendapati, remaja berkenaan memperoleh bekalan mercun daripada orang tengah yang dibeli dengan harga RM6,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, di sini, semalam.

Harun berkata, mercun tersebut dipercayai untuk kegunaan Aidilfitri dan diedarkan kepada pelanggan di sekitar daerah ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan dan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjual mercun untuk sara hidup selepas kematian ibu bapanya.

“Mereka ditahan reman sehingga esok (hari ini) untuk siasatan lanjut bagi mengetahui pembekal mercun ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207), dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Harun menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dengan aktiviti menjual dan membakar mercun.

“Pihak polis akan giat menjalankan operasi untuk membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Remaja patah lima jari kanan akibat mercun – Sinar Harian


Remaja patah lima jari kanan akibat mercun
HAZELEN LIANA KAMARUDIN
7 Ogos 2012

Mohd Firdaus dirawat di Hospital Lati, Pasir Mas akibat kecederaan di tangan kirinya akibat bermain mercun.
KOTA BHARU – “Saya sudah serik bermain mercun,” kata mangsa mercun, Mohd Firdaus Ismail, 15, dari Kampung Tok Pelanduk, Rantau Panjang apabila kesemua lima jari kirinya patah akibat kejadian tersebut.

Dia yang merupakan bekas pelajar pondok berkata, kejadian itu berlaku pada jam 10 malam pada Ahad lalu selepas dia menunaikan solat sunat Tarawih di Kampung Batu Karang yang terletak 500 meter dari rumahnya.

“Semasa kejadian, seorang kanak-kanak menyuruh saya menyalakan mercun botol dan tanpa berfikir panjang saya terus membakar mercun tersebut.

“Tiba-tiba ia meletup sebaik sahaja dibakar dan terkena tangan kiri saya,” katanya yang kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), hari ini.

Mohd Firdaus berkata, pada awalnya dia tidak merasa apa-apa tetapi apabila melihat darah mula mengalir keluar di jari tangannya dia terus membonceng motosikal pulang ke rumah.

Menurutnya, sebaik sampai di rumah, abangnya, Afendi, 25, terus membawanya ke Hospital Lati, Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan sebelum dibawa ke HUSM.

“Apa yang berlaku cukup menginsafkan dan saya sudah fobia untuk bermain mercun lagi.

“Saya berharap dapat keluar dari hospital sebelum Aidilfitri ini kerana saya tidak sanggup beraya di sini tanpa keluarga,” katanya.

Surat Pekeliling Kewangan : Bil. 7 Tahun 2012 – Garis Panduan Pengurusan Peruntukan Bantuan Bayaran Tambahan Persekolahan (BBTP)


Surat Pekeliling Kewangan Bil. 7 Tahun 2012 – Garis Panduan Pengurusan Peruntukan Bantuan Bayaran Tambahan Persekolahan (BBTP)

Kategori : Pekeliling Kewangan
Subjek : Surat Pekeliling Kewangan Bil. 7 Tahun 2012 – Garis Panduan Pengurusan Peruntukan Bantuan Bayaran Tambahan Persekolahan (BBTP)
Bil. : 7
Tahun : 2012
Jabatan : Bahagian Kewangan
Fail : Download
Tarikh : 24/07/2012

Usul Murid Bawa Telefon Bimbit Ke Sekolah Masih Dibincang – Bernama


Usul Murid Bawa Telefon Bimbit Ke Sekolah Masih Dibincang
SEREMBAN: Cadangan pelajar dibenar membawa telefon bimbit ke sekolah masih pada peringkat perbincangan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

Katanya banyak perkara harus diteliti sebelum kementerian itu dapat membuat keputusan yang memuaskan semua pihak.

“Setakat ini pelbagai pandangan telah diterima termasuk daripada pelajar. Malah saya ada menerima surat daripada murid berusia 10 tahun yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Ini adalah sesuatu yang sangat memeranjatkan apabila murid tahun empat ini sendiri memberi pandangan sebegitu dan menyatakan sebab mengapa dia tidak bersetuju,” katanya kepada pemberita, di sini Selasa.

Beliau sebelum itu menyerahkan cek bantuan kewangan kepada sekolah bantuan kerajaan di Negeri Sembilan.

Sebanyak RM6.43 juta diperuntuk kepada 41 sekolah jenis kebangsaan bantuan kerajaan tahun ini.

Bulan lepas, kementerian itu mengusulkan cadangan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi seperti telefon bimbit dan iPad ke sekolah bermula tahun depan.

Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan terutama daripada persatuan ibu bapa dan guru yang rata-rata berpandangan langkah tersebut akan mengundang lebih banyak masalah selain menjejaskan pembelajaran pelajar. – BERNAMA

Sistem dua aliran jimat masa – Metro


Sistem dua aliran jimat masa
KUALA LUMPUR: Sistem baru sekolah tahfiz pada masa kini yang mewajibkan pelajarnya mengambil dua aliran dalam satu masa perlu diperluaskan ke seluruh negara bagi melahirkan modal insan berkualiti.

Juara program realiti Akademi Al-Quran musim keempat terbitan TV9, Ahmad Tarmizi Ali Tarmizi Ali, 27, berkata, langkah itu juga dapat menjimatkan masa dalam melahirkan al-hafiz dan pelajar cemerlang akademik.
“Saya rasa pengenalan sekolah tahfiz dua aliran ini memang perlu dikembang serta diperluaskan pada masa kini sebagai satu cara terbaik untuk melahirkan pelajar al-hafiz yang turut cemerlang dalam akademik.

“Jika banyak dilaksanakan kelak, ia sekali gus dapat mengikis pandangan negatif masyarakat terhadap pelajar tahfiz,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Tarmizi yang juga al-hafiz daripada Institut al-Quran Negeri Terengganu berkata, sebelum sistem pembelajaran sekolah tahfiz dua aliran ini diperkenalkan kira-kira lima tahun lalu, pelajar tahfiz sebelum itu juga berjaya dalam akademik.
Katanya, ini kerana ada antara mereka menyambung pelajaran dalam bidang akademik semula sebaik bergelar al-hafiz dan ada pula bergelar al-hafiz sebaik tamat mendapatkan pendidikan formal.

“Keadaan ini sama seperti saya kerana sebelum bergelar al-hafiz, saya sendiri belajar di sekolah biasa hingga tingkatan lima. Sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), barulah saya masuk belajar hafazan hinggalah bergelar al-hafiz.
“Malah, boleh dikatakan kebanyakan rakan juga mengamalkan konsep pendidikan begini berikutan ketika itu kami perlu membuat dua pilihan,” katanya.

Menurutnya, walaupun lewat menyambung pelajaran dalam bidang akademik, kebanyakan daripada mereka juga tidak mengambil masa lama untuk belajar dan mampu mendapat keputusan cemerlang seperti dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Mungkin ini kerana kebolehan seseorang al-hafiz untuk menghafal. Apabila kami belajar dalam bidang akademik dan berhasrat untuk mengambil SPM, hanya setahun mengulang kaji pelajaran, sudah boleh menduduki SPM dan beroleh keputusan cemerlang.
“Kenyataan ini bukan untuk berbangga, cuma bagi saya, kaedah pembelajaran al-hafiz ini sebenarnya perlu dipandang serta diteliti. Kerana ia mungkin boleh digunakan serta dipraktikkan terhadap pelajar lain sekali gus melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang,” katanya.
Sementara itu, pelakon yang memenangi anugerah Pelakon Baru Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012) awal tahun ini, Johan Ariff Asari, 26, turut bersetuju agar sistem persekolahan tahfiz dua aliran berkenaan dapat dikembangkan.
Johan yang pernah mengikuti kelas pendidikan tahfiz selama dua tahun di Batam dan Jambi Indonesia berkata, pengenalan sekolah berkenaan mampu memberi peluang lebih cerah kepada pelajar untuk mencapai cita-cita mereka.
“Setiap orang mempunyai impian, minat dan cita-cita berbeza. Sebagaimana pelajar tahfiz, ada antara mereka ini memang ingin menjadi al-hafiz, tapi pada masa sama ada menyimpan impian untuk menceburi bidang profesional lain.
“Tapi, kerana dulu tidak ada sekolah tahfiz dua aliran sebegini, kadang-kadang hasrat itu ada yang tertangguh serta tidak terlaksana. Cuma dengan adanya aliran sebegini ia memberi ruang kepada mereka untuk merealisasikan impian mereka itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/07

Mayat hanyut 5km – Metro


Mayat hanyut 5km
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan dan Mohd Idris Sulaiman
am@hmetro.com.my

PARIT: “Sebelum kejadian, anak saya lebih banyak diam dan membuat hal sendiri tidak seperti selalu apabila ditegur ada saja jawapan diberikan,” kata Norliza Brahim, 26, ibu kepada, Mohd Azhar Daniel Fauzi, 7.

Mayat Mohd Azhar, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Layang-Layang Kiri ditemui terapung di Sungai Perak kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian jam 9.58 pagi semalam.
Menurut Norliza, lebih memilukan anak lelakinya yang cukup aktif, secara tiba-tiba berubah sikap menjadi pendiam sehari sebelum kejadian.

“Dia memang sangat aktif dan suka bercakap, bagaimanapun perangainya berubah beberapa hari sebelum kejadian.
“Kebiasaannya dia lambat mandi dan jenuh disuruh, tetapi pagi itu dia sendiri yang mandi pada awal pagi sebelum keluar dari rumah kira-kira 10.30 pagi kelmarin,” katanya yang pasrah dengan segala ketentuan yang berlaku.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/07

2 keluarga bertempur di restoran – Metro


2 keluarga bertempur di restoran

CEDERA…seorang remaja cedera.
JEMPOL: Akibat perselisihan faham, dua keluarga bertempur membabitkan 11 suspek termasuk sembilan remaja di sebuah restoran di Taman Meranti, Bahau, dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Hamzah Alias berkata, dalam pergaduhan jam 10.30 malam pada 4 Ogos lalu itu semua suspek ditahan berikutan terbabit dalam pergaduhan ganas sehingga menggunakan senjata termasuk pisau kecil, kayu dan botol minuman.
“Suspek yang terbabit pergaduhan itu berumur 12 hingga 42 tahun termasuk remaja perempuan berusia 15 dan ibunya berumur 38 tahun.

“Kejadian berpunca daripada seorang bapa remaja terbabit yang cuba menyelamatkan anaknya dalam kejadian itu. Bapa remaja berumur 42 tahun itu pemilik restoran berkenaan.
“Kemudian, keadaan lebih tegang sebelum tercetus pergaduhan menggunakan beberapa senjata seperti pisau kecil, kayu dan botol minuman,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat polis daerah (IPD), semalam.
Bagaimanapun Hamzah berkata, kejadian itu tiada unsur pergaduhan berkumpulan.

“Susulan itu, tujuh individu daripada 11 yang terbabit cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Jempol dan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan akibat merusuh menggunakan senjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/07

Sekolah agama diceroboh lagi – Berita Harian


Sekolah agama diceroboh lagi
06:04:24 AM Cetak Emel Kawan

Pasir Gudang: Pihak tertentu dikesan memecah masuk Sekolah Agama (SA) Pasir Gudang 2 dekat Taman Air Biru di sini dan merosakkan pelbagai harta benda serta kelengkapan pembelajaran.

Sejak awal tahun ini, sudah tiga kali sekolah itu didakwa dipecah masuk dengan kejadian terbaru disedari pagi semalam, apabila bilik guru, pejabat pentadbiran serta kedai koperasi sekolah dipecah dan diselongkar.

Selain menyelerakkan semua buku dan peralatan dalam almari, penceroboh turut memecahkan komponen beberapa unit komputer yang ada di situ, selain menyembur cat pada carta pentadbiran sekolah terbabit.
Malah, pelbagai jenis barang keperluan yang dikumpulkan dalam koperasi sekolah oleh guru dan pengurusan, untuk diagihkan kepada anak yatim dan murid miskin turut dirosakkan dan dimusnahkan penceroboh.

Setiap kali pencerobohan berlaku, laporan polis dibuat tetapi setakat ini dalang kejadian itu belum mampu dikesan.

Guru yang buntu dengan kejadian itu percaya, pencerobohan terbabit mungkin membabitkan pelajar sekolah itu yang mempunyai masalah disiplin yang bersekongkol dengan orang luar sebagai dalang.

Guru Besar SA Pasir Gudang 2, Mohd Idhaufi Lan, berkata kejadian terbaru disedari jam 7 pagi semalam, ketika guru datang untuk memulakan sesi persekolahan dan percaya penceroboh mahu mencari wang tunai yang disimpan di sekolah itu.

Ibu bapa cuai didakwa – Berita Harian


Ibu bapa cuai didakwa
06:06:46 AM Cetak Emel Kawan

Kuala Terengganu: Ibu bapa yang membiarkan anak mereka bermain mercun tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa, berkata selain peniaga mercun, pihaknya juga tidak bertolak ansur terhadap ibu bapa yang cuai dan membiarkan anak mereka berdepan risiko apabila bermain mercun.

“Jika kita dapat menahan kanak-kanak yang bermain mercun ini, ibu bapa mereka akan didakwa di mahkamah kerana kecuaian membiarkan anak mereka bermain mercun,” katanya selepas mengadakan tinjauan mesra di Bazar Ramadan Dataran Shah Bandar, di sini, kelmarin.
Ibu bapa perlu awasi anak mereka

Jamshah berkata, pihaknya mendapati aktiviti penjualan mercun di negeri ini masih berleluasa dan ibu bapa perlu memastikan anak mereka tidak membeli dan bermain bahan letupan terlarang yang boleh mengundang bahaya.

Selain itu katanya, orang ramai hanya boleh membeli dan bermain dua jenis mercun yang dibenarkan iaitu, jenis ‘Happy Boom’ dan ‘Pop-pop’, yang tidak membahayakan atau mencederakan pengguna.

Dapatkan permit untuk jual mercun
“Bagaimanapun, peniaga yang menjual dua jenis mercun ini masih perlu mendapatkan permit polis.

“Jika mereka menjualnya tanpa permit, penjual boleh ditahan dan disabitkan kesalahan.

“Malah, peniaga yang didapati menjual mercun selain daripada dua jenis yang dibenarkan ini akan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 2007) dan dipenjarakan hingga tujuh tahun dan denda tidak lebih RM10,000 jika didapati bersalah,” katanya.

Beliau berkata, setakat dua minggu Ramadan, empat kes memiliki mercun sudah dikenakan tindakan, dengan dua peniaga mercun sudah didakwa masing-masing membabitkan rampasan bernilai RM200 dan RM17,000.

URUSAN PEMANGKUAN GURU BESAR PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SSISWAZAH (PPPS) DARI GRED DG41 KE DG44 SECARA KHAS UNTUK PENYANDANG (KUP) UNTUK TAHUN 2012


URUSAN PEMANGKUAN GURU BESAR PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SSISWAZAH (PPPS) DARI GRED DG41 KE DG44 SECARA KHAS UNTUK PENYANDANG (KUP) UNTUK TAHUN 2012

SUKACITA DIMAKLUMKAN BAHAWA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA AKAN MELAKSANAKAN URUSAN PEMANGKUAN GURU BESAR PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SSISWAZAH (PPPS) DARI GRED DG41 KE DG44 SECARA KHAS UNTUK PENYANDANG (KUP) UNTUK TAHUN 2012. MAKLUMAT LANJUT BOLEH DIMUATTURUN DI BAWAH
Muat turun
URUSAN PEMANGKUAN GURU BESAR DG41 KE DG44 SECARA KUP(1)
URUSAN PEMANGKUAN GURU BESAR DG41 KE DG44 SECARA KUP(2)
URUSAN PEMANGKUAN GURU BESAR DG41 KE DG44 SECARA KUP(3)
URUSAN PEMANGKUAN GURU BESAR DG41 KE DG44 SECARA KUP(4)
LAMPIRAN A
LAMPIRAN B
LAMPIRAN C