Dua beradik milik mercun RM10,000 – Sinar Harian


Dua beradik milik mercun RM10,000
NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN
7 Ogos 2012

Harun menunjukkan mercun dan bunga api yang berjaya dirampas oleh anggota polis IPD Ledang dalam sebuan sebuah rumah di Kampung Serom 6, Sungai Mati, Ahad lalu
LEDANG – Dua beradik berputih mata setelah angan-angannya untuk memiliki wang lebih sebagai persiapan menyambut Aidilfitri dengan hasil menjual mercun tidak kesampaian apabila ditahan polis, Ahad lalu.

Dalam serbuan jam 5.30 pagi itu, remaja berusia 17 dan 19 tahun itu ditahan dalam sebuah rumah di Sungai Mati, dekat sini.

Ketika ditahan, polis merampas 200 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM10,000 dan wang tunai RM219 dipercayai hasil penjualan mercun itu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, suspek yang juga anak yatim piatu dipercayai baru sahaja terbabit dalam kegiatan itu, kira-kira seminggu lalu.

Menurutnya, kegiatan mereka berjaya dikesan pihak polis beberapa hari lalu, melalui risikan yang dijalankan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, yang diketuai oleh Inspektor Mohd Nor Mohd Isa, sebelum menyerbu rumah berkenaan.

“Rumah itu dipercayai merupakan tempat tinggal suspek dan menjadi stor menyimpan bahan terlarang sebelum dijual kepada pelanggan di sekitar daerah ini.

“Siasatan awal mendapati, remaja berkenaan memperoleh bekalan mercun daripada orang tengah yang dibeli dengan harga RM6,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, di sini, semalam.

Harun berkata, mercun tersebut dipercayai untuk kegunaan Aidilfitri dan diedarkan kepada pelanggan di sekitar daerah ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan dan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjual mercun untuk sara hidup selepas kematian ibu bapanya.

“Mereka ditahan reman sehingga esok (hari ini) untuk siasatan lanjut bagi mengetahui pembekal mercun ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207), dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Harun menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dengan aktiviti menjual dan membakar mercun.

“Pihak polis akan giat menjalankan operasi untuk membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s