Sehelai baju amat bermakna – Kosmo


Sehelai baju amat bermakna

 

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

 

ANAK-ANAK yatim daripada Rumah Kasih Harmoni turut menerima sumbangan sukarelawan kempen Sehelai Baju Buat Menyapu Si Airmata.

 

MERAIKAN Aidilfitri tanpa memakai pakaian baharu pasti mengundang rasa syahdu bagi empunya diri terutama golongan kanak-kanak. Apatah lagi jika melihat penampilan rakan sebaya begitu menawan pada pagi Syawal.

Yang berkemampuan sudah pasti tidak berdepan sebarang masalah mendapatkan tiga atau empat pasang baju raya untuk anak masing-masing. Namun, bagi anak-anak yatim atau golongan kurang berada, sehelai baju pun mungkin susah untuk diperoleh.

Menyedari hakikat itu, sekumpulan sukarelawan tampil menjalankan satu kempen yang dikenali sebagai Sehelai Baju Buat Menyapu Si Airmata.

Mula dianjurkan sejak tahun 2010, kumpulan tersebut bertindak mengumpul baju-baju baharu untuk disumbangkan kepada golongan asnaf dan anak-anak yatim yang terpilih.

Pengerusi penyelaras program amal itu, Sophia Othman berkata, kempen tersebut sebenarnya bermula sekadar suka-suka untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan berhari raya dengan pakaian baharu.

“Pada awalnya, kami menjadikan laman sosial Facebook sebagai platform untuk membuat pengumuman tentang kempen itu di samping mengumpul koleksi baju yang diperlukan. Pasukan kami ketika itu terdiri daripada rakan-rakan Facebook sahaja.

KECERIAAN jelas terpancar pada wajah anak-anak yang menerima sumbangan baju raya baharu.

 

“Alhamdulillah, lama-kelamaan program amal yang dijalankan ini terus mendapat perhatian ramai yang memasuki tahun ketiga penganjurannya,” ujar Sophia ketika ditemui di Rumah Amal Permata Hatiku di Gombak, Selangor sewaktu menyampaikan sumbangan baju raya baru-baru ini.

Hanya kumpul baju baharu

Menariknya, kempen Sehelai Baju Buat Menyapu Si Air Mata itu tidak mengumpul wang, sebaliknya baju kurung atau baju Melayu baharu untuk diberi kepada anak-anak yatim yang tinggal di rumah atau pusat jagaan serta anak-anak fakir miskin asnaf di seluruh negara.

“Pada tahun 2010 dan 2011, pasukan kami telah berjaya mengumpul lebih daripada 7,000 pasang baju raya baharu yang kemudian diagih-agihkan kepada lebih 30 rumah anak yatim dan fakir miskin asnaf di sekitar Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Johor, Terengganu, Kelantan, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang,” jelas Sophia sambil menambah tahun ini kempen itu dijalankan bermula dari 20 Mei hingga 10 Ogos 2012.

Golongan sasaran yang menerima bantuan tersebut terdiri daripada anak-anak yatim dan anak fakir miskin berusia antara satu hingga 18 tahun.

Penyerahan baju pula dilakukan dengan cara menghubungi Ahli Jawatankuasa Penyelaras di Facebook atau terus menghantar sendiri ke pusat pengumpulan melalui pos.

Apa yang pasti, inisiatif yang dilakukan pasukan sukarelawan Sehelai Baju Buat Menyapu Si Airmata mengundang reaksi positif daripada penerima.

KEMPEN unik Sehelai Baju Buat Menyapu Si Airmata hanya menerima sumbangan baju baharu untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan pada Hari Raya Aidilfitri.

 

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Permata Hatiku Kuala Lumpur dan Selangor, Mohd. Dhiyauddin Abd. Rahman berkata, pihaknya melahirkan rasa bersyukur di atas keprihatinan kumpulan tersebut.

“Sumbangan yang dibuat mereka amat besar maknanya bagi anak-anak yang berada di bawah jagaan kami. Insya-Allah, dengan adanya baju baharu untuk mereka, Aidilfitri menjadi lebih berseri,” ungkap Mohd. Dhiyauddin sambil memberitahu terdapat 30 kanak-kanak yang kurang bernasib baik bernaung di bawah pertubuhan tersebut.

Sementara itu, seorang anak yatim, Fatin Fathhiyyah Mohd. Nor Azman, 11, turut berkongsi rasa gembira kerana mendapat baju kurung baharu bagi meraikan bulan Syawal yang mulia.

“Saya rasa seronok kerana dapat baju raya yang cantik. Terima kasih kepada pihak yang memberi. Walaupun sehelai, tetapi ia tetap berharga bagi saya,” tutur Fatin.

Untuk maklumat lanjut mengenai program itu anda boleh melayari laman Facebook/kempensehelaibajubuatmenyapusiairmata.

Leave a comment