‘Sedih lihat gelagat anak’ – Metro


‘Sedih lihat gelagat anak’
Oleh Erdie Ab Wahid
hmkk@hmetro.com.my

SIPITANG: Pilu hati seorang ibu setiap kali menjelang Aidilfitri tatkala melihat gelagat anak perempuan kembarnya yang setia menanti kehadiran bapa mereka di depan pintu rumah seperti apa mereka lihat di kaca televisyen sedangkan lelaki berkenaan sudah meninggal dunia selepas terbabit kemalangan jalan raya, kira-kira tujuh tahun lalu.

Lebih malang, dua beradik itu, Sri Azzwa Azimi dan Sri Azwin Azimi, 7, tidak sempat merasai kasih sayang bapa mereka yang meninggal dunia ketika mereka baru berusia sembilan bulan dan kemalangan maut itu berlaku di Semenanjung.
Keadaan itu menyebabkan ibu kanak-kanak berkenaan, Sapnah Lampung, 43, tidak dapat menunjukkan pusara suaminya kepada anak-anak kerana dikebumikan di Semenanjung.

“Ibu mana tidak sayu mengenangkan nasib anak tidak sempat bertemu ayah kandung yang meninggal dunia ketika mereka masih bayi lagi.
“Saya hanya mampu mengalirkan air mata melihat gelagat anak kembar saya yang akan menunggu di depan pintu mengharapkan ayah mereka pulang ke rumah dan beraya bersama-sama seperti apa yang sering ditonton di kaca televisyen,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tunggul Tinggi, di sini, semalam.
Katanya, setiap tahun ketika Ramadan, pasangan kembar itu sentiasa bertanyakan bapa mereka.

“Saya ada menerangkan bahawa ayah mereka sudah tiada tetapi mereka tidak percaya dan mahu melihat kuburnya.
“Selepas kejadian meragut nyawa itu, jenazah suami terus dikebumikan di Semenanjung kerana kami tidak mempunyai wang untuk membawa jenazahnya pulang ke kampung,” katanya.

Katanya, dia tidak memiliki kenalan atau saudara-mara di Semenanjung dan terus pulang ke kampung selepas suaminya selamat dikebumikan.
Sapnah berkata, setiap kali menziarahi kubur saudara mara lain pada 1 Syawal, anak kembarnya itu pasti akan bertanyakan pusara bapa mereka.
“Paling sedih apabila anak kembar saya sering bertanyakan kenapa mereka tidak mempunyai ayah seperti orang lain dan mahu membeli pakaian raya bersama ayah mereka,” katanya.
Menurutnya, arwah suaminya yang bertugas sebagai penyelia di syarikat telekomunikasi di Kuala Lumpur terbabit kemalangan ketika menjalankan tugas di Langkawi, Kedah.
Katanya, sebelum meninggal dunia, dia sempat menjaga arwah suaminya di hospital Kuala Lumpur selama tiga bulan kerana koma sebelum pihak hospital menasihatkannya supaya membawa arwah pulang ke rumah.
“Saya sempat menjaganya di rumah selama dua minggu sebelum disahkan meninggal dunia.
“Kami berkahwin pada 2004 dan pasangan kembar itu adalah cahaya mata pertama kami,” katanya.
Katanya, dia turut sedih kerana tidak mampu menziarahi pusara suaminya setiap kali Aidilfitri selain keadaan kuburnya yang pasti tidak terjaga.
“Saya berazam menunaikan harapan kedua-dua anak kembar saya satu hari nanti dan menunjukkan sendiri pusara bapa mereka di ibu negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 16/08/2012

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s