Timbalan Menteri Pelajaran kunjungi murid miskin di Kuala Kedah – Bernama


Timbalan Menteri Pelajaran kunjungi murid miskin di Kuala Kedah

10 Ogos 2012
ALOR SETAR- Bagi dua murid Tahun Enam daripada keluarga miskin di dua kampung di Kuala Kedah dekat sini, Ramadan kali ini sangat bermakna buat mereka apabila menerima kunjungan Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Kunjungan Dr Mohd Puad itu dianggap oleh Afikah Nasuha Abas, 12, dari Kampung Balai dan Mohd Alif Mat Ani, 12, dari Kampung Padang sebagai dorongan untuk kedua-dua mereka, yang akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi.

Mohd Puad yang berada di Kedah atas urusan kerja dibawa melawat kedua-dua murid Sekolah Kebangsaan Haji Ismail itu sempena program penyampaian bantuan Hari Raya Aidilfitri oleh Pertubuhan Gagasan Generasi Gemilang Parlimen Kuala Kedah (Gagah).

Dalam kunjungan singkat itu, Mohd Puad meluangkan masa bertemu dengan keluarga Afikah Nasuha dan Mohd Alif selain memberi kata-kata perangsang kepada mereka supaya cemerlang dalam pelajaran.

Beliau yang diiringi Pengarah Pelajaran negeri Mansor Lat dan Pengerusi Gagah yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah Datuk Abdul Mutalib Harun turut menyampaikan sumbangan makanan dan wang raya kepada mereka.

Afikah Nasuha berkata dia tidak menyangka seorang timbalan menteri sudi melawat dan prihatin dengan kesusahan hidup keluarganya.

“Saya hampir kelu apabila seorang timbalan menteri berada di depan rumah dan menyapa saya. Kesudian beliau datang menjenguk menambahkan lagi semangat saya untuk belajar bersungguh sungguh,” kata kanak-kanak itu yang tinggal bersama neneknya selepas kematian bapanya lapan tahun lalu.

Sementara itu, Mohd Alif berkata kedatangan rombongan berkenaan memberi semangat kepadanya untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR nanti.

Dalam pada itu, Mohd Puad berkata inisiatif Gagah yang menganjurkan program turun ke akar umbi bertujuan menyalurkan apa jua bantuan dan keperluan terhadap pelajar miskin, wajar dicontohi oleh semua pihak.

“Kita tidak mahu melihat pelajar miskin termasuk yang cemerlang dalam peperiksaan berdepan dengan masalah pembelajaran disebabkan oleh faktor kemiskinan yang membelenggu keluarga mereka.

“Saya mahu pelajar-pelajar miskin ini cemerlang dalam pendidikan dan dengan sokongan yang diberikan ini diharap pelajar terbabit terus berjaya dalam pelajaran mereka. Kementerian Pelajaran sentiasa mengalu-alukan usaha seperti ini,” katanya. -Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s