Pelajar bakal duduki SPM maut dalam kemalangan – Bernama


Pelajar bakal duduki SPM maut dalam kemalangan

16 Ogos 2012

KANGAR – Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia maut dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah motosikal di Km 12, Jalan Kangar-Padang Besar dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Che Man Md Dros berkata kejadian berlaku kira-kira 11 pagi apabila Muhamad Hazwa Faiz Saad, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Suleiman sedang menunggang motosikal menghala ke arah Padang Besar.

Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dikatakan terlanggar bahagian kanan motosikal rakannya, Hakimah Zambri, 19, yang dikatakan sedang cuba membelok ke kanan.

Che Man berkata mangsa gagal mengawal motosikalnya selepas pelanggaran itu menyebabkan dia memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah motosikal lain yang yang sedang menghala arah Kangar.- Bernama

Keputusan pelajar bawa iPad, telefon bimbit akhir tahun ini – Bernama


Keputusan pelajar bawa iPad, telefon bimbit akhir tahun ini

16 Ogos 2012

KUCHING – Cadangan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan akan diputuskan menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata pandangan daripada semua pihak berkepentingan akan diambil kira sebelum keputusan muktamad dibuat berhubung cadangan tersebut.

Sebelum ini, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional tidak merestui cadangan Kementerian Pelajaran itu atas alasan ia membawa lebih banyak keburukan terutama dari segi tumpuan pelajar terhadap pembelajaran.

Wee berkata cadangan itu adalah selari dengan perkembangan semasa serta garis panduan akan ditetapkan bagi mengawal penggunaan alat komunikasi tersebut bagi mengelak ia mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek bantuan tahunan sebanyak RM11.2 juta kepada 165 buah sekolah jenis kebangsaan (SJK) bantuan kerajaan dan sekolah mubaligh aliran Cina di sini hari ini.

Wee juga berkata kementerian akan memperbaiki bangunan sekolah SJK yang usang di Sarawak termasuk menggantikan struktur bumbung, perabot serta menambah kapasiti bilangan murid.- Bernama