URUSAN PEMANGKUAN PEMBANTU AM PEJABAT GRED N1 KE GRED N4 BAGI TAHUN 2012 KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


URUSAN PEMANGKUAN PEMBANTU AM PEJABAT GRED N1 KE GRED N4 BAGI TAHUN 2012 KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

 Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan mengadakan urusan pemangkuan Pembantu Am Pejabat Gred N1 ke Gred N4. Maklumat lanjut boleh dimuatturun di bawah.

Semakan Keputusan Permohonan Program Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani 2012


Semakan Keputusan Permohonan Program Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani 2012

Adalah dimaklumkan semakan keputusan pendaftaran pelajar DAPJ ambilan
5 September 2012 boleh disemak menerusi  url berikut :
           http://apps.moe.gov.my/abpg/dapj  (sila klik)

Sejarah Buktikan Peperiksaan SPM, STPM Tidak Halang PRU Diadakan – mStar


Sejarah Buktikan Peperiksaan SPM, STPM Tidak Halang PRU Diadakan

PETALING JAYA: Walaupun timbul spekulasi Pilihan Raya Umum (PRU) tidak akan diadakan ketika minggu peperiksaan SPM dan STPM, sejarah membuktikan sebaliknya apabila ia pernah berlaku pada 1999.

Tarikh mengundi untuk PRU ke-10 ditetapkan 29 November pada tahun itu ketika peperiksaan SPM dijadualkan berlangsung pada 22 November hingga 10 Disember manakala STPM pada 17 November hingga 13 Disember.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Pendidikan pada waktu itu mengumumkan peperiksaan pada 29 dan 30 November ditangguhkan bagi memberi laluan kepada para guru untuk mengundi.

Peperiksaan untuk program matrikulasi turut ditangguhkan iaitu dari 11 Disember kepada 14 Disember.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pilihan raya pada masa lalu kebanyakannya diadakan pada separuh pertama tahun itu.

Selain daripada PRU pada 1999, tiada pilihan raya yang diadakan pada bulan November atau Disember.

PRU pertama pada 1959 diadakan pada 19 Ogos.

PRU seterusnya diadakan pada 25 April 1964, 10 Mei 1969, 24 Ogos 1974, 8 Julai 1978, 22 April 1982, 3 Ogos 1986, 21 Oktober 1990, 25 April 1995, 21 Mac 2004 dan 8 Mac 2008.

Pada tahun ini, peperiksaan SPRM akan diadakan pada 5 November hingga 6 Disember manakala STPM pada 19 November hingga 13 Disember.

Walaupun hak istimewa untuk membubarkan Parlimen terletak di tangan kerajaan yang memerintah, SPR akan menentukan tarikh mengundi dan penamaan calon serta tempoh berkempen, kata Wan Ahmad.

“Selepas Parlimen dibubarkan, SPR mempunyai 60 hari untuk mengadakan pilihan raya. Apabila memutuskan tarikh terutamanya untuk membuang undi, kami perlu mengambil kira beberapa faktor selain cuaca.

“Kita juga perlu ingat bahawa premis yang digunakan sebagai pusat mengundi kebanyakannya adalah sekolah-sekolah. Jadi kita tidak harus mengganggu kelas dan aktiviti persekolahan terutamanya peperiksaan,” katanya.

Wan Ahmad berkata 80% pusat mengundi adalah sekolah-sekolah dan 80% pekerja pada PRU melibatkan para guru.

Musim haji tidak menjadi kekangan untuk mengadakan pilihan raya.

Pada 1964, PRU diadakan pada 25 April, dua hari selepas Hari Raya Aidiladha.

PRU pada 1986 diadakan pada 3 Ogos iaitu 13 hari sebelum Aidiladha manakala PRU 1995 berlangsung pada 25 April ketika perayaan itu diraikan pada 10 Mei.

Menurut Lembaga Tabung Haji, kumpulan pertama jemaah haji yang dianggarkan berjumlah 27,900 orang pada tahun ini akan berlepas ke Arab Saudi pada 17 September.

Waktu puncak musim haji adalah ketika Aidiladha yang diramal jatuh pada 26 Oktober ini.

Kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia dijadualkan kembali semula ke tanah air pada 29 November ini.

Pulangkan segera anak saya – Sinar Harian


Pulangkan segera anak saya

NOOR AZIANTY NORMAN
4 September 2012
Jun Han.
Jun Han.

KUANTAN – “Setiap malam saya tidak dapat melelapkan mata, saya terlalu rindukan anak saya. Pulangkan anak saya!”

Begitulah rintihan seorang ibu yang kehilangan anaknya sejak 17 Ogos lalu, dipercayai dibawa lari oleh kakak iparnya yang dikenali sebagai Yoke Ken yang tinggal di Ampang, Selangor.

Siew Lai Yee, 29, berkata, pada 17 Ogos lalu, anaknya Pan Jun Han, 6, dibawa bercuti oleh adik iparnya ke Genting Highlands bersama kakak iparnya itu.

Namun, ketika adik iparnya itu pulang ke Kuantan, dia memberitahu Lai Yee bahawa anaknya itu dibawa pulang ke Ampang bersama Yoke Ken untuk menghabiskan cuti sekolah di sana.

“Pada mulanya saya tidak kisah serta tidak mengesyaki apa-apa kerana sebelum ini pun dia (Jun Han) sudah biasa tinggal bersama ibu saudaranya. Tetapi kali ini, lain pula jadinya.

“Saya telah menghubungi kakak ipar supaya dia menghantar Jun Han pulang berikutan sesi persekolahan akan bermula, tetapi dia enggan berbuat demikian dengan alasan dia mahu menjaga anak saya,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan, semalam.

Tambahnya, dia cuba untuk mencari anaknya di Ampang pada 28 Ogos lalu, namun apabila menghubungi kakak iparnya itu, dia memberitahu Jun Han bukan di bawah jagaannya lagi.

“Saya tidak tahu alamat tempat tinggal kakak ipar, yang saya tahu dia tinggal di Ampang. Bila dia memberitahu bahawa Jun Han sudah tiada di rumahnya, saya bertindak membuat laporan polis.

“Sudah banyak kali saya tanya di mana mereka sorokkan anak saya, namun tidak pernah mendapat kerjasama. Demi keselamatan anak saya, saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan,” katanya.

Ibu kepada tiga anak ini berkata, sejak kehilangan Jun Han, dia tidak lena tidur serta tidak henti berusaha untuk mendapatkan semula anaknya itu.

“Anak saya seorang yang manja dan saya memang rapat dengannya. Sejak ayahnya terpaksa ditukarkan ke Australia atas tuntutan kerja empat bulan lalu, dia banyak menghabiskan masa dengan saya.

“Jadi, bila dia tidak ada, saya rasa sunyi kerana setiap malam saya tidur bersamanya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chong Siang berkata, beliau pernah cuba menghubungi Yoke Ken, namun panggilannya itu dijawab dengan kasar.

“Dia (Yoke Ken) enggan memulangkan Jun Han apabila saya meminta dia berbuat demikian dan pernah memberitahu ingin menukar sekolah Jun Han di Ampang.

“Bagaimanpun, kami tidak pasti di mana Jun Han berada sekarang. Justeru, saya minta sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kanak-kanak ini menghubungi talian 09-5138300,” katanya.

Suspek rogol anak majikan dicari – Sinar Harian


Suspek rogol anak majikan dicari

HASNIZA HUSSAIN
4 September 2012
Suspek rogol anak majikan dicari
Mohd Adnan menunjukkan gambar suspek bagi membantu siasatan kes rogol di Pandamaran, Klang baru-baru ini.

SHAH ALAM – Seorang pekerja warga Bangladesh disyaki merogol anak majikan sendiri berusia tujuh tahun, ketika mangsa ditinggalkan bersama kakaknya berusia lapan tahun di rumah mereka di Pandamaran, Klang, 25 Ogos lalu.

Ibu bapa mangsa keluar rumah kira-kira jam 2 petang, manakala suspek berusia 31 tahun berada di luar kediaman itu sedang melakukan kerja-kerja membasuh kanopi.

Sumber berkata, sebaik ibu bapa mangsa beredar, suspek mengambil kesempatan masuk ke rumah  milik majikannya itu dan terus mengarahkan mangsa berbaring di bahagian ruang tamu.

Katanya, suspek baru dua bulan bekerja dengan bapa mangsa, terus merogol kanak-kanak itu dan ia dilihat kakak mangsa.

Menurutnya, setelah ibu  bapa mangsa pulang, kanak-kanak itu mengadu sakit di bahagian kemaluan, sebelum kakak mangsa menceritakan kejadian yang berlaku.

“Ibu bapa mangsa buat laporan polis dan pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang mengesahkan mangsa dirogol,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, pihaknya sedang mencari seorang lelaki bernama Sahadat Hossai, bagi bantu siasatan.

“Sesiapa mengenali atau mempunyai maklumat diminta ke balai polis terdekat atau hubungi 03-33762222,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Difahamkan, suspek mempunyai dokumen sah bekerja di negara ini dan menyewa di kawasan Pandamaran.

Tujuh sekolah perintis program golf di Lembah Klang – Sinar Harian


Tujuh sekolah perintis program golf di Lembah Klang

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 September 2012
Mohamed Zain Yusuf
Naib Presiden PGM Datuk Mohamed Zain Yusuf

PERSATUAN Golf Malaysia (PGM) akan melaksanakan program perintis pembangunan sukan golf peringkat akar umbi di tujuh sekolah di Lembah Klang mulai Januari tahun depan.

Naib Presiden PGM Datuk Mohamed Zain Yusuf berkata, Kementerian Pelajaran  memilih tiga Sekolah Menengah Kebangsaan dan empat Sekolah Kebangsaan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor bagi tujuan berkenaan.

Sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan St John, Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Hartamas, Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat Bandar Baru Bangi, Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Sekolah Kebangsaan St John I, Sekolah Kebangsaan Saujana Impian dan Sekolah Kebangsaan Bandar Utama Damansara II.

“Kita berbincang dengan Bahagian Sukan KPM dan menerusi program satu murid satu sukan, mereka bersetuju untuk memperkenalkan golf sebagai satu pilihan sukan dalam kurikulum sekolah.

“Seramai 44 guru akan dilatih dalam prinsip asas sukan dan golf. Guru-guru itu juga perlu memastikan kelab golf yang ditubuhkan di setiap sekolah bergerak secara aktif,” katanya.

Menurutnya, kerajaan bersetuju memperuntuk RM500,000 setahun bagi mencari bakat baru golf di peringkat akar umbi, selama empat tahun bermula tahun depan.

“Secara kasar setiap sekolah akan menghantar 35 pelajar mereka untuk berlatih di tiga pusat latihan yang akan dipilih, selama dua tahun,” katanya.

Penjawat awam perlu teruskan momentum transformasi – Utusan


Penjawat awam perlu teruskan momentum transformasi

PUTRAJAYA 3 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan para penjawat awam agar memastikan momentum kejayaan agenda transformasi negara tidak diperlahankan atau terbantut di tengah jalan.

Beliau berkata, agenda transformasi bukan hanya telah menampakkan kejayaan yang membanggakan tetapi juga memperoleh pengiktirafan pelbagai pihak, termasuk dari luar negara.

“Dalam bulan Syawal ini, yang hendak cuti, sudah cuti, nak balik kampung, sudah balik kampung, bonus sudah dapat dan kenaikan gaji pun sudah dapat.

“Jadi sekarang ini kita mesti teruskan momentum itu sebab Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan semua program bawah Lautan Biru sudah menampakkan kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Najib, beliau yakin dan percaya jika agenda transformasi negara berjalan lancar dan memiliki strategi pelaksanaan yang berkesan, kesannya pasti akan dirasai oleh rakyat dan golongan sasar.

“Di sinilah peranan penjawat awam amat penting kerana strategi pelaksanaan itu mesti berkesan dan ikut jadual supaya ia dapat dirasai oleh rakyat dan golongan sasar kita,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dari segi indikator makro, suku kedua ekonomi negara berkembang pada kadar 5.4 peratus berbanding 4.9 peratus suku pertama tahun ini.

Malah, beliau menambah, Malaysia muncul sebagai pusat tawaran awam permulaan (IPO) ketiga terbesar dunia selepas Amerika dan China dan IPO kedua terbesar di dunia ialah Felda Global Ventures Holdings, manakala ketiga ialah IHH Healthcare.

“Media antarabangsa pula sejak kebelakangan ini membuat liputan semakin positif mengenai Malaysia,” katanya.

“Ini termasuk media yang sebelum ini amat kritikal mengecam negara kini dilihat beralih arah, dan mengakui bahawa banyak pembaharuan positif serta pembangunan sebenar sedang berlaku dalam negara,” katanya.

Najib berkata, aspek pendapatan per kapita dan kesejahteraan rakyat merupakan dua kriteria utama yang dijadikan kayu pengukur dalam menilai kejayaan model pembangunan negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, kedua-dua kriteria tersebut mempunyai hubung kait antara satu sama lain kerana jika salah satunya mengalami gangguan atau kekangan, maka keberkesanan model itu pasti terbantut.

“Kita cuba gubal model pembangunan negara ini secara bitara dan unik, kita tidak pinjam seratus peratus model (pembangunan) dari barat atau timur, tapi kita mesti punyai kemampuan untuk membangunkan model pembangunan sendiri yang sesuai untuk rakyat kita,” katanya.

Najib berkata, perarakan sempena Hari Kemerdekaan negara baru-baru ini yang turut menyaksikan pembabitan kepimpinan tinggi perkhidmatan awam negara termasuk Ketua Polis Negara serta Panglima Angkatan Tentera, amat bermakna.

Kata Perdana Menteri, kesanggupan kepimpinan tinggi perkhidmatan awam turun padang bersama rakyat, mengambil bahagian secara simbolik semasa melaungkan tema merakyatkan perkhidmatan awam, memberi isyarat jelas bahawa perkhidmatan itu sanggup bersama rakyat.

“Mereka juga memahami cita rasa rakyat dan sanggup berusaha gigih, jujur dan ikhlas, agar jangkaan rakyat dapat dipenuhi kerajaan,” katanya.

517,139 calon duduki UPSR mulai Selasa depan – Bernama


517,139 calon duduki UPSR mulai Selasa depan

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Seramai 517,139 calon berdaftar akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari 11 hingga 13 September di 8,284 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia hari ini, ia melibatkan 507,783 calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, 9,345 calon sekolah swasta penghantar Bahasa Melayu dan 11 calon dari sekolah swasta penghantar Bahasa Cina.

Semua calon diminta merujuk kepada Jadual Waktu Peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

UPSR kali ini melibatkan 52,172 petugas peperiksaan. – BERNAMA