Cuepacs yakin kebajikan awam disentuh dalam Bajet 2013 – Sinar Harian


Cuepacs yakin kebajikan awam disentuh dalam Bajet 2013

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Ogos 2012
logo cuepacs
Cuepacs

KUCHING – Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman yakin isu kebajikan penjawat awam akan disentuh dalam  pembentangan Bajet 2013, yang dijangka pada 28 Sept ini, selaras dengan usaha menambah baik kualiti perkhidmatan melalui penyampaian berkesan.

Omar, yang juga anggota Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA), berkata Cuepacs juga mahu status pekerja kontrak turut mendapat perhatian kerajaan.

“Kebajikan sangat penting dalam mana-mana sektor, sama ada dalam kerajaan atau swasta dan kita mengharapkan satu pembentangan yang baik supaya tidak ada lagi penjawat awam yang bermasalah atau tidak sihat yang akan menyusahkan kawalan,” katanya kepada pemberita selepas majlis dialog di antara ketua jabatan dan badan berkanun persekutuan Sarawak dengan SKMTPA, yang diketuai pengerusinya Tun Zaki Tun Azmi di sini hari ini.

Dengan adanya pelbagai insentif yang diberi kerajaan, seperti bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M) serta ekonomi yang sudah baik, beliau berkata isu yang dibangkitkan selama ini, termasuk kenaikan gaji selain penyelarasan bayaran insentif wilayah dan elaun perumahan, perlu mendapat perhatian kerajaan di dalam belanjawan 2013 nanti.

Bagi meningkatkan lagi produktiviti dan pentadbiran efisien, elaun bantuan sara hidup (Cola) juga perlu diberi kepada penjawat awam di Sarawak, yang berbeza dengan bayaran insentif wilayah, katanya. – Bernama

Kes sumbang mahram: Pemimpin kanan parti pembangkang, anak ditahan – Bernama


Kes sumbang mahram: Pemimpin kanan parti pembangkang, anak ditahan

28 Ogos 2012
JERANTUT – Seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang dan anak lelakinya ditahan bagi membantu polis berhubung satu kes sumbang mahram.

Pemimpin utama sebuah parti baru itu bersama anak lelakinya yang berumur 14 tahun ditahan reman pada 22 Ogos lepas bagi membantu siasatan apabila anak perempuannya yang berumur 15 tahun melahirkan seorang bayi lelaki.

Mereka dibebaskan semalam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut DSP Zakaria Kasim, mangsa, 15, melahirkan seorang bayi lelaki tiga hari lepas di sebuah pusat bersalin di Cheras, Kuala Lumpur.

“Kedua-dua suspek, bapa dan anak itu bagaimanapun dibebaskan semalam atas jaminan pihak polis,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata polis juga mengambil sampel DNA kedua-dua suspek dan keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh seminggu.

Suspek yang juga saudara terdekat kepada seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang tanah air, pernah bertanding pada pilihan raya umum ke-12.

Bagaimanapun, suspek yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri di Pahang pada pilihan raya umum lepas itu kalah kepada calon Barisan Nasional. – Bernama

TEMU DUGA JAWATAN PENYELIA ASRAMA GRED N17 DI SEMENANJUNG – SPP


TEMU DUGA JAWATAN PENYELIA ASRAMA GRED N17 DI SEMENANJUNG

Temu duga jawatan Penyelia Asrama N17 bagi negeri Kelantan, Kedah dan Perlis pada 04 September – 06 September 2012 serta Pulau Pinang pada 07 September 2012 boleh disemak mulai 27 Ogos 2012. Calon juga akan menerima surat rasmi pemberitahuan panggilan temu duga dari Suruhanjaya ini. Semak senarai nama di sini.

Muat naik pada 27 Ogos 2012

Jemputan Menghadiri Konvensyen Pendidikan Kebangsaan 2012 dan Malam Pemangkin Pendidikan Negara


Jemputan Menghadiri Konvensyen Pendidikan Kebangsaan 2012 dan Malam Pemangkin Pendidikan Negara

 

Sukacita dimaklumkan Majlis Profesor Negara (MPN) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan mengadakan Program berbentuk intelektual yang akan mengupas isu persoalan pendidikan Negara. Pendidikan adalah merupakan satu komponen utama dalam Pelan Transformasi Ekonomi Negara yang perlu dilaksanakan bagi melahirkan modal insan yang kreatif, inovatif, serta mempunyai kelebihan mengadaptasi ilmu bagi menghadapi cabaran di masa akan datang.

 

Untuk maklumat lanjut, sila muat turun surat jemputan di bawah.
Muat turun
Surat Jemputan

MAJLIS BACAAN YASIN, TAHLIL DAN DOA SELAMAT SEMPENA HARI KEMERDEKAAN NEGARA KE-55 PERINGKAT KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA TAHUN 2012


MAJLIS BACAAN YASIN, TAHLIL DAN DOA SELAMAT SEMPENA HARI KEMERDEKAAN NEGARA KE-55 PERINGKAT KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA TAHUN 2012

ATUR CARA MAJLIS BACAAN YASIN, TAHLIL DAN DOA SELAMAT SEMPENA HARI KEMERDEKAAN NEGARA KE-55 PERINGKAT KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA TAHUN 2012.

2.00 petang : Pendaftaran & Ketibaan para jemputan/tetamu
2.30 petang : Ketibaan Y.Bhg Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia

2.45 petang : Ucapan Alu-aluan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia

3.00 petang : Bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Selamat

3.45 petang :

Ceramah “Syukuri Nikmat Kemerdekaan”
Oleh: Dr Khairul Nizam Zainan Nazri
Pensyarah Institut Kefahaman al-Qur’an dan Sunnah,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Penyampaian Cenderamata

4.45 petang : Solat Fardhu Asar berjamaah

5.00 petang : Jamuan

5.30 petang : Bersurai

Cef Liza tinggalkan dunia perguruan kerana minat masakan – Sinar Harian


Cef Liza tinggalkan dunia perguruan kerana minat masakan
HASLIZA AR KAMALUDIN
28 Ogos 2012

Muka depan edisi terbaru majalah MIDI.
MIDI – Dapatkan isu 15 Ogos 2012 di pasaran!
TIDAK ramai tahu bahawa wanita ini merupakan seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah pendidikan khas pada awalnya. Namun atas rasa cinta yang mendalam terhadap dunia masakan sejak kecil lagi, membuatkan dia nekad meninggalkan dunia perguruan yang disertai lebih 20 tahun lamanya.

“Ramai terkejut apabila mengetahui saya mengambil cuti tanpa gaji bagi mendalami dunia masakan ini di luar negara. Namun ketika itu memang minat mengatasi segala-galanya.

Dengan izin dan restu suami dan anak-anak, saya berkelana ke luar negara hampir lima tahun lamanya bagi mengejar apa yang saya cita-citakan selama ini,” ujar Azizah Liza Che Long kepada majalah MIDI.

Nyata percaturan yang dibuat oleh wanita yang lebih dikenali sebagai Cef Liza Zainol dalam kalangan masyarakat hari ini tidak meleset. Malah kehadirannya mengisi posisi cef selebriti dilihat begitu bertepatan.

“Jika sebelum ini memasak merupakan minat yang tidak terhingga pada saya, kini ia menjadi sumber rezeki utama. Lebih-lebih lagi setelah saya membuat keputusan bersara awal, iaitu pada usia 45 tahun. Bukan tidak mahu lagi berkhidmat pada masyarakat, tetapi bagi saya berkongsi ilmu masakan ini bersama masyarakat juga merupakan sesuatu yang bermanfaat.

“Di samping itu, saya ingin memberi kesenangan buat keluarga kerana kenangan gaji yang berbaki hanya RM17.50 setelah ditolak cuti tanpa gaji sebelum ini sentiasa segar dalam ingatan. Atas sebab itu jugalah kami sekeluarga sepakat berhijrah ke Kuala Lumpur.

Alhamdulillah, bermula dengan kedai kek di bawah tangga, saya kini sudah mampu memiliki sebuah akademi kulinari sendiri,” katanya penuh bermakna sambil tersenyum.

Dia yang berasal dari Sungai Petani, Kedah mengakui, bidang masakan bukanlah suatu bidang yang boleh dipandang remeh. Katanya, banyak liku terpaksa ditempuhi sebelum sampai ke tahap ini. Selain modal, dia juga perlu bersaing dengan ramai tukang masak yang tumbuh bak cendawan ketika ini.

“Begitu pun saya bersyukur kerana masyarakat hari ini semakin dapat membezakan tukang masak berpengetahuan dengan tukang masak berpengalaman,” ujarnya yang pernah mengikuti kursus membuat dan menghias kek, menghias pastri, royal aising dan membuat coklat hingga ke United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat dan Jakarta.

Berkat usaha gigihnya hampir 10 tahun dalam bidang ini juga, Cef Liza kini memiliki Akademi Kulinari Cef Liza yang diusahakan bersama anak-anak. Laman Cef Liza pula untuk mengajar memasak kepada yang berminat, manakala Studio Cef Liza menerbitkan rancangan-rancangan masakan.

Jadual waktu peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012


Jadual waktu peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012

 

Murid-murid Tahun 6 di seluruh negara akan menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun 2012 yang akan bermula pada 11 hingga 13 September, 2012 ini.

Berikut adalah jadual waktu peperiksaan bertulis UPSR 2012.  Salinan jadual waktu ini akan diedarkan di seluruh sekolah rendah nanti.

Penyakit kulit Alif boleh sembuh – Kosmo


Penyakit kulit Alif boleh sembuh
Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI
nadia.bahari@kosmo.com.my

KEADAAN Mohd. Alif Haikal yang menghidap penyakit kulit ekzema proriasis.

KUALA LUMPUR – Harapan keluarga Mohd. Alif Haikal Juhari, 6, yang menghidap penyakit kulit atau psoriasis untuk menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain mungkin menjadi kenyataan apabila teknologi terkini bagi merawat penyakit tersebut kini terdapat di Malaysia.

Pakar Kulit, Dr. Ko Chung Beng berkata, teknologi tersebut merupakan teknologi terkini dari Itali berasaskan rawatan cahaya atau laser yang dinamakan Alba 355.

“Pesakit yang menghidap penyakit psoriasis di keseluruhan badan perlu menjalani rawatan kira-kira enam hingga 10 kali sesi rawatan.

“Selepas dua hingga tiga minggu rawatan dijalankan, pengurangan tanda kemerahan pada kawasan yang dirawat akan menurun kira-kira 90 hingga 95 peratus,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Difahamkan, kaedah rawatan yang digunakan tiada kesan sampingan dan tidak menyakitkan pesakit.

Bapa tekad tinggalkan 3 anak – Kosmo


Bapa tekad tinggalkan 3 anak
Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my

NURUL SAFIZA (kiri) menjaga dua adiknya, Muhammad Nurhan (tengah) dan Nur Masyita Amiera di rumah mereka di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Nordi Adi, bapa kepada Siti Norzana, 12, yang masih terkandas di Indonesia bersama keluarga bekas isteri keduanya, Karsini Kaslam, 25, tekad meninggalkan tiga anaknya bersendirian di Flat Taman Kempas di sini.

Lelaki itu dipercayai menuju ke Lampung, Indonesia bersendirian untuk menyelamatkan anaknya yang kini didakwa di bawah cengkaman bapa angkatnya.

Dia dipercayai berbuat demikian lantaran kecewa kerana mendakwa sudah terlalu lama menunggu janji pihak tertentu untuk membawa anak kesayangannya pulang ke pangkuannya.

Namun, sebelum bertekad meninggalkan tanah air, niat itu terlebih dulu telah disuarakan Nordi, 57, kepada wartawan Kosmo! melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon yang dibuat sejam sebelum dia berangkat ke negara seberang.

Berikut adalah beberapa petikan SMS yang dihantar kepada Kosmo!:

Nordi: Mungkin esok (24 Ogos lalu), saya akan tinggalkan tiga anak saya.

Kosmo!: Apa maksud pakcik?

Nordi: Saya pergi sahut cabaran bapa angkat Siti Norzana. Tunggu berita Interpol, macam tunggu buah tak gugur.

Kosmo!: Pakcik sudah beli tiket kapal terbang?

Nordi: Saya keluar melalui jalan belakang.

Nordi dipercayai meninggalkan rumah dan tiga anaknya, Nurul Safiza, 11, Muhammad Nurhan, 9, dan Nur Masyita Amiera, 8, di Flat Taman Kempas di sini kira-kira pukul 10.30 pagi, 24 Ogos lalu menggunakan perkhidmatan feri.

Membuktikan tindak-tanduknya bukan main-main, dia menghubungi Kosmo! semula menggunakan talian dari Indonesia kira-kira pukul 3.45 petang pada hari yang sama.

“Saya sudah berada di Lampung, saya sudah bersedia berjuang walau apa juga rintangan untuk selamatkan Zana, tolong tengok-tengokkan anak saya,” katanya ringkas.

Nordi sebelum ini telah mendapatkan bantuan daripada Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO untuk menyelamatkan empat anaknya yang didakwa diculik dan disimpan oleh ibu tiri mereka di Lampung, Indonesia, sejak dua tahun lalu.

Misi itu, bagaimanapun hanya berjaya membawa pulang tiga daripada mereka manakala Siti Norzana tidak dapat dibawa bersama pada 30 Jun lalu selepas Suwwandi Kariorojo, 44, yang mendakwa sebagai bapa angkat kanak-kanak itu enggan membenarkannya pulang ke negara ini.

Dalam pada itu, Nordi ketika ditanya bagaimana nasib ketiga-tiga anaknya yang ditinggalkannya, jawabnya: “Saya serah kepada Allah. Tiada siapa menjaga mereka, sudah kehendak takdir, terpaksa saya terima dugaan ini. Untuk seminggu dua (duit belanja) cukup, seterusnya, entahlah.”

Murid tahun empat diburu kerana curi motosikal – Sinar Harian


Murid tahun empat diburu kerana curi motosikal
WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Ogos 2012

Polis (kanan) bersama Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) berada di lokasi motosikal ditemui.
KULIM – Polis sedang memburu murid tahun empat dipercayai terlibat dalam kes kecurian motosikal seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di rumahnya di Taman Tungku Putra kira-kira jam 12.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, suspek dipercayai masuk ke dalam pagar rumah remaja lelaki itu untuk mengambil motosikal.

“Dia yang menyedari kejadian itu bagaimanapun gagal menahan suspek kerana sukar membuka pintu gerigi rumahnya.

“Setelah berjaya membuka pintu, dia cuba mengejar suspek bagaimanapun gagal berbuat demikian,” katanya.

Menurutnya, remaja lelaki terbabit kemudiannya berjumpa anggota trafik yang sedang menjalankan tugas rondaan dan meminta bantuan.

“Kira-kira jam 12.45 petang, kakitangan pos laju menemui motosikal curi itu disorok belakang pokok dalam taman permainan berhampiran sekolah agama.

“Daripada pemeriksaan nombor pendaftaran dibuat, polis mendapati motosikal itu dilaporkan hilang tengah malam, semalam.

“Suspek mungkin menunggang motosikal itu untuk pergi ke sekolah tetapi meletakkannya di taman permainan untuk mengelak daripada diketahui orang lain,” katanya.

Ghuzlan berkata, sehingga kini kes curi motosikal merupakan antara jenayah yang kerap berlaku di Kulim.

“Sebelum ini, polis menahan seorang pelajar berusia 16 tahun dari Kuala Ketil kerana mencuri motosikal di surau.

“Bagaimanapun polis berjaya menahan suspek di Taman Cengal ketika cuba melarikan motosikal itu ke Gurun untuk dijual,” katanya.