Mahadzir bukan hanya tokoh politik malah penulis sejarah politik – Bernama


Mahadzir bukan hanya tokoh politik malah penulis sejarah politik

5 September 2012

KUALA LUMPUR – Allahyarham Datuk Mahadzir Mohd Khir, 67, yang meninggal dunia kerana angin ahmar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini hari ini, bukan hanya seorang tokoh politik tanah air, tetapi juga seorang penulis sejarah politik negara.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu yang pernah bertugas sebagai pensyarah dalam bidang Politik Malaysia dan Sejarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM) lebih dua dekad, telah menghasilkan banyak artikel dan buku mengenai politik tanah air.

Antara hasil penulisannya ialah Dinamika Politik Kepartian Melayu: Satu Persoalan Nilai (1997), Proses Transformasi Politik Malaysia: dari Raja ke Rakyat (1997), Sejarah Politik Melayu (1996), Pemuda Umno 1993-1996 Reaksioner, Proaktif atau Pengikut (1991).

Mahadzir yang dilahirkan di Kedah pada 16 Mei 1945, memulakan karier sebagai seorang guru telah melanjutkan pelajarannya ke UM, sebelum ke University of West Michigan dan University of Chicago, Amerika Syarikat.

Semasa di UM, Allahyarham pernah dipilih sebagai Presiden Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (KKAUM).

Mahadzir yang bertanding buat pertama kali dalam pilihan raya umum 1999 untuk kerusi Parlimen Sungai Petani, telah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan.

Pada Mac 2004, Allahyarham telah dilantik sebagai timbalan menteri di kementerian itu, dan dua tahun kemudian pada 14 Februari 2006, Mahadzir antara tiga timbalan menteri yang digugurkan oleh Perdana Menteri pada masa itu Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam rombakan Kabinet pertamanya selepas memegang tampuk pemerintahan dan menerajui Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2003.

Sebagai seorang yang suka membaca dan meminati buku, Mahadzir semasa memegang jawatan sebagai setiausaha Parlimen dan timbalan menteri, giat menggalakkan minat membaca di kalangan pelajar dengan memperluaskan Pusat Bacaan Rakyat (PUBARA) ke seluruh Kedah, serta memberi perhatian yang lebih kepada perpustakaan sekolah rendah untuk memantapkan lagi kemudahan sedia ada. – Bernama

Pemergian Mahadzir Satu Kehilangan Pada Arena Keintelektualan Negara – PM – Bernama


Pemergian Mahadzir Satu Kehilangan Pada Arena Keintelektualan Negara – PM

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemergian bekas Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir sebagai satu kehilangan besar kepada arena politik dan keintelektualan negara.

Perdana Menteri berkata, sebagai individu yang telah dikenalinya sejak sekian lama, Allahyarham dilihat sebagai seorang tokoh yang tegas dan berani dalam mengeluarkan pendapat walaupun bertentangan namun bernas.

“Allahyarham seorang ahli politik yang saya anggap sebagai berani, selalu keluarkan pendapat yang bernas, tidak takut untuk mengeluarkan pendapatnya semasa beliau menjadi anggota Parlimen dan Timbalan Menteri Pendidikan.

“Saya dah kenal Allahyarham lama, terutama sekali sewaktu saya jadi Ketua Pemuda Umno Malaysia, kami selalu adakah percambahan fikiran dan saya hargai beliau sebagai tokoh intelek yang mampu untuk beri pandangan dan pendapat yang berguna lagi bernas,” katanya kepada pemberita ketika menziarahi jenazah allahyarham di rumah bekas timbalan menteri itu di sini, malam Rabu.

Najib berkata, pemergian Allahyarham, yang juga bekas pensyarah di Universiti Malaya dan pakar sejarah itu merupakan satu kehilangan yang tidak ternilai dalam arena politik dan pendidikan kerana perwatakannya yang suka mengeluarkan pendapat dan tidak takut untuk menyatakan pendapat berbeza sukar diganti.

“Kita amat hargai keberanian beliau dari segi keintelektualannya,” katanya.

Perdana Menteri yang tiba pada 8.11 malam dilihat berbicara dengan isteri Allahyarham, Datin Dr Amla Mohd Salleh dan tiga anaknya sebelum masuk ke rumah bagi menziarahi jenazah.

Najib yang berpakaian baju Melayu putih dan bersongkok kemudiannya bersalaman dengan tetamu lain sebelum meninggalkan rumah Allahyarham.

Mahadzir, 67, meninggal dunia pada 4.30 petang ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas dimasukkan ke pusat itu petang semalam akibat diserang strok.

Jenazah Allahyarham dijangka disolatkan di Masjid Seksyen 14, Petaling Jaya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada 10 pagi esok. – BERNAMA

Bekas Timbalan Menteri Pelajaran Meninggal Dunia – mStar


Bekas Timbalan Menteri Pelajaran Meninggal Dunia

 

Dr Mahadzir Mohd Khir. Foto mykedah2.com

 

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir disahkan meninggal dunia pada petang Rabu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5 petang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat serangan jantung petang pada Selasa.

Beliau dilahirkan di Kedah pada 16 Mei 1945 dan pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani setelah memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 1999.

Allyarham merupakan bekas guru dan pernah menjadi pensyarah di Jabatan Sejarah di Universiti Malaya, presiden Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (KKAUM).

Sewaktu memegang jawatan sebagai timbalan menteri pelajaran, beliau memberi penekanan utama kepada para pelajar sekolah rendah terhadap pendidikan berasaskan teknologi maklumat terutama komputer.

Mempunyai minat membaca, beliau telah memperluaskan kewujudan Pusat Bacaan Rakyat (PUBARA) yang terdapat dibanyak daerah dalam Negeri Kedah.

Allahyarham turut memberi lebih perhatian kepada perpustakaan sekolah rendah untuk memantapkan lagi kemudahan sedia ada.

Jenazah allahyarham akan dibawa ke kediamannya di Seksyen 14, Petaling Jaya dan dijangka akan dikebumikan pada pagi Khamis.

Kekosongan Jawatan Sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG44/48/52 Di Kolej Matrikulasi KPM


Kekosongan Jawatan Sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG44/48/52 Di Kolej Matrikulasi KPM

Untuk maklumat lanjut, sila muat turun Dokumen Permohonan Jawatan di sini.

TAKWIM MESYUARAT LEMBAGA KENAIKAN PANGKAT PERKHIDMATAN PELAJARAN (LKPPP) NO. 2 BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN LEPASAN DIPLOMA (PPPLD) TAHUN 2012 (BAGI URUSAN KENAIKAN PANGKAT KE GRED 28 HINGGA GRED 42 ATAU GRED SETARAF)


TAKWIM MESYUARAT LEMBAGA KENAIKAN PANGKAT PERKHIDMATAN PELAJARAN (LKPPP) NO. 2 BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN LEPASAN DIPLOMA (PPPLD) TAHUN 2012 (BAGI URUSAN KENAIKAN PANGKAT KE GRED 28 HINGGA GRED 42 ATAU GRED SETARAF)

TAKWIM MESYUARAT LEMBAGA KENAIKAN PANGKAT PERKHIDMATAN PELAJARAN (LKPPP) NO. 2 BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN LEPASAN DIPLOMA (PPPLD) TAHUN 2012 (BAGI URUSAN KENAIKAN PANGKAT KE GRED 28 HINGGA GRED 42 ATAU GRED SETARAF) BOLEH DI MUATTURUN DI BAWAH

IKLAN KEKOSONGAN JAWATAN PINJAMAN SEBAGAI PAKAR DI SEAMEO RECSAM, PULAU PINANG


IKLAN KEKOSONGAN JAWATAN PINJAMAN SEBAGAI PAKAR DI SEAMEO RECSAM, PULAU PINANG

   IKLAN KEKOSONGAN JAWATAN PINJAMAN SEBAGAI PAKAR DI SEAMEO RECSAM, PULAU PINANG BOLEH DIMUATTURUN DI BAWAH

IKLAN KEKOSONGAN JAWATAN JURULATIH SENI GRED 29-44 (JAWATAN TERBUKA) SECARA PERTUKARAN SEMENTARA DI SEKOLAH SENI MALAYSIA


IKLAN KEKOSONGAN JAWATAN JURULATIH SENI GRED 29-44 (JAWATAN TERBUKA) SECARA PERTUKARAN SEMENTARA DI SEKOLAH SENI MALAYSIA

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Kementerian Pelajaran Malaysia mempelawa calon yang berkelayakan berpotensi dan mempunyai komitmen yang tinggi untuk mengisi jawatan Jurulatih Seni Gred 29-44 (Jawatan Terbuka) Secara Pertukaran Sementara di Sekolah Seni Malaysia.

Sila Lihat lampiran.

Sekian terima kasih

Ibu tuntut keadilan kes anak ditampar guru – Sinar Harian


Ibu tuntut keadilan kes anak ditampar guru

WARTAWAN SINAR HARIAN
5 September 2012
Norhayati menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Changkat Jering.
Norhayati menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Changkat Jering.
Keratan akhbar Sinar Harian bertarikh 1 Ogos lalu.
Keratan akhbar Sinar Harian bertarikh 1 Ogos lalu.

AIR KUNING – Sebuah keluarga di sini menuntut pembelaan berhubung kes seorang pelajar tingkatan tiga yang mengalami masalah pendengaran setelah ditampar seorang guru disiplin penghujung Mei lalu.

Ibu mangsa, Norhayati Mansor, 40, berkata, sejak berita keadaan anaknya disiarkan, tiada pihak terlibat yang tampil berbincang bagi menyelesaikan kes itu.

Menurutnya, dia dan keluarga agak kesal apabila kes anaknya itu tidak diberi perhatian serius jabatan berkaitan.

“Setiap kali kami menghubungi mereka, pelbagai alasan diberikan, kami hanya mahu duduk berbincang mengenai kes ini, jika mereka bersalah, mereka harus bertanggungjawab,” katanya.

Dalam laporan 1 Ogos lalu, Syed Hafiz Al Raimi Syed Mohamad Amin, 15, ditampar dengan kuat dibahagian telinga kiri oleh guru disiplinnya pada hari terakhir persekolahan.

Insiden yang berlaku hanya kerana kesalahan gaya rambut itu menyebabkan pendengaran mangsa terjejas.

Norhayati berkata, buat masa ini, pihaknya sudah mengeluarkan kos lebih RM500 bagi pembiayaan rawatan anaknya di sebuah hospital swasta.

Katanya, dia dan keluarga menaruh harapan tinggi agar keadaan pendengaran anaknya kembali pulih.

“Saya harap Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dapat membantu kami dengan segera mengatur satu pertemuan antara guru yang terbabit bagi menyelesaikan kes ini secepat mungkin,” katanya.

Cubaan bakar kelas gagal – Sinar Harian


Cubaan bakar kelas gagal

IZWAN ROZLIN
5 September 2012
Cubaan bakar kelas gagal
Buku latihan dibakar untuk memulakan api di sebuah kelas tingkat 3, di tingkat 2, Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Damai, semalam.

PETALING JAYA – Tindakan pantas pengawal keselamatan sebuah pasar raya berjaya menyelamatkan sebuah kelas Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Damai daripada terbakar.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi semalam itu, pengawal keselamatan terbabit yang sedang bertugas di pasar raya berhadapan sekolah itu ternampak api menyala dari salah sebuah kelas di tingkat 2 lalu bertindak memaklumkan kepada penduduk berhampiran.

Anggota Biro Keselamatan Apartmen Idaman, Fatah Mubin, 36, berkata, dia yang menerima panggilan terus bergegas ke sekolah terbabit sebelum bertindak memaklumkan kepada pengawal keselamatan bertugas.

“Kami memaklumkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan sekolah namun sebaik tiba di blok bangunan terbabit, pintu jeriji untuk naik ke tangga berkunci dan terpaksa diumpil bagi
membolehkan kami masuk,” katanya

Menurutnya, sebuah kerusi plastik turut musnah selepas suspek cuba memulakan api  dengan melonggokkan buku latihan yang ditinggalkan di dalam kelas tingkat 3 itu.

“Hos pemadam api tidak berfungsi menyebabkan api terpaksa dipadamkan menggunakan air paip dari tandas,” katanya.

Difahamkan, pemeriksaan lanjut oleh polis tidak menemui sebarang kesan pecah namun yakin suspek cuba mengkhianati sekolah.

Susulan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Damansara Damai berhubung kejadian yang berlaku.

Pelajar Maut Dalam Perlumbaan Motosikal – Bernama


Pelajar Maut Dalam Perlumbaan Motosikal

KUANTAN: Seorang pelajar yang dipercayai berlumba dengan beberapa rakannya maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar tiang elektrik di Jalan Semantan Felda Keratong 4, Bandar Baru Tun Razak, Rompin pada Selasa.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian 12.30 malam itu mangsa, Muhammad Khalil Qusyairi Abdul Halim, 15, dipercayai sedang berlumba dengan beberapa rakannya.

“Perlumbaan yang bermula dari Masjid Felda Keratong 4 itu telah menyebabkan motosikal yang ditunggangi mangsa terbabas ke kiri jalan kira-kira 100 meter sebelum garisan penamat di Simpang Jalan Utama Felda Keratong 4.

“Ekoran kejadian itu motosikal mangsa telah merempuh tiang elektrik manakala mangsa jatuh terlentang di atas jalan sebelum meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Komuniti berhampiran,” katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata mangsa yang tidak mempunyai lesen dan tidak memakai topi keledar meninggal dunia akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang lagi penunggang motosikal maut apabila kenderaannya dilanggar sebuah kereta di Jalan Kuantan Bypass dekat Pelabuhan Kuantan berhadapan stesen minyak Shell Balok pada 8.15 pagi Selasa.

Katanya mangsa, Ngadinam Panjan, 54, seorang suri rumah dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kemaman.

Fauzi berkata sampai di tempat kejadian mangsa dipercayai telah mengubah laluan dari kiri ke kanan jalan untuk membuat pusingan U.

Namun katanya motosikal yang ditunggangi mangsa telah dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta yang berada dilorong kanan laluan sama.

Beliau berkata mangsa yang terjatuh di atas jalan meninggal dunia di tempat kejadian. – BERNAMA