Sekolah, Syarikat Pemaju Turut Terlibat Dalam NKRA Jenayah Fasa Kedua -Hishammuddin – Bernama


Sekolah, Syarikat Pemaju Turut Terlibat Dalam NKRA Jenayah Fasa Kedua -Hishammuddin

KAMPUNG GAJAH: Sekolah dan syarikat pemaju perumahan antara organisasi yang terlibat memerangi jenayah di bawah fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Jenayah yang akan dilancarkan hujung tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementerian itu akan mengumumkan pendekatan dan program fasa kedua bagi memenuhi matlamat NKRA.

“Pendekatan di bawah fasa kedua saya akan umumkan sekaligus tentang apa yang kita akan lakukan terhadap kanak-kanak jalanan, pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru… yang mana semua ini ada hubung kait dengan agenda kita, sama juga bank-bank serta syarikat pemaju perumahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Pasir Salak di Dewan Besar Felcra di sini, Ahad.

Terdahulu, beliau menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Felcra Berhad Wilayah Perak di tapak perumahan generasi kedua peserta Felcra di sini. -BERNAMA

Najib lulus 3 Juta untuk bina Sekolah Menengah Agama Rampayan Laut – Bernama


Najib lulus 3 Juta untuk bina Sekolah Menengah Agama Rampayan Laut

2 September 2012

KOTA BELUD- Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meluluskan peruntukan RM3 juta bagi pembinaan Sekolah Menengah Agama Rampayan Laut dekat sini.

Perdana Menteri berkata, peruntukan itu bagi memenuhi permintaan penduduk di kampung itu yang memerlukan sebuah sekolah menengah.

Beliau turut menyempurnakan upacara pecah tanah projek itu selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bersama Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO) di kampung itu.

Terdahulu, Najib berkata rakyat sekarang menjadi pewaris dan penentu wawasan 2020 tercapai.

“Kita cuma ada lapan tahun sahaja lagi ke tahun 2020 dan kita nak mentransformasikan negara kita sebagai negara maju. Kita tidak mahu buat kerja sekerat jalan.

“Untuk mencapai impian ini, kita mesti menunjukkan bahawa kita mendukung agenda transformasi negara, jangan kita terlampau termakan hasutan pembangkang.

“Jangan kita melatah dengan geletek parti pembangkang dan jangan kita terpedaya dengan janji manis pembangkang,” katanya. -Bernama

Sentuhan spa pelajar istimewa, buktikan mereka ada bakat – Sinar Harian


Sentuhan spa pelajar istimewa, buktikan mereka ada bakat

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 September 2012
Sentuhan spa pelajar istimewa, buktikan mereka ada bakat
Antara pelajar lelaki yang mengikuti kursus refleksologi menunjukkan kemahiran masing-masing mengurut kaki rakan-rakan mereka sendiri.

Masyarakat hari ini semakin obses dengan soal penjagaan dan keadaan fizikal diri dan pastinya ramai yang sudah acap kali mengunjungi pusat rawatan kecantikan atau spa untuk tujuan itu biarpun terpaksa berhabis wang ringgit demi mendapatkan perkhidmatan yang dihajati.

Mana tidaknya, pasti terasa nikmat apabila membiarkan fikiran melayang dengan tangan atau badan diurut dan kaki direndam dalam larutan terapi bunga-bungaan apatah lagi tatkala setelah penat bekerja.

Namun, bagaimana pula agaknya jika jari-jemari yang membuat urutan badan, kaki, rawatan muka dan dandanan rambut itu milik remaja istimewa?

Apakah mereka berupaya melaksanakannya sesempurna mereka yang terlatih dan dilahirkan normal?

Tembok itu cuba dipecahkan oleh Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Indahpura, Kulaijaya, satu-satunya sekolah program pendidikan khas di Johor yang memberi peluang kepada pelajar istimewa berusia 16 hingga 19 tahun turut serta dalam arus pendidikan perdana negara.

Belajar urus perniagaan sendiri

Sekolah yang menempatkan seramai 158 pelajar masalah penglihatan, masalah pendengaran dan pembelajaran mula belajar kemahiran spa seperti refleksologi meliputi urutan kaki, tangan dan badan, penjagaan muka dan dandanan rambut muda kepada pelajar istimewanya sejak dua tahun lalu.

Mulai Julai tahun ini pula, sekolah itu mengorak langkah baru apabila turut mengadakan Program Perintis 5nemophia kepada 22 pelajarnya selepas mereka tamat mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sebagai ujian keupayaan mereka mengurus perniagaan sendiri yang terbahagi kepada dua kumpulan.

Menurut Guru Penolong Kanan 1, Zaidah Mahadi, kemahiran spa dan kecantikan yang ditawarkan itu dipercayai satu-satunya sekolah pendidikan khas yang dilaksanakan sebagai membuktikan kekurangan bukan halangan untuk meningkatkan kemahiran.

“Kesemua kemahiran ini membolehkan mereka memiliki kelebihan setelah tamat pelajaran yang sekurang-kurangnya boleh menambahkan pendapatan sampingan pada masa akan datang. Syukur setelah dua tahun dilaksanakan, bakat dan kelebihan mereka dapat ditonjolkan dan mulai mendapat perhatian.

“Bahkan, tenaga mereka kini mulai memenuhi jemputan dalam pelbagai program yang diadakan di sekolah lain termasuk Hari Ibu Bapa, Hari Kantin, Hari Kokurikulum dan lain-lain serta pusat membeli-belah sekitar Kulaijaya.

“Secara tidak langsung, mereka boleh menjana pendapatan sampingan masing-masing. Dengan duit yang dikumpul, mereka dapat membeli barang keperluan mereka, maklumlah bukan semua berasal dari kalangan berada.

“Tidak kurang juga, oleh sebab sekolah kami satu-satunya melahirkan tenaga yang berkemahiran dalam bidang ini, mereka sering ‘dipinang’ lebih awal oleh rata-rata majikan yang sedia maklum tentang kemahiran yang dimiliki biarpun mereka belum tamat belajar,” katanya.

Ada sudah dapat tawaran kerja

Ketika kunjungan ke Reflexology Edu-Tourism One Stop Centre di SMPKV Indahpura, Kulaijaya beberapa pelajar menunjukkan kepakaran menggunting, mendandan rambut, mencuci rambut, mengurut kaki dan tangan serta membuat rawatan muka kepada wartawan Sinar Harian.

Sementara itu, pelajar bermasalah penglihatan, Kamarul Al Muhaimin Manan, 19, yang berasal dari Melaka berkata, dia baru sahaja menduduki peperiksaan SKM dan kini telah ada pihak menawarkannya bekerja sebagai tukang urut refleksologi.

“Buat masa ini saya sedang memikirkan tawaran berkenaan. Lagipun saya sedang mengikuti kursus yang dianjurkan oleh pihak sekolah untuk memantapkan pengalaman menguruskan perniagaan,” katanya yang bercita-cita menjadi ahli refleksologi berjaya suatu hari nanti.

Pengalaman yang sama turut dikongsi pelajar bermasalah pendengaran, Siti Nurbaya Mohd Hoe, 18, yang berasal dari Pahang. Dia amat gembira kerana berpeluang mendapat bimbingan dan latihan di sekolah tersebut.

“Pada awalnya agak sukar memahami pembelajaran guru. Syukur, kawan-kawan saya banyak membantu. Tahun ini saya bakal mengambil Sijil Pelajaran Malaysia dan saya mahu berusaha bersungguh-sungguh untuk tunjuk kepada masyarakat bahawa insan istimewa mampu berjaya,” ujarnya yang mengambil kursus dandanan rambut selain menjadi salah seorang pelajar harapan sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, guru subjek pendandan rambut muda, Siti Zulikah Hussin berkata, pada awalnya agak mencabar juga apabila diberi tanggungjawab mengajar golongan istimewa ini apatah lagi pergerakan dan pemahaman mereka agak lambat.

“Untuk mengelakkan mereka berasa bosan, kami perlu menyediakan alat bantu mengajar untuk menimbulkan rasa seronok. Biarpun mereka ‘istimewa’, sebenarnya tersembunyi bakat dan kemahiran mereka yang tersendiri,” katanya.

Pelajar tingkatan empat maut – Sinar Harian


Pelajar tingkatan empat maut

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 September 2012
Pelajar tingkatan empat maut
Anggota JPAM memeriksa Muhammad Yusri dan didapati dia sudah meninggal dunia di Kampung Jawek. Gambar kecil: Muhammad Yusri Asyraf.

JERTIH –  Seorang pelajar Tingkatan Empat, Sekolah Menengah Vokasional Besut meninggal dunia apabila motosikal yang di boncengnya merempuh belakang sebuah kereta dalam kemalangan di Kampung Jawek dekat sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang, mangsa Muhammad Yusri Asyraf Ali, 16, dari Alor Lintang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, penunggang motosikal itu yang juga rakan sebaya mangsa mengalami kecederaan parah.

Menurutnya, sebelum kejadian sebuah kereta Kancil yang dipandu seorang wanita datang dari arah Jertih kemudian ingin memasuki lorong sebelah kanan jalan.

“Pada masa sama motosikal yang dinaiki mangsa datang dari arah belakang telah melanggar bahagian belakang sebelah kiri kereta menyebabkan kedua-dua mangsa menghentam kereta tersebut dan terpelanting di atas jalan,” katanya.

Kamaruddin berkata, akibat kemalangan itu mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala rakannya Mohd Ikhwan Kaswadi yang belajar di sekolah sama mengalami patah kaki kanan.

Mangsa dibawa ke Bilik Mayat Hospital Besut manakala rakannya dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Menurutnya, bagaimanapun wanita yang memandu kereta tersebut tidak mengalami kecederaan.

Mereka difahamkan dari Jertih dan ingin pulang ke rumah mangsa yang terletak di Rumah Awam (Tangki Air) Alor Lintang dekat Kampung Raja.

Dipukul main mercun, bapa buat laporan polis – Sinar Harian


Dipukul main mercun, bapa buat laporan polis

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 September 2012
Dipukul main mercun, bapa buat laporan polis
Jusop menunjukkan laporan polis sambil diperhatikan Mohd Adam.

TUMPAT – Angkara bermain mercun seorang kanak -kanak istimewa dipukul seorang lelaki berpakaian uniform di tengkuk, sehingga menyebabkan dia tersungkur ke tanah dan mengalami luka kecil di tapak tangan di hadapan rumahnya di Kampung Kebun, Pengkalan Kubor, di sini.

Dalam kejadian pada 28 Julai lalu, Mohd Adam Jusop, 15, bermain mercun bersama kawannya kira-kira jam 5.45 petang di dalam kawasan perumahan JKR, Pengkalan Kubor.

Ketika kawan Mohd Adam sedang leka bermain mercun, datang seorang lelaki beruniform mengejar mereka sehingga sampai di rumah Mohd Adam yang terletak beberapa meter dari perumahan JKR itu.

Bapa mangsa, Jusop Ibrahim, 64, berkata, dia kesal dengan tindakan anggota beruniform itu kerana memukul anak angkatnya itu, Mohd Adam sehingga menyebabkan kecederaan.

“Anak saya melarikan diri dengan menunggang basikal ketika dikejar lelaki beruniform ini.

“Bila sampai di hadapan rumah saya, dia terjatuh dari basikal, dan tersungkur selepas dipukul lelaki itu di tengkuk,” katanya.

Jusop berkata, bila bunyi bising di luar rumah, dia keluar dan sempat melihat tindakan lelaki berkenaan menyepak basikal anaknya serta mengugutnya.

“Kalau dia (lelaki beruniform) ternampak Mohd Adam bermain lagi dalam kawasan perumahan JKR, akan dipukulnya, dan selepas itu dia menendang basikal dan terus berlalu,” katanya.

Jusop berkata, dia cukup kesal dengan tindakan lelaki tersebut kerana seakan menyalahgunakan kuasanya sebagai anggota berpakaian uniform.

Katanya, berikutan kejadian itu, dia membuat  laporan polis di Pejabat Polis Pengkalan Kubor dan meminta kes ini disiasat.

Sebak kenang kawan – Metro


Sebak kenang kawan

Oleh MOHD HELMI IRWADI MOHD NOR
mohdhelmi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Biarpun lebaran tahun ini disambut meriah, namun mengenangkan 11 rakan yang sudah tiada, ia sesuatu yang memilukan,” kata Muhammad Awie Abdul Latif, 13, penghuni Rumah Anak Yatim dan Hidayah Al-Hijrah (Rayda Hijrah) yang dahulunya dikenali sebagai Madrasah At-Taqwa, Hulu Langat, di sini.

Muhammad Awie yang ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri Dusun Tua, Ismail Sani di Padang Pekan Batu 14, Hulu Langat, semalam, berkata, dia masih terkenangkan kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa 11 rakannya, Mei tahun lalu.
“Saya sebak mengenangkan rakan yang tiada, apa lagi ketika meraikan sambutan Aidilfitri. Saya sangat merindui mereka,” katanya.

 

Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil itu berkata, sudah dua kali Aidilfitri diraikan selepas kejadian itu, namun setibanya lebaran, perasaan sedih semakin bertambah.
“Saya seronok berhari raya, mendapat pakaian dan duit raya, tapi semua ini tidak dapat dikongsi bersama 11 rakan yang sudah tiada,” katanya.
Berkongsi pengalaman rayanya, anak yatim tujuh beradik itu berkata, tahun ini dia meraikan lebaran bersama ibu, abang, kakak dan adiknya di rumah mereka di Kajang.

 

 

“Raya tahun ini sangat seronok berbanding tahun lalu kerana banyak sumbangan dan duit raya diterima,” katanya.
Zulkhairi Aminuddin, 14, yang juga pelajar SMK Abdul Jalil berkata, pengalaman belajar di Rayda Hijrah sesuatu yang menggembirakan kerana dia dan rakan menuntut ilmu dunia dan akhirat.

 

“Saya dihantar ke Rayda Hijrah kerana degil tapi bersyukur diri ini sudah berubah dan ibu bapa turut gembira dengan perubahan ini,” katanya.
Pengetua Rayda Hijrah, Khairrul Anwar Mohd Amin berkata, nama madrasah itu ditukar kerana pihaknya mewujudkan pentadbiran baru.
Katanya, selepas kejadian tanah runtuh, mereka ditempatkan di Lembah Azwin Resort selama seminggu sebelum dipindahkan sementara di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
“Baru-baru ini, kami diberi penempatan baru di Lot 833, Jalan Semungkis, sehubungan itu tindakan mengubah nama madrasah turut dibuat,” katanya yang memberitahu 31 pelajar kini di bawah jagaannya. Ismail berkata, program tahunan itu dibuat bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri dan pelbagai kunjungan kaum diterimanya.

Ibu 15 tahun lahir anak merdeka – Metro


Ibu 15 tahun lahir anak merdeka

Laporan dan foto JAUHARIATUL AKMAL JOHAR
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PASIR MAS: Seorang ibu muda berusia 15 tahun gembira menyambut kelahiran anak sulung sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di Hospital Pasir Mas (HPM), jam 3.50 petang, kelmarin.

Norfazlin Che Ab Rahim dan suaminya, Muhammad Helmi Ghazali, 18, menimang cahaya mata seberat 3.15 kilogram (kg) selepas dimasukkan ke hospital, jam 10 pagi.
Dia berkata kelahiran itu sungguh bermakna buat mereka kerana kali pertama menerima kehadiran orang baru.

 

“Kami bercadang menamakan bayi bertuah ini Muhammad Danish Ikram,” katanya.
Bayi lelaki berkenaan yang keempat daripada tujuh bayi dilahirkan pada Hari Kemerdekaan yang disambut seluruh negara, kelmarin.
Pengarah HPM, Dr Mohd Salleh Mat Jusoh berkata, ulang tahun kemerdekaan ke-55 negara tahun ini mencatat tujuh kelahiran bayi merdeka dan jumlah itu paling ramai.