Sistem dua aliran jimat masa – Metro


Sistem dua aliran jimat masa
KUALA LUMPUR: Sistem baru sekolah tahfiz pada masa kini yang mewajibkan pelajarnya mengambil dua aliran dalam satu masa perlu diperluaskan ke seluruh negara bagi melahirkan modal insan berkualiti.

Juara program realiti Akademi Al-Quran musim keempat terbitan TV9, Ahmad Tarmizi Ali Tarmizi Ali, 27, berkata, langkah itu juga dapat menjimatkan masa dalam melahirkan al-hafiz dan pelajar cemerlang akademik.
“Saya rasa pengenalan sekolah tahfiz dua aliran ini memang perlu dikembang serta diperluaskan pada masa kini sebagai satu cara terbaik untuk melahirkan pelajar al-hafiz yang turut cemerlang dalam akademik.

“Jika banyak dilaksanakan kelak, ia sekali gus dapat mengikis pandangan negatif masyarakat terhadap pelajar tahfiz,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Tarmizi yang juga al-hafiz daripada Institut al-Quran Negeri Terengganu berkata, sebelum sistem pembelajaran sekolah tahfiz dua aliran ini diperkenalkan kira-kira lima tahun lalu, pelajar tahfiz sebelum itu juga berjaya dalam akademik.
Katanya, ini kerana ada antara mereka menyambung pelajaran dalam bidang akademik semula sebaik bergelar al-hafiz dan ada pula bergelar al-hafiz sebaik tamat mendapatkan pendidikan formal.

“Keadaan ini sama seperti saya kerana sebelum bergelar al-hafiz, saya sendiri belajar di sekolah biasa hingga tingkatan lima. Sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), barulah saya masuk belajar hafazan hinggalah bergelar al-hafiz.
“Malah, boleh dikatakan kebanyakan rakan juga mengamalkan konsep pendidikan begini berikutan ketika itu kami perlu membuat dua pilihan,” katanya.

Menurutnya, walaupun lewat menyambung pelajaran dalam bidang akademik, kebanyakan daripada mereka juga tidak mengambil masa lama untuk belajar dan mampu mendapat keputusan cemerlang seperti dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Mungkin ini kerana kebolehan seseorang al-hafiz untuk menghafal. Apabila kami belajar dalam bidang akademik dan berhasrat untuk mengambil SPM, hanya setahun mengulang kaji pelajaran, sudah boleh menduduki SPM dan beroleh keputusan cemerlang.
“Kenyataan ini bukan untuk berbangga, cuma bagi saya, kaedah pembelajaran al-hafiz ini sebenarnya perlu dipandang serta diteliti. Kerana ia mungkin boleh digunakan serta dipraktikkan terhadap pelajar lain sekali gus melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang,” katanya.
Sementara itu, pelakon yang memenangi anugerah Pelakon Baru Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012) awal tahun ini, Johan Ariff Asari, 26, turut bersetuju agar sistem persekolahan tahfiz dua aliran berkenaan dapat dikembangkan.
Johan yang pernah mengikuti kelas pendidikan tahfiz selama dua tahun di Batam dan Jambi Indonesia berkata, pengenalan sekolah berkenaan mampu memberi peluang lebih cerah kepada pelajar untuk mencapai cita-cita mereka.
“Setiap orang mempunyai impian, minat dan cita-cita berbeza. Sebagaimana pelajar tahfiz, ada antara mereka ini memang ingin menjadi al-hafiz, tapi pada masa sama ada menyimpan impian untuk menceburi bidang profesional lain.
“Tapi, kerana dulu tidak ada sekolah tahfiz dua aliran sebegini, kadang-kadang hasrat itu ada yang tertangguh serta tidak terlaksana. Cuma dengan adanya aliran sebegini ia memberi ruang kepada mereka untuk merealisasikan impian mereka itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/07

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s