Penjagaan kesihatan kanak-kanak – Sinar Harian


Penjagaan kesihatan kanak-kanak

NOOR AINULYAKIN MOHAMAD ISHAK
13 Ogos 2012
Penjagaan kesihatan kanak-kanak
Jain (belakang, tengah) bersama peserta akhir pertandingan Protex

Untuk memberi kesedaran mengenai penjagaan kesihatan kepada masyarakat, pelbagai cara dilakukan oleh beberapa pihak untuk menarik minat masyarakat mengambil berat akan peri pentingnya penjagaan kesihatan bagi mengelak sebarang jangkitan penyakit pada diri.

Justeru, Protex iaitu jenama produk kebersihan diri mengadakan kempen tujuh langkah membasuh tangan dengan tarian kepada 50,000 murid yang mewakili 50 sekolah seluruh negara bermula dua tahun lalu dan berakhir baru-baru ini melalui acara kemuncak Majlis Pencarian Pembasuh Tangan Protex Starz di Damansara.

Acara ini bersempena dengan kempen ‘Badan Bersih, Sihat Malaysia’ yang memasuki tahun ketiga Protex dan antara aktiviti untuk menjayakan kempen ini adalah melalui kempen pendidikan mencuci tangan.

Awal Mei lalu, Protex mencapai 50,000 murid sekolah untuk mendidik mereka tentang tabiat kebersihan diri yang baik. Murid yang mewakili 50 sekolah rendah di seluruh Malaysia, diberi pendedahan mengenai apa bakteria, bagaimana untuk mencegah penyakit melalui kebersihan yang betul, dan tujuh langkah membasuh tangan seperti yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan.

Pengarah Pembangunan Pelanggan Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd, Vivek Jain berkata, kempen tersebut diadakan untuk menyokong sahutan Kementerian supaya melawan ancaman yang ditimbulkan oleh Influenza A (H1N1).

Menurutnya, walaupun wabak berkenaan tidak lagi membimbangkan, masyarakat masih perlu berwaspada dan menjaga tabiat kebersihan yang baik kerana ia adalah sebahagian daripada rutin harian.

“Kempen kami memberi tumpuan kepada kanak-kanak kerana kita percaya tabiat kebersihan yang baik terbentuk daripada muda.

“Mengajar anak mencuci tangan dengan betul akan memberikan mereka perlindungan tambahan terhadap kuman merbahaya, dan diharapkan ia menjadi satu tabiat mereka yang akan diteruskan sehingga dewasa,” katanya.

Lawatan ke sekolah

Antara aktiviti yang dijalankan kata Vivek, adalah melalui lawatan ke sekolah dengan pengisian yang menyeronokkan dan interaktif seperti taklimat, sesi pertanyaan, dan demonstrasi membasuh tangan yang betul diketuai oleh pasukan Protex serta sukarelawan pelajar.

“Kehadiran maskot Protex, Octopus Dr Handy juga menjadi acara lebih meriah di samping turut membantu mengedarkan risalah pendidikan Protex dan sabun anti bakteria.

“Satu ciri baru dan menarik kepada kempen tahun ini adalah Pencarian Pembasuh Tangan Protex Starz yang menjemput sekolah terpilih untuk mengemukakan nombor tarian paling kreatif menggunakan tujuh langkah mencuci tangan dengan betul,” katanya.

Vivek menjelaskan, mencuci tangan menggunakan tujuh langkah yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan sentiasa menjadi fokus utama kempen pendidikan mereka.

“Inilah sebabnya mengapa kita memperkenalkan pencarian Protex ini, yang secara  langsung mengajar kanak-kanak tujuh langkah membasuh dengan lebih gembira melalui tarian dan muzik bersama rakan mereka.

“Justeru selepas proses pemilihan, lima kumpulan terbaik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Assunta 1, SK Infant Jesus Convent Johor, SK Sri Petaling, dan SK Putrajaya Presint 9 telah dijemput untuk bersaing dalam persembahan kemuncak,” katanya.

Sementara, guru SK Infant Jesus Convent Johor, Liyana Abdullah berkata, dia sangat teruja melihat pelajarnya membuat persembahan di atas pentas, selepas berlatih dengan bersungguh-sungguh selama dua minggu.

“Pencarian ini adalah peluang yang baik untuk mendidik orang ramai langkah betul mencuci tangan. Di samping murid yang ikut serta dapat mengajar keluarga yang lain untuk membasuh tangan di rumah,” katanya.

Lebih menyerlah

Selepas persembahan yang menarik di atas pentas, SK Infant Jesus Convent akhirnya diisytiharkan sebagai pemenang hadiah utama, diikuti oleh SK Putrajaya Presint 9 (tempat kedua), SK Assunta 1 (tempat ketiga) dan dua kumpulan dari SK Sri Petaling (hadiah sagu hati). Tiga sekolah ini, masing-masing menerima hadiah RM10,000, RM7,000, dan RM5,000, manakala kumpulan-kumpulan lain menerima RM3,000 setiap satu.

Murid yang mengambil bahagian, Nur Durratul Hikmah, 12 berkata, dia sangat gembira dapat menyertai peraduan tersebut bersama rakannya.

“Saya masih ingat tujuh langkah mencuci tangan dengan betul dan saya kini suka mencuci tangan saya,” katanya.

Kempen pendidikan Tubuh Bersih, Malaysia Sihat adalah satu inisiatif kepada masyarakat oleh Protex dalam misi untuk memupuk tabiat kebersihan diri yang baik dalam kalangan murid sekolah.

Sejak penubuhannya pada tahun 2010, kempen pendidikan Protex telah melawat 255 sekolah rendah di seluruh negara dan mengajar hampir 270,000 murid sekolah mengenai kepentingan membasuh tangan dan kebersihan diri.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s