Sekolah tergantung, berlaku mendapan tanah – Sinar Harian


Sekolah tergantung, berlaku mendapan tanah

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Ogos 2012
Sekolah tergantung, berlaku mendapan tanah
Mendapan yang berlalu membuatkan bahagian bawah bangunan boleh dilihat dengan jelas.

MARANG – Sekolah tergantung pertama di Malaysia. Demikianlah keadaan sebuah bangunan sekolah yang dibina di sebuah kawasan agak terpencil di Kampung Alor Limbat di sini, yang mula menjadi buah mulut penduduk di sekitar kampung berkenaan.

Isu pembinaan sekolah itu juga dikatakan mendapat bantahan sejak awal pembinaannya lagi kerana ia dibina di kawasan yang tidak sesuai dan berair. Kini kebimbangan mereka terjawab apabila berlakunya mendapan tanah sedalam lebih kurang 0.3 meter.

Malah, mereka juga mendakwa bangunan yang dikatakan berharga jutaan ringgit itu bakal runtuh bila-bila masa dan menerima nasib sama dengan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak yang bumbungnya runtuh pada tiga tahun lalu.

Setiausaha Pas Negeri Terengganu, Yahaya Ali yang mewakili penduduk berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Limbat yang sedang dalam pembinaan itu sepatutnya dibuka dua tahun lalu namun sehingga kini masih belum dapat digunakan.

Ini sebab, katanya bangunan tersebut disahkan tidak selamat untuk digunakan oleh pihak Forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) akibat berlakunya mendapan tanah di bawah bangunan.

Tapak bangunan kawasan hutan berair

“Setakat yang saya tahu, sekolah (SMK Alor Limbat) ini patut telah dibuka tahun 2010 lagi. Harga kos pengambilan tanah RM1,608,177,00 dan kos pembinaan sekolah pula menelan belanja jutaan ringgit tapi sampai sekarang masih belum dapat digunakan.

“Isunya dari pemilihan tapak lagi sebab asal kawasan berkenaan adalah kawasan hutan berair (tasik) sedangkan pilihan untuk pengambilan balik tanah lebih sesuai boleh dilakukan di tempat lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Yahaya berkata, pada peringkat awal perancangan pembinaannya sebahagian dari kawasan pembinaan sekolah tersebut juga bertindih dengan kawasan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Penjara Beruk pada zaman kerajaan Pas iaitu pada 1999 hingga 2004.

Sehubungan itu, katanya, tapak kawasan projek itu terpaksa ditambun selain turut membabitkan soal kurang teliti pihak berkenaan hingga tanah sekeliling bangunan sekolah berkenaan mendap lebih kurang 0.3 meter dan menyebabkan bangunan sekolah menjadi tergantung.

Persoalannya, kata Yahaya yang merupakan Yang Dipertua Pas Kawasan Marang, apakah pemilihan tapak projek sekolah itu kerana mengambil kira kepentingan projek itu sendiri atau mempunyai agenda tersembunyi seperti mengeluarkan kayu balak dari kawasan tersebut.

Dalam pada itu, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu 13 Ogos lalu kerajaan mengesahkan dalam jawapan bertulis kos pengambilan tanah sekolah itu berharga RM1,608,177 dan pengoperasian tidak dapat diteruskan kerana berlaku mendapan tanah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s