Remaja mengaku salah pecah masuk sekolah, curi komputer riba – Bernama


Remaja mengaku salah pecah masuk sekolah, curi komputer riba

8 Ogos 2012
PETALING JAYA – Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memecah masuk sebuah sekolah agama dan mencuri komputer riba serta wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM3,000 tahun lepas.

Mohd Shah Rezzan Asmara, 19, sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu tetapi menukar pengakuannya ketika kes itu disebut di hadapan Majistret Surya Wati Shawal, hari ini.

Mohd Shah Rezzan didakwa bersama seorang lagi rakannya memasuki pejabat guru di Sekolah Agama KAFA, Jalan SS 15/2E Subang Jaya antara 6 petang pada 17 Januari 2011 dan 7.30 pagi, keesokan hari.

Bagaimanapun, rakannya itu, Muhamad Aizat Arizan, 22, mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya. Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mohd Shah Rezzan yang diwakili peguam Azry Ahmad memohon mahkamah mempertimbang pengakuan bersalah dan usia muda anak guamnya itu sebelum menjatuhkan hukuman.

Mahkamah menetapkan 21 September untuk menjatuhkan hukuman serta sebut semula kes Muhamad Aizat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah manakala Muhamad Aizat diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin. – Bernama

Kutipan derma sekolah oleh pelajar tidak digalakkan: NUTP – Bernama


Kutipan derma sekolah oleh pelajar tidak digalakkan: NUTP
13:31:11 PM Cetak Emel Kawan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak menggalakkan sekolah bantuan penuh kerajaan menggunakan pelajarnya mengutip derma di luar kawasan sekolah.

Presidennya Hashim Adnan berkata NUTP melihat aktiviti itu sebagai mengundang bahaya kepada pelajar tanpa mengira peringkat usia. “Kita tak nak nanti ada kes pelajar diculik atau dirogol,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, walaupun mendapat kebenaran jabatan pelajaran negeri masing-masing, program itu tidak sepatutnya diadakan kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan kepada pihak sekolah.

“Semua kerajaan dah bagi, alat sukan tak cukup kerajaan bagi, budak miskin tak ada makanan, kerajaan peruntukkan RM1.80 setiap hari, pembangunan kalau rosak boleh minta.

“Saya hairan, kenapa nak minta derma lagi, kalau boleh, elakkan perkara berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui ada kes tertentu yang memerlukan kutipan derma seperti ketika sekolah memerlukan dana segera bagi mengganti peralatan rosak dan sebagainya.
“Apa-apa pun mereka perlu merujuk kepada jabatan pelajaran negeri masing-masing dan selalunya akan ada penyelesaian daripada jabatan untuk masalah mereka,” katanya.

Isu pelajar diarah mengutip derma ini dibangkitkan ibu bapa menerusi tinjauan selain diluahkan oleh peserta beberapa forum dalam Internet yang tidak berpuas hati dengan aktiviti tidak berkesudahan itu.

“Dah lama berlaku, sejak zaman saya dulu, sekarang pun masih ada lagi, dan ianya dilakukan untuk program yang berbeza,” kata seorang penjawat awam.

Beliau yang mempunyai seorang anak tahun dua di sekolah bantuan penuh kerajaan di ibu kota berkata, aktviti itu dilakukan setiap tahun.

“Tahun lalu pun ada, tahun ini kutipan diadakan untuk program ceriathon,” katanya mendakwa aktiviti itu bertambah pelik kerana jika kutipan tidak mencapai sasaran, murid akan disuruh mengulangi kutipan.

Seorang lagi penjawat awam pula berkata ada masanya sekolah akan menyertakan surat memohon kebenaran ibu bapa bagi menjadikan kegiatan itu kelihatan lebih rasmi.

“Ibu bapa terpaksa membenarkan anak-anak mereka untuk terlibat sama disebabkan surat itu,” katanya menambah anak saudaranya yang berusia 11 tahun terpaksa melakukan aktiviti tersebut dari rumah ke rumah hampir setiap tahun atas nama persatuan atau pun program.

“Ada pro dan kontra dalam perkara ini, namun saya risau keselamatan murid-murid di sekolah rendah,” katanya.

Seorang peserta forum dalam talian melahirkan kemusykilan apabila pihak sekolah bukan sahaja menganjurkan kutipan derma tetapi turut menjanjikan hadiah bagi murid yang berjaya melakukan kutipan tertinggi.

Kebanyakan peserta forum itu berpandangan aktiviti tersebut boleh dijalankan namun tidak wajar diwajibkan kepada setiap pelajar. – BERNAMA

Muhyiddin serah geran kepada prasekolah swasta – Berita Harian


Muhyiddin serah geran kepada prasekolah swasta
16:43:08 PM Cetak Emel Kawan

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyerahkan geran permulaan kepada 70 prasekolah swasta di seluruh negara di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP 2.0), di mana masing-masing menerima RM10,000.

Jumlah itu hanya sebahagian daripada 220 pra-sekolah swasta yang memenuhi syarat kelayakan menerima geran permulaan itu bagi 2012, membabitkan peruntukan RM2.2 juta. Majlis penyerahan geran permulaan pra-sekolah berlangsung di Auditorium Kementerian Pelajaran.

Muhyiddin gesa swasta bekerjasama tingkat penubuhan prasekolah – Bernama


Muhyiddin gesa swasta bekerjasama tingkat penubuhan prasekolah
17:40:39 PM Cetak Emel Kawan

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggesa pihak swasta agar bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha meningkatkan penubuhan lebih banyak prasekolah di negara ini.

Beliau berkata, usaha memperluaskan akses pendidikan tidak seharusnya diletakkan di atas bahu kerajaan sahaja sebaliknya usahasama antara kerajaan dan swasta perlu ditingkatkan.

“Kerajaan akan menawarkan pelbagai bentuk bantuan kepada pihak swasta yang berminat seperti menyediakan bantuan geran, bantuan yuran murid dan memberi latihan kepada guru-guru prasekolah swasta.
“Usaha-usaha ini diharap dapat meningkatkan penubuhan prasekolah swasta di samping memastikan penyampaian pendidikan yang berkualiti dan memenuhi aspirasi ibu bapa dan masyarakat,” katanya pada majjlis pemberian geran permulaan prasekolah swasta di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan di sini hari ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyerahkan geran RM10,000 kepada 70 daripada 220 prasekolah yang memenuhi syarat kelayakan.

Beliau berkata, dalam perancangan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0, peranan swasta dalam menyediakan kemudahan prasekolah akan diberikan lebih tumpuan dan usaha akan dilipat-gandakan.

“Kami sedar bahawa tidak ada jalan mudah untuk mencapai kejayaan, lebih-lebih lagi jika ia membabitkan masa depan anak-anak kita.
“Kerajaan akan sentiasa membantu, namun pihak yang bertanggungjawab hendaklah sentiasa berusaha untuk memajukan dirinya…anggaplah pemberian geran ini sebagai satu tanggungjawab atau amanah untuk mencorakkan masa depan anak-anak kita,” katanya. – BERNAMA

Diperkosa ‘pegawai jabatan agama’ – Metro


Diperkosa ‘pegawai jabatan agama’
KOTA BHARU: Akibat terpedaya dengan helah dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai jabatan agama, seorang remaja berusia 16 tahun menjadi mangsa lima lelaki yang merogolnya bergilir-gilir di sebuah rumah kosong di Tanjung Mas, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner, Lai Yong Heng berkata, sebelum dirogol, mangsa bertemu teman lelakinya di bawah Jambatan Tanjung Mas, di sini pada jam 2 pagi dan ketika berbual, dua lelaki datang memperkenalkan diri sebagai pegawai jabatan agama.
Katanya, suspek mengugut mahu membawa mangsa dan teman lelakinya ke balai polis dan pejabat agama kerana melakukan maksiat. “Bagaimanapun, teman lelaki mangsa memberitahu mereka hanya berbual dan tidak melakukan maksiat.

“Suspek menyuruh teman lelaki mangsa pulang manakala mangsa akan dibawa ke balai polis oleh mereka,” katanya.
Menurutnya, mangsa dan teman lelakinya mempercayai kedua-dua suspek kerana melihat mereka mengeluarkan kad namun tidak pasti sama ada kad jabatan agama atau sebaliknya kerana keadaan di bawah jambatan gelap.
“Teman lelaki mangsa pulang ke rumah seorang diri manakala mangsa dibawa dengan motosikal oleh seorang suspek ke sebuah rumah kosong sebelum dirogol bergilir-gilir oleh dua suspek berkenaan dan tiga lagi lelaki tidak dikenali,” katanya.

Lai berkata, semua suspek sedang diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Suspek menggunakan modus operandi menunjukkan kad kuasa palsu jabatan kerajaan untuk merogol. “Sehubungan itu, saya menasihatkan orang ramai supaya memastikan terlebih dahulu kad kuasa yang ditunjukkan adalah benar atau sebaliknya dan jika terdapat sebarang keraguan, laporkan terus dengan balai polis berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/08

Pelajar cemari kesucian Ramadan – Sinar Harian


Pelajar cemari kesucian Ramadan
WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Ogos 2012

Bekas botol arak dan tin gam yang ditinggalkan segelintir pelajar sekolah di belakang Jalan Maharaja, Parit Buntar.
Kawasan landasan keretapi yang menjadi sarang pelajar menghidu gam meminum arak di belakang Jalan Maharaja, Parit Buntar
Antara kesan conteng yang dilakukan sekumpulan pelajar sekolah bermasalah
PARIT BUNTAR (KERIAN) – Kawasan landasan kereta api yang terletak di belakang Jalan Maharaja, di sini bukan sahaja didakwa menjadi sarang pelajar sekolah menghidu gam dan minum minuman keras, malah turut disalah guna untuk aktiviti mencemarkan bulan Ramadan.

Seorang peniaga, Yong Wong Tiew, 55, berkata, sekumpulan pelajar akan datang untuk mengadakan sesi minum minuman keras dan menghidu gam di pekarangan tokong itu setiap hari pada sebelah petang dan lewat malam.

Lebih memburukkan keadaan, pihaknya pernah terserempak dengan sekumpulan pelajar lelaki yang membawa ‘masuk’ beberapa pelajar perempuan ke dalam ruang kosong di bawah landasan kereta api, dipercayai untuk melakukan aktiviti maksiat.

“Saya pernah menegur dan memberi amaran kepada mereka untuk meninggalkan tempat ini dengan membawa sekali barang-barang yang mereka bawa.

“Namun mereka tidak peduli, gelas dan tin gam termasuk beg plastik terus ditinggalkan di situ sehingga menjijikkan mata memandang,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian, di sini.

Wong Tiew berkata, keadaan bertambah buruk apabila sekumpulan remaja terbabit membaling botol arak ke dinding rumah kedai berhampiran selepas minum sehingga menyebabkan kaca botol itu bertaburan di atas lorong jalan belakang premis perniagaan itu.

Lebih mengecewakan, terdapat segelintir pelajar sekolah terlibat menconteng dinding premis perniagaan dengan perkataan tidak sepatutnya, sekali gus menjejaskan imej peniaga.

“Kehadiran segelintir remaja bermasalah itu menyebabkan kawasan lorong di belakang premis perniagaan kami kini jarang dilalui pelanggan kerana bimbang sesuatu buruk terjadi.

“Laporan kepada pihak berkuasa pernah dibuat dan polis ada mengadakan rondaan di kawasan itu, bagaimanapun kawasan itu masih menjadi tumpuan golongan remaja bermasalah dan saya berharap tindakan lebih tegas diambil terhadap mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Wee Keong Seng, 45, menegaskan pernah menemu bual beberapa pelajar sekolah terlibat dan dimaklumkan mereka turut menjadikan kawasan landasan kereta api di belakang premis kedai mereka sebagai lokasi ponteng sekolah.

“Saya fikir perkara ini perlu diberi perhatian serius kesemua pihak bertanggungjawab memandangkan kebanyakan pelajar sekolah yang merupakan tonggak kepimpinan negara pada masa hadapan,” katanya.

Remaja Cedera Tangan Kiri Terkena Letupan Mercun – Bernama


Remaja Cedera Tangan Kiri Terkena Letupan Mercun
KOTA BAHARU: Gara-gara membantu seorang kanak-kanak menyalakan sebatang mercun jenis botol, seorang remaja hampir kehilangan jarinya apabila bahan letupan itu meletup di tangannya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam semalam, mangsa, Mohamad Firdaus Ismail, 15, yang berasal dari Kampung Pelanduk, Rantau Panjang, bagaimanapun bernasib baik apabila hanya patah empat jari tangan kirinya.

Mohamad Firdaus, yang tidak bersekolah berkata dalam kejadian itu, dia baru pulang selepas menunaikan solat Tarawih di Kampung Batu Karang, kira-kira 500 meter dari rumahnya sebelum seorang kanak-kanak meminta bantuannya untuk menyalakan sebatang mercun jenis botol.

“Ketika saya memegang mercun botol tersebut, terasa seperti ada belerang yang keluar daripada pembalut mercun itu.

“Saya sedar bahaya yang mungkin berlaku, namun tetap menyalakan bahan letupan itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini Selasa.

Katanya mercun itu meletup di tangannya sebaik dinyalakan dan dia menyedari jarinya cedera.

“Masa mercun itu meletup, saya tak rasa apa-apa. Namun selepas menyedari tangan saya terkena mercun, baru terasa sakit dan terus memecut motosikal untuk pulang ke rumah,” katanya.

Firdaus berkata setibanya di rumah, dia terus pengsan dan abangnya, Afendi, 25, membawa mangsa ke Hospital Lati, Pasir Mas, sebelum dirujuk ke HUSM Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Firdaus berkata dia serik untuk bermain mercun lagi selepas kejadian yang hampir mencacatkan tangannya. – BERNAMA

Lima guru terkejut bateri kereta dicuri – Berita Harian


Lima guru terkejut bateri kereta dicuri
07:09:03 AM Oleh Nurhayati Abllah Cetak Emel Kawan

Ipoh: Lima guru sebuah sekolah menengah di Jalan Kuala Kangsar, di sini, kehilangan bateri kereta selepas meletakkan kenderaan masing-masing di tanah lapang berhampiran sekolah berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, semua mangsa yang kerugian ratusan ringgit meletakkan kenderaan mereka di kawasan itu untuk menghadiri program yang diadakan di sekolah berkenaan. Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Teh, berusia lingkungan 30-an berkata, beliau menyedari kehilangan bateri kereta selepas gagal menghidupkan enjin.

5 beradik perlu bantuan – Utusan


5 beradik perlu bantuan

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my

(dari kiri) Wan Nor Athirah Wan Nawi, Wan Zulhelmi, Wan Nor Aqilah, Wan Nor Atifah dan Wan Nor Atikah melihat gambar arwah ibu bapa mereka ketika ditemui di Kampung Gong Gemia, Dungun, Terengganu, semalam.
DUNGUN 7 Ogos – Tujuh tahun lalu, ketika semuanya masih kecil, mereka kehilangan bapa akibat serangan jantung dan tiga tahun kemudian, ibu pula menyusul kerana menghidap penyakit darah tinggi.

Sejak itu, lima beradik yatim piatu itu menumpang kasih kepada datuk dan nenek yang sudah uzur sebelum kebahagiaan mereka turut direntap apabila nenek meninggal dunia tahun lalu manakala datuk pula pada Mei lepas.

Ini merupakan tahun pertama Wan Zulhelmi Wan Nawi, 18, dan adik-adiknya, Wan Nor Atikah, 15, Wan Nor Athirah, 12, Wan Nor Atifah, 10, dan Wan Nor Aqilah, 9, menyambut ketibaan Ramadan dan Aidilfitri tanpa orang tersayang.

KM cari waris tiga kanak-kanak ditinggalkan ibu bapa – Utusan


KM cari waris tiga kanak-kanak ditinggalkan ibu bapa
Musatafa Kamal Zainal Abidin (kiri) dan Mohd. Adam ditinggalkan ibu mereka kepada pasangan suami isteri di Kulim, Kedah.
KULIM 7 Ogos – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan seorang ibu dan sepasang suami isteri untuk menyelesaikan kes tiga kanak-kanak yang dijaga sementara oleh dua keluarga di sini.

Pegawai Pelindung Kanak-Kanak JKM, Munirah Athirah Abdul Aziz berkata, dalam kes pertama, seorang wanita, Noraini Sarmadi, 47, dikehendaki mengambil kembali atau menyerahkan hak penjagaan dua anak lelakinya iaitu Mustafa Kamal Zainal Abidin, 9, dan Mohd. Adam Zainal Abidin, 7.

Katanya, kanak-kanak itu kini dijaga pasangan Hadzri Md. Yusuf, 47, dan Zarinah Mohd. Idris di Taman Bestari di sini.

“Alamat terakhir Noraini adalah di B-8, Kuaters Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Kampung Boyan, 34000, Taiping, Perak,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.