Perubahan status 28 Sekolah Agama Johor tidak jejas kuasa kerajaan negeri: Sultan Johor – Bernama


Perubahan status 28 Sekolah Agama Johor tidak jejas kuasa kerajaan negeri: Sultan Johor
14/08/2012 – 16:11:36 PM Cetak Emel Kawan

JOHOR BAHARU: Pendaftaran 28 buah Sekolah Agama Negeri Johor sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) tidak sesekali mengurangkan bidang kuasa kerajaan negeri dan Sultan Johor terhadap pengurusan sekolah berkenaan.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah kuasa mutlak baginda terhadap hal ehwal agama Islam Johor juga tidak akan terjejas atau berkurangan berikutan pendaftaran sekolah tersebut sebagai SABK. “Kuasa mutlak raja tidak akan terkurang atau terjejas dengan pendaftaran itu. Sebarang keputusan (mengenai sekolah terbabit) hendaklah selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Negeri Johor dan disembah (kepada baginda) terlebih dahulu,” titah baginda hari ini.
Baginda bertitah demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman pendaftaran sekolah agama negeri sebagai SABK di Persada Johor, di sini.

Turut hadir pada majlis adalah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Pada majlis itu, sebanyak 20 buah Sekolah Menengah Agama Rakyat dan lapan buah Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) di Johor didaftarkan sebagai SABK.

Sultan Johor selaku ketua agama Islam negeri bertitah sekiranya terdapat sebarang pelanggaran perjanjian yang ditandatangani hari ini, baginda tidak akan teragak-agak untuk membatalkannya.
“Perjanjian hari ini tidak bermakna pengambilalihan kuasa kerajaan negeri tentang pentadbiran sekolah-sekolah agama oleh kerajaan pusat,” titah baginda.

Mengenai pelantikan guru besar dan guru di sekolah agama itu, baginda mahu keutamaan diberi kepada rakyat Johor, sebelum dibuka kepada calon luar sekiranya tiada calon dari negeri ini.

Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapannya berkata perjanjian tersebut tidak akan menjejaskan kuasa Sultan Johor, Majlis Agama Islam Johor, Jabatan Agama Johor dan pihak berkepentingan yang lain.

“Ini sudah ditetapkan dalam Perkara 17 memorandum persefahaman yang jelas menyatakan bahawa kuasa-kuasa pihak berkepentingan adalah kekal, malah masih mempunyai tanggungjawab terhadap sekolah-sekolah berkenaan,” kata beliau.

Katanya dengan kemasukan sekolah agama negeri Johor sebagai SABK, seramai 684 guru dan 116 petugas sokongan akan diberi peluang menjawat jawatan tetap dan berpencen di bawah Kementerian Pelajaran.

Melalui perjanjian hari ini, katanya pelbagai kemudahan disediakan kepada guru termasuk latihan, gaji yang kompetitif, kenaikan pangkat, pencen dan pinjaman perumahan.

Bagi murid-murid pula, Muhyiddin berkata selain mendapat pendidikan berkualiti, mereka juga akan mendapat kemudahan seperti bantuan perkapita, bantuan makan asrama, bantuan buku teks sebagaimana yang dinikmati sekolah arus perdana.

“Dalam aspek pembangunan pula, SABK juga akan menerima bantuan untuk pembangunan fizikal bagi memastikan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s