Rempuh lori melintang – Metro


Rempuh lori melintang
Oleh Yusmawati Mhd Yusof dan Arifin Saleh
am@hmetro.com.my

ROSAK…anggota polis trafik memeriksa motosikal Mohamad Fakhrulrazi yang terbabit kemalangan, semalam.
MELAKA: Seorang guru yang juga jurulatih hoki di Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP), Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor maut apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan di Kilometer 197.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran susur keluar Ayer Keroh, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi itu, mangsa Mohamad Fakhrulrazi Baharuddin, 28, dalam perjalanan pulang ke SSBP selepas menyambut hari raya bersama isteri dan mentuanya di Cheras, Kuala Lumpur.

Turut terkorban dalam kejadian itu ialah pemandu Perodua Myvi, Muhammad Farid Mazlan, 27, yang parah di kepala, manakala pemandu lori, Rosli Md Nor, 37, patah kaki kanan kerana tersepit dalam kenderaannya, sementara empat sekeluarga yang menaiki Proton Iswara cedera ringan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu Rosli merempuh bahagian belakang sebuah treler sebelum lori berkenaan dirempuh Perodua Myvi dipandu Muhammad Farid.

Remaja hilang ditemui semula – Utusan


Remaja hilang ditemui semula

BATU GAJAH 27 Ogos – Kebimbangan seorang wanita berhubung kehilangan anaknya, Chan Ke Yi, 16, sejak seminggu lalu berakhir apabila remaja itu ditemui selamat semalam.

Ke Yi yang dilaporkan hilang setelah keluar membeli nasi ayam pada pukul 6 petang, 18 Ogos lalu, ditemui oleh seorang peniaga, Muhammad Nasir A. Aziz, 60, di hadapan gerainya di Medan Selera Jalan Gopeng dekat sini.

Semasa ditemui, Ke Yi yang dilaporkan keluar dari rumahnya di Kampung Pandak Akhat dengan berjalan kaki seorang diri dan berkaki ayam, kelihatan lemah dan lesu.

Muhammad Nasir memberitahu, dia sedang bersiap-siap untuk membuka gerai terkejut apabila disapa seorang gadis di hadapan gerainya.

Katanya, gadis yang kelihatan tidak bermaya itu memintanya untuk menghantar pulang ke Ipoh, namun gagal memberitahu lokasi sebenar.

Jurutera, guru maut langgar lori – Utusan


Jurutera, guru maut langgar lori

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com.my

Elly Zafira Shahrunan (kanan) berkata sesuatu kepada Nurul Ain Suhari ketika mereka menunggu untuk menuntut jenazah suami masing-masing di Hospital Melaka, semalam.
ALOR GAJAH 27 Ogos – Seorang jurutera dan seorang guru yang juga bekas pemain hoki kebangsaan maut selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan termasuk sebuah lori dan sebuah treler di Kilometer 197.3 Lebuh Raya Utara Selatan, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 4.45 pagi itu, Muhammad Farid Mazlan, 27, yang merupakan seorang jurutera maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya melanggar sebuah lori yang berhenti di tengah jalan selepas terlibat kemalangan.

Ketika nahas itu, Muhammad Farid dalam perjalanan dari rumahnya di Nilai, Negeri Sembilan ke Johor Bahru, Johor.