Dua beradik derita talasemia – Sinar Harian


Dua beradik derita talasemia
ERMA YUSNIDA JUSOH
13 Ogos 2012

Wan Emril menyampaikan sumbangan kepada Ruziean dan Muhammad Azri pada program itu.
KUANTAN – Dua beradik di Taman Tas di sini melalui kehidupan tidak normal apabila terpaksa berulang alik ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi menjalani pemindahan darah ekoran penyakit talasemia yang dihidapi sejak kecil.

Talasemia adalah penyakit kelainan pada darah iaitu kegagalan tubuh membentuk hemoglobin yang normal menyebabkan kerosakan pada sel darah merah.

Ruziean Azyanti, 25, yang menghidap talasemia Major dan Muhammad Azri Zulkifli, 15, pula berada di tahap sederhana reda dan menerima keadaan diri masing-masing walaupun sukar untuk melakukan aktiviti harian kerana penyakit yang dihidapi mereka.

Bagi ibunya, Siti Fatimah Mamat, 43, anak keduanya itu menunjukkan perubahan fizikal dan sering sakit ketika usia empat bulan manakala anak bongsunya pada usia lapan bulan.

“Apabila keadaan Ruziean sering demam dan pucat, saya membawanya ke klinik dan selepas pemeriksaan doktor mengesahkan dia mengalami talasemia.

“Malah doktor juga meminta saya membuat pemeriksaan dan disahkan sebagai pembawa penyakit itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tas, sempena Jelajah Ramadan anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang dengan kerjasama Dewan Undangan Negeri (Dun) Panching.

Hadir sama, Presiden GPMS Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong, Setiausahanya, Nasrul Isyam Abd Hamid dan Yang Dipertua GPMS Paya Besar, Mohd Isharizal Sahak.

Siti Fatimah berkata, keadaan fizikal kedua-dua anaknya sedikit terbantut selain tidak mampu melakukan berat.

“Mereka akan cepat letih dan ada kalanya pitam sekiranya kekurangan darah, buat masa ini, kedua-duanya akan mendapatkan bekalan darah sebulan sekali di hospital dan jumlah bergantung pada keperluan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana mereka kuat menghadapi dugaan penyakit ini,” katanya.

Penjagaan kesihatan kanak-kanak – Sinar Harian


Penjagaan kesihatan kanak-kanak

NOOR AINULYAKIN MOHAMAD ISHAK
13 Ogos 2012
Penjagaan kesihatan kanak-kanak
Jain (belakang, tengah) bersama peserta akhir pertandingan Protex

Untuk memberi kesedaran mengenai penjagaan kesihatan kepada masyarakat, pelbagai cara dilakukan oleh beberapa pihak untuk menarik minat masyarakat mengambil berat akan peri pentingnya penjagaan kesihatan bagi mengelak sebarang jangkitan penyakit pada diri.

Justeru, Protex iaitu jenama produk kebersihan diri mengadakan kempen tujuh langkah membasuh tangan dengan tarian kepada 50,000 murid yang mewakili 50 sekolah seluruh negara bermula dua tahun lalu dan berakhir baru-baru ini melalui acara kemuncak Majlis Pencarian Pembasuh Tangan Protex Starz di Damansara.

Acara ini bersempena dengan kempen ‘Badan Bersih, Sihat Malaysia’ yang memasuki tahun ketiga Protex dan antara aktiviti untuk menjayakan kempen ini adalah melalui kempen pendidikan mencuci tangan.

Awal Mei lalu, Protex mencapai 50,000 murid sekolah untuk mendidik mereka tentang tabiat kebersihan diri yang baik. Murid yang mewakili 50 sekolah rendah di seluruh Malaysia, diberi pendedahan mengenai apa bakteria, bagaimana untuk mencegah penyakit melalui kebersihan yang betul, dan tujuh langkah membasuh tangan seperti yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan.

Pengarah Pembangunan Pelanggan Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd, Vivek Jain berkata, kempen tersebut diadakan untuk menyokong sahutan Kementerian supaya melawan ancaman yang ditimbulkan oleh Influenza A (H1N1).

Menurutnya, walaupun wabak berkenaan tidak lagi membimbangkan, masyarakat masih perlu berwaspada dan menjaga tabiat kebersihan yang baik kerana ia adalah sebahagian daripada rutin harian.

“Kempen kami memberi tumpuan kepada kanak-kanak kerana kita percaya tabiat kebersihan yang baik terbentuk daripada muda.

“Mengajar anak mencuci tangan dengan betul akan memberikan mereka perlindungan tambahan terhadap kuman merbahaya, dan diharapkan ia menjadi satu tabiat mereka yang akan diteruskan sehingga dewasa,” katanya.

Lawatan ke sekolah

Antara aktiviti yang dijalankan kata Vivek, adalah melalui lawatan ke sekolah dengan pengisian yang menyeronokkan dan interaktif seperti taklimat, sesi pertanyaan, dan demonstrasi membasuh tangan yang betul diketuai oleh pasukan Protex serta sukarelawan pelajar.

“Kehadiran maskot Protex, Octopus Dr Handy juga menjadi acara lebih meriah di samping turut membantu mengedarkan risalah pendidikan Protex dan sabun anti bakteria.

“Satu ciri baru dan menarik kepada kempen tahun ini adalah Pencarian Pembasuh Tangan Protex Starz yang menjemput sekolah terpilih untuk mengemukakan nombor tarian paling kreatif menggunakan tujuh langkah mencuci tangan dengan betul,” katanya.

Vivek menjelaskan, mencuci tangan menggunakan tujuh langkah yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan sentiasa menjadi fokus utama kempen pendidikan mereka.

“Inilah sebabnya mengapa kita memperkenalkan pencarian Protex ini, yang secara  langsung mengajar kanak-kanak tujuh langkah membasuh dengan lebih gembira melalui tarian dan muzik bersama rakan mereka.

“Justeru selepas proses pemilihan, lima kumpulan terbaik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Assunta 1, SK Infant Jesus Convent Johor, SK Sri Petaling, dan SK Putrajaya Presint 9 telah dijemput untuk bersaing dalam persembahan kemuncak,” katanya.

Sementara, guru SK Infant Jesus Convent Johor, Liyana Abdullah berkata, dia sangat teruja melihat pelajarnya membuat persembahan di atas pentas, selepas berlatih dengan bersungguh-sungguh selama dua minggu.

“Pencarian ini adalah peluang yang baik untuk mendidik orang ramai langkah betul mencuci tangan. Di samping murid yang ikut serta dapat mengajar keluarga yang lain untuk membasuh tangan di rumah,” katanya.

Lebih menyerlah

Selepas persembahan yang menarik di atas pentas, SK Infant Jesus Convent akhirnya diisytiharkan sebagai pemenang hadiah utama, diikuti oleh SK Putrajaya Presint 9 (tempat kedua), SK Assunta 1 (tempat ketiga) dan dua kumpulan dari SK Sri Petaling (hadiah sagu hati). Tiga sekolah ini, masing-masing menerima hadiah RM10,000, RM7,000, dan RM5,000, manakala kumpulan-kumpulan lain menerima RM3,000 setiap satu.

Murid yang mengambil bahagian, Nur Durratul Hikmah, 12 berkata, dia sangat gembira dapat menyertai peraduan tersebut bersama rakannya.

“Saya masih ingat tujuh langkah mencuci tangan dengan betul dan saya kini suka mencuci tangan saya,” katanya.

Kempen pendidikan Tubuh Bersih, Malaysia Sihat adalah satu inisiatif kepada masyarakat oleh Protex dalam misi untuk memupuk tabiat kebersihan diri yang baik dalam kalangan murid sekolah.

Sejak penubuhannya pada tahun 2010, kempen pendidikan Protex telah melawat 255 sekolah rendah di seluruh negara dan mengajar hampir 270,000 murid sekolah mengenai kepentingan membasuh tangan dan kebersihan diri.

Murid parah dirempuh motosikal – Sinar Harian


Murid parah dirempuh motosikal

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2012
 Najwa
Keadaan basikal mangsa yang rosak teruk selepas dirempuh sebuah motosikal di landasan kuning berdekatan persimpangan Sekolah Menengah Kebangsaan Balai Besar.

BALAI BESAR – Kegembiraan seorang kanak-kanak yang berbasikal ketika pulang dari sekolah berakhir dengan tragedi apabila dia dilanggar sebuah motosikal sewaktu ingin melintas jalan, dekat sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.40 petang itu dipercayai berlaku apabila mangsa, Najwa Najira Marisha, 11, yang menunggang basikal dirempuh sebuah motosikal ketika hendak melintas jalan di jalan Gong Pasir-Alor Tempoyak.

Akibat dilanggar motosikal yang datang dari arah Gong Pasir itu, Najwa yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balai Besar itu cedera parah pada bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Sehingga jam 2 petang semalam, Najwa yang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Dungun difahamkan tidak sedarkan diri.

Penunggang motosikal terbabit yang belum disahkan identitinya juga cedera.

Kes kemalangan itu masih disiasat polis.

Dua beranak maut digilis lori -Sinar Harian


Dua beranak maut digilis lori

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2012
Dua beranak maut digilis lori
Adnan Abdullah

BALIK PULAU – Dua beranak maut selepas motosikal ditunggangi mereka bergesel dengan sebuah lori dalam kemalangan berlaku berhampiran persimpangan lampu isyarat antara jalan Bayan Lepas ke Teluk Kumbar, semalam.

Dalam kejadian berlaku kira- kira jam 9.10 pagi itu, mangsa, Adnan Abdullah, 59, dan anak tunggalnya, Mohd Adri Adnan, 7, menunggang motosikal jenis Honda yang baru dibeli menuju ke sebuah pusat tuisyen di Teluk Kumbar.

Motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan lori tersebut selepas cubaan memotong gagal disebabkan oleh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan menyebabkan kedua-duanya terjatuh di jalan.

Mohd Adri dikatakan tercampak sebelum digilis tayar belakang lori berkenaan menyebabkan dia maut di tempat kejadian, manakala ayahnya yang parah meninggal dunia kira-kira sejam kemudian di sebuah hospital swasta di Bayan Baru.

Kedua-dua mangsa itu dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Datuk Keramat selepas dituntut keluarga petang semalam.

Bapa mertua mangsa, Mohd Ismail Abu Kassim, 59, berkata, memang menjadi rutin mingguan menantunya yang juga pesara di Bahagian Keselamatan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menghantar Mohd Adri ke pusat tuisyen tersebut.

“Baru semalam (kelmarin) saya berbual dengan Mohd Adri di telefon dan dia yang rindukan saya dan neneknya ada mengajak kami bermalam di rumahnya.

“Cucu saya itu yang bersekolah di pusat tahfiz di Teluk Kumbar menyatakan hasratnya untuk bergambar bersama dengan berpakaian sedondon warna merah hati pagi raya nanti dan kami telahpun siapkan apa yang dimintanya.

“Saya amat sebak dan terkilan dengan kejadian yang berlaku namun kami reda,” katanya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain yang dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Hasil bedah siasat mendapati, Adnan cedera parah di badan manakala anaknya di bahagian kepala akibat dilanggar lori terbabit.

“Kegagalan mangsa memotong kenderaan di hadapannya menyebabkan kedua-duanya terjatuh di jalan raya,” katanya.

Aidilfitri lebih bermakna – Metro


Aidilfitri lebih bermakna

Oleh Mohamad Naufal Mohamad Idris
metahad@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: “Dapat juga saya beli baju Melayu, songkok dan samping. Jarang saya dapat peluang begini,” kata Salman Hakimi Malik, 7, antara anak yatim dari Rumah Kesayanganku Bukit Beruntung dan Kondo Rakyat Pantai Dalam yang diberi peluang membeli-belah dalam Program Bubur Lambuk 1Malaysia Amal Media anjuran Kelab Kebajikan, Sukan & Rekreasi, Jabatan Pengarang The New Straits Times Press (NSTP) di Pasaraya Giant, Seksyen 13 di sini, semalam.

Salman ketika ditemui berkata, dia gembira dapat bersama kawan-kawan membeli-belah barang keperluan Aidilfitri dan merasakan sambutan kali ini lebih bermakna.
“Saya dan rakan-rakan bersyukur kerana dapat pilih macam-macam barang untuk Aidilfitri dan saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menaja kami,” katanya.

 

Salman adalah antara 180 anak yatim yang dibawa khas untuk program anjuran Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi NSTP bersama Giant dan Adabi itu.
Semua anak yatim diberi baucar Giant RM70 setiap seorang untuk membeli kelengkapan hari raya di pasar raya itu, selain menerima sumbangan duit raya daripada Adabi.
Pengerusi Kelab, Shahiman Sharip berkata, 1Malaysia Amal Media adalah sebahagian daripada projek kebajikan warga NSTP membantu golongan kurang bernasib baik ketika Ramadan dan Syawal, sekali gus menyahut seruan kerajaan ke arah masyarakat prihatin dan penyayang.

 

 

“Selain meraikan anak yatim ini, kita juga adakan program bubur lambuk 1Malaysia yang sudah bermula sejak 22 Julai lalu dan akan berakhir pada Isnin ini. Permulaan program ini diadakan di Ibu Pejabat NSTP di Bangsar dan akan berakhir di Seri Pentas TV3, Bandar Utama,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program itu di sini.
Pada majlis itu, sebanyak 14 periuk bubur lambuk dimasak di pekarangan Giant untuk diagihkan kepada orang ramai. Hadir sama Pengurus Pemasaran Adabi, Adrian Roslan; Pengurus Pemasaran GCH Retail (M) Sdn Bhd, Ho Mun Chu dan Duta Program Bubur Lambuk 1Malaysia Amal Media, artis Farawahida.

 

Shahiman berkata, Program Bubur Lambuk 1Malaysia Amal Media itu yang mula diperkenalkan sejak sembilan tahun lalu diteruskan tahun ini berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/13

Jari melayang – Metro


Jari melayang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: “Saya panik apabila melihat jari tengah terputus dan melayang manakala jari telunjuk pula terkulai akibat letupan mercun,” kata Mohd Badri Safie, 14, yang kehilangan dua jari tangan kanannya akibat terkena letupan mercun bola, Khamis lalu.

Anak ketiga daripada enam beradik yang tinggal di Kampung Pulau Serai, Dungun ketika ditemui di Wad Ortopedik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, berkata, dalam kejadian jam 8 malam itu dia bersama dua rakan dalam perjalanan ke surau dan berhenti di tepi jalan untuk membakar mercun bola.
Menurutnya, dia tidak menduga keseronokan mereka bertiga berakhir duka apabila dia gagal melepaskan mercun yang dicucuh itu menyebabkan mercun berkenaan meletup dalam genggaman tangan kanannya.

 

“Kami bertiga sudah merancang bermain mercun bola sebelum ke surau dan rakan akan membawanya untuk kami.
“Ketika saya membakar mercun bola terakhir, sumbu mercun itu membakar terlalu cepat sehingga saya tidak sempat melontarnya.
“Sebaik letupan kuat, saya terkejut melihat jari tengah putus dan hilang manakala jari telunjuk terkulai lalu meminta rakan membawa saya ke surau untuk bantuan,” katanya.

 

 

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Serai itu berkata, dia tidak sempat mencari serpihan jari yang terputus itu kerana sibuk berusaha menghentikan darah yang berterusan mengalir.
Menurutnya, sebaik dibawa ke rumah, bapanya membawa dia ke Hospital Dungun sebelum dirujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

 

Sementara itu bapanya, Safie Khalid, 45, yang bekerja sebagai tukang rumah berkata, dia sebak melihat jari tengah anak ketiganya itu putus dan doktor terpaksa memotong jari telunjuk yang hancur bagi mengelak jangkitan kuman.
“Mungkin kejadian ini memberi pengajaran kepadanya supaya lebih berhati-hati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/13

Amaran kepada ibu bapa benar anak main mercun – Berita Harian


Amaran kepada ibu bapa benar anak main mercun

06:08:05 AMCetakEmel Kawan
Alor Setar: Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas termasuk menahan ibu bapa yang membenarkan anak mereka bermain mercun larangan sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata polis akan meningkatkan rondaan sepanjang musim perayaan ini dan akan terus mengambil tindakan termasuk menahan ibu bapa yang membenarkan anak mereka bermain mercun yang dilarang mengikut undang-undang.

Tahan peniaga mercun tiada permit

Kita akan meningkatkan kawalan, lebih-lebih lagi pada penghujung Ramadan kerana selalunya permainan mercun semakin aktif ketika waktu itu”. – Ahmad Ibrahim, Ketua Polis Kedah

Ahmad yang sebelum ini mengarahkan semua ketua polis daerah menahan peniaga mercun yang tidak mempunyai permit di sekitar bazar Ramadan di Kedah, berkata amaran berkenaan sudah berkuatkuasa sejak awal Ramadan, namun sehingga kini belum ada mana-mana pihak dikenakan tindakan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Kita akan meningkatkan kawalan, lebih-lebih lagi pada penghujung Ramadan kerana selalunya permainan mercun semakin aktif ketika itu. Kita akan kuatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Lebih tegas

“Polis akan lebih tegas kali ini kerana bermain mercun larangan memang berbahaya,” katanya pada sidang media ketika program Kacau Dodol Sempena Aidilfitri di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini semalam yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Abdul Ghaffar Rajab.
Program tersebut disertai 150 anggota polis dari 11 daerah seluruh negeri Kedah ini bergotong-royong mengacau 30 kawah dodol untuk diagihkan kepada anggota polis dan orang awam.