Pelajar & Guru Terperangkap Dalam Banjir Kilat Di Serdang – Bernama


Pelajar & Guru Terperangkap Dalam Banjir Kilat Di Serdang

KUALA LUMPUR: Kira-kira 600 pelajar dan 23 guru dari dua buah sekolah di Taman Sri Serdang dekat sini, terpaksa diselamatkan pasukan bomba dan penyelamat selepas terperangkap dalam kejadian banjir kilat pada Selasa.

Hujan lebat selama dua jam sejak pukul 4.30 petang itu menyebabkan air dari longkang besar di kawasan berkenaan melimpah sehingga setinggi 1.5 meter dan menenggelamkan 100 kenderaan milik penduduk dan 30 milik guru di Sekolah Kebangsaan Sri Serdang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Indah.

Tinjauan Bernama setakat pukul 8 malam tadi mendapati pelajar dan guru sesi petang dua buah sekolah berkenaan masih terperangkap. Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul, operasi menyelamat dan memindahkan pelajar serta guru sedang giat dijalankan.

“Satu jentera dari Balai Bomba Serdang bersama-sama tujuh anggota digegas ke kawasan banjir untuk operasi itu,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama malam Selasa.

Mohd Sani berkata laporan awal mendapati banjir kilat itu melibatkan kawasan sekolah dan beberapa kawasan perumahan di sekitar Seri Kembangan, Jalan Serdang Jaya dan kawasan Kajang.

Sementara itu, Pengerusi Rukun Tetangga Taman Sri Serdang Khalid Lambak berkata air mula surut sejak pukul 7 malam tadi, dan kebanyakan penghuni rumah yang terjejas sibuk membersihkan rumah mereka.

Sementara itu, jurucakap Trafik Bukit Aman ketika dihubungi, berkata banjir kilat mengakibatkan kesesakan sepanjang 15 kilometer dari ibu kota menghala ke selatan sejak pukul 5.30 petang Selasa.

Katanya kesesakan berpunca daripada penutupan jalan di Km 305 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Seremban.

Laluan hanya akan dibuka semula selepas banjir surut dan pengguna diminta menggunakan jalan alternatif untuk ke Bangi dan Kajang, katanya. -BERNAMA

MKKM bimbang hukuman ringan perogol gadis bawah umur – Utusan


MKKM bimbang hukuman ringan perogol gadis bawah umur

KUALA LUMPUR 4 Sept. – Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM) melahirkan kebimbangan terhadap pelaksanaan hukuman ringan oleh mahkamah dalam dua kes rogol melibatkan gadis bawah umur, baru-baru ini.

Kebimbangan tersebut disuarakan oleh Pengerusinya, Tan Sri Zaleha Ismail yang berpendapat hukuman ringan tersebut seolah-olah mengabaikan mangsa dan memberikan keutamaan terhadap pesalah.

Jelas beliau, badan perundangan langsung tidak mengambil perhatian terhadap kesengsaraan yang bakal dilalui oleh kanak-kanak yang teraniaya.

“Bukankah kanak-kanak itu juga harus diberikan pertimbangan sewajarnya?

“Adalah diragui sama ada hak, perlindungan dan kepentingan yang terbaik apatah lagi masa depan kanak-kanak bawah umur telah dan akan terus dipertahankan dan dilindungi dalam kes yang melibatkan rogol bawah umur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

SSeMJB dinobat juara dunia – Berita Harian


SSeMJB dinobat juara dunia

05/09/2012 – 05:18:30 AM Oleh Noor Atiqah SulaimanCetakEmel Kawan
Pelajar SSeMBJ bersama sijil dan piala dimenangi pada pertandingan World Championship of Folklore setibanya di KLIA, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail
Pelajar SSeMBJ bersama sijil dan piala dimenangi pada pertandingan World Championship of Folklore setibanya di KLIA, semalam. – Foto Fariz Iswadi Ismail

Menang emas tarian, muzik tradisional pertandingan di Bulgaria

Sepang: Sekolah Seni Malaysia Johor Bahru (SSeMJB) dinobatkan juara keseluruhan Pertandingan World Championship of Folklore 2012 selepas memenangi pingat emas bagi kategori tarian dan muzik tradisional.

Mereka menewaskan 70 kumpulan dari 26 negara bagi merebut salah satu anugerah kesenian tersohor pada peringkat antarabangsa dalam pertandingan kedua itu.

Sekolah berkenaan turut dianugerahkan pingat emas bagi persembahan individu yang menjadi milik Nurul Farahin Mustafa, 16, bagi acara nyanyian dalam pertandingan yang berlangsung di Nessebar, Bulgaria antara 29 Ogos hingga 2 September lalu.

Terima penghormatan

Sebagai juara keseluruhan pula, SSeMJB menerima penghormatan Grand Prix Golden Orpheus selain diiktiraf johan yang melayakkannya menerima Gold Diploma bagi kategori Folklore Ensembles.

Kemenangan itu juga melayakkan sekolah menerima 1,000 Euro (RM3,910) dan diploma daripada penganjur pertandingan, World Championship of Folklore.
Kumpulan 19 pelajar Tingkatan Empat dan Lima bertanggungjawab memasyhurkan nama negara, yang dikenali sebagai Warisan Art Troupe of Johor itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 3 petang semalam.

Menyambut kepulangan pelajar berkenaan di KLIA ialah Timbalan Pengarah (Kokurikulum dan Kesenian) Kementerian Pelajaran, Mohamed Yamin Mohamed Yusuf, yang menyuarakan rasa bangga dengan pencapaian SSeMJB di persada global.

“Mereka mengharumkan nama Malaysia dan membuatkan negara kita terkenal di pentas dunia, malah masyarakat seni antarabangsa kini mengiktiraf seni kebudayaan negara.

“Ini adalah pembabitan kali kedua SSeMJB pada peringkat antarabangsa. Kali pertama, mereka bertanding dalam pertandingan seumpamanya di St Petersbug, Russia.

“Namun, usaha kali ini lebih berbaloi lagi bermakna kerana memenangi anugerah keseluruhan. Orang luar pun kini sudah mengiktiraf bakat pelajar kita,” katanya.

Pada pertandingan yang diadakan November tahun lalu di Russia, SSeMJB menyertainya bersama Sekolah Seni Malaysia Kuching, Sarawak (SSeMKS) dan memenangi Silver Diploma serta Anugerah Khas Juri.

SSeMJB dan SSeMKS juga masing-masing memenangi Anugerah Persembahan Terbaik serta Kostum Terbaik manakala jurulatih mereka menerima Bronze Diploma.