Peguam Negara Failkan Rayuan Kes Rogol – mStar


Peguam Negara Failkan Rayuan Kes Rogol

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada 28 Ogos lalu yang membebaskan seorang juruelektrik dengan ikat jamin RM25,000 dan bon jaminan berkelakuan baik atas tuduhan merogol gadis bawah umur.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam satu kenyataan hari ini berkata rayuan tersebut telah difailkan pada 29 Ogos lalu.

Jabatan itu juga akan memohon agar pendengaran rayuan di Mahkamah Tinggi dipercepatkan kerana berpendapat ia wajar dihujahkan semula isu tafsiran undang-undang berkaitan hukuman bagi kesalahan rogol terhadap kanak-kanak serta pemakaian sewajarnya peruntukan Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah terhadap kesalahan serius sedemikian, katanya.

Dalam kes tersebut, Hakim Mahkamah Sesyen Sitarun Nisa Abdul Aziz membebaskan Chuah Guan Jiu, 22, yang dihakimi mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol teman wanitanya berusia 12 tahun, tahun lepas, setelah mengambil kira faktor usia tertuduh yang masih muda dan ini merupakan kesalahan pertamanya.

Abdul Gani berkata jabatan itu juga meneliti keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Melaka terhadap satu lagi kes rogol, yang mana pemain boling kebangsaan Noor Afizal Azizan yang disabit di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah telah dibebaskan dengan perintah berkelakuan baik kerana merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di Ayer Keroh Melaka pada 2009.

Katanya pihaknya mengambil kira bahawa kes itu telah dibicara dan didengar sehingga ke tahap mahkamah yang terakhir mengikut undang-undang, yang mana pembuatan rayuan lanjut ke Mahkamah Persekutuan tidak lagi mungkin.

Dalam hal ini, katanya, Jabatan Peguam Negara sedang menimbangkan penggunaan kuasa inheren mahkamah dengan mengambil kira bahawa kuasa untuk membuat semakan tersebut sepatutnya terbatas kepada salah aturan tatacara yang tidak melibatkan kesalahan atau perkara substantif.

“Jabatan ini juga perlu mengambil kira keperluan bagi kemuktamadan sesuatu keputusan mahkamah khususnya apabila keputusan kes telah berakhir di Mahkamah Rayuan berdasarkan bidang kuasa rayuannya. “Jabatan berpendapat bahawa penyimpangan keadilan ini bagi mereka yang paling memerlukan perlindungan undang-undang perlu diperbetulkan,” katanya.

Beliau berkata Jabatan Peguam Negara memandang serius kedua-dua keputusan mahkamah tersebut dan berpendirian bahawa kes rogol menghendaki hukuman deteren dikenakan untuk menunjukkan kebencian dan ketidaksenangan masyarakat terhadap perbuatan jenayah hina sedemikian. “Jabatan ini berpendapat bahawa kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, terutamanya kesalahan yang melibatkan mangsa kanak-kanak, yang pada hakikatnya meningkatkan keseriusan kesalahan tersebut, bukan suatu kesalahan di bawah hal keadaan yang meringankan dan bukan kes yang mewajarkan budi bicara mahkamah di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah digunakan, tidak kira sama ada pesalah merupakan pesalah kali pertama mahupun pesalah muda,” katanya.

Abdul Gani berkata secara prinsip dan moralnya, seseorang yang melebihi umur 18 tahun, terutamanya yang dikenali dan dipercayai oleh mangsa kanak-kanak tidak wajar mengambil kesempatan terhadap seseorang kanak-kanak kerana kanak-kanak pada usia bawah 18 tahun masih belum mencapai kematangan yang sewajarnya. Katanya, walaupun dikatakan terdapat keizinan daripada seorang mangsa kanak-kanak bagi sesuatu perlakuan seksual, namum kesahihan keizinan tersebut perlu dipersoal memandangkan usia dan ketidakmatangan fikiran kanak-kanak tersebut.

“Pada hakikatnya, adalah mustahil seorang kanak-kanak yang belum matang fikirannya dapat memahami kesan dan akibat keizinan yang diberikan untuk membolehkan suatu keizinan yang berkesan di sisi undang-undang,” katanya. Abdul Gani berkata kes jenayah rogol terhadap mangsa di bawah masing-masing umur 16 dan 12 tahun kian menurun.

Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, pada tahun 2009, kes rogol melibatkan mangsa bawah 13 tahun ialah 281 kes, sementara yang melibatkan mangsa antara 13 dan 15 tahun ialah 1,767 kes.

Statistik ini menurun kepada 1,777 kes pada tahun 2010 (214 kes bagi bawah 12 tahun, 1,563 kes bagi 13 hingga 15 tahun), dan seterusnya kepada 1,652 kes pada tahun 2011, iaitu 202 kes melibatkan mangsa berumur bawah 12 tahun dan 1,450 melibatkan mangsa berumur antara 13 dan 15 tahun.

Setakat Julai tahun ini, jumlah kes rogol statutori yang dilaporkan ialah 859 kes, iaitu 109 melibatkan mangsa bawah 12 tahun dan 750 kes melibatkan mangsa berumur 13 hingga 15 tahun.

“Salah satu faktor penurunan tersebut ialah hukuman berat yang telah diperkenalkan pada tahun 2007 dan dilaksanakan dengan sewajarnya oleh mahkamah setakat ini,” katanya. Abdul Gani berkata merujuk kepada statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung pendaftaran kelahiran anak tanpa maklumat bapa di mana ibu berumur di bawah 18 tahun, ia jelas menunjukkan bahawa ramai kanak-kanak bawah 18 tahun telah melahirkan anak luar nikah akibat daripada tindakan seseorang dewasa yang telah mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak tersebut.

Beliau berkata mengikut statistik JPN dari tahun 1997 hingga Julai 2012 mengenai perkara tersebut mengikut keturunan, sebanyak 14,370 kes telah dilaporkan iaitu kaum Melayu mencatatkan sebanyak 8,269 kes, diikuti dengan kaum lain-lain iaitu sebanyak 4,940 kes.

Kaum Cina dan India masing-masing mencatatkan 739 dan 423 kes.

Samsor sanggup ‘korban’ kereta demi selamatkan murid – Kosmo


Samsor sanggup ‘korban’ kereta demi selamatkan murid

SAMSOR menunjukkan keretanya yang rosak teruk akibat banjir di Serdang semalam.

 

SERDANG – Seorang guru Sekolah Kebangsaan Seri Serdang (SKSS) di sini sanggup ‘mengorbankan’ kenderaannya demi menyelamatkan nyawa 30 pelajar dalam kejadian banjir kilat di sini kelmarin.

Menceritakan detik-detik cemas itu, Samsor Asrul Saad, 34, berkata, ia bermula apabila hujan lebat selama dua jam yang bermula sejak pukul 4.30 petang.

“Pada mulanya saya berniat hendak bawa kereta saya ke tempat selamat apabila melihat air mulai naik tetapi selepas melihat anak-anak murid saya dalam ketakutan saya membatalkan niat itu,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Samsor kemudiannya bertindak memindahkan semua murid ke tingkat atas bangunan tiga tingkat itu ekoran bimbang keselamatan mereka.

Bagaimanapun, tindakannya menyebabkan kenderaan pelbagai guna jenis Proton Exora yang dibelinya dua tahun lepas rosak teruk akibat banjir.

Banjir terburuk sejak 27 tahun lalu – Kosmo


Banjir terburuk sejak 27 tahun lalu

 

Oleh MOHD. ZAINI SAMSU HADI
zaini.hadi@kosmo.com.my

 

TIGA murid membantu membersihkan kelas mereka yang dilanda banjir di SKSS, Serdang semalam.

 

SERDANG – Penduduk mendakwa banjir kilat yang melanda di sini kelmarin merupakan bencana paling buruk pernah berlaku sejak 27 tahun lalu.

Rata-rata mendakwa sistem perparitan yang tidak sempurna menjadi punca kejadian tersebut berlaku selain tidak mampu menampung hujan lebat.

Tinjauan mendapati, penduduk dan peniaga menyalahkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran serta pihak berkuasa tempatan yang dikatakan gagal mengurus sistem perparitan dengan baik.

Seorang peniaga restoran, Haniffa Syed Mohamad, 63, berkata, sebelum ini, banjir kilat yang berlaku tidak seteruk kelmarin.

“Saya telah berniaga di sini sejak 12 tahun lalu dan banjir kilat yang berlaku adalah yang terburuk sekali. Ada kata paling teruk sejak 27 tahun lalu,” katanya ketika ditemui semalam.

Seorang lagi peniaga, Lee Chee Chin, 48, pula memberitahu, akibat kejadian itu dia menanggung kerugian RM30,000 ekoran alat ganti motosikalnya ditenggelami air.

“Saya tidak sempat hendak menyelamatkan barang-barang dalam kedai kerana banjir berlaku sekelip mata,” ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Zon 20 Serdang, Kamaruzaman Ibrahim pula mengaitkan faktor tadbir urus yang kurang sempurna menjadi punca berlaku banjir kilat.

“Kawasan ini sudah membangun. Disebabkan itu, pihak yang terlibat perlu lebih teliti sebelum meluluskan projek pembangunan baharu agar penduduk sedia ada tidak terjejas seperti apa yang berlaku hari ini,” jelasnya.

Sumbang mahram: Pengutip kelapa sawit dipenjara, sebat – Utusan


Sumbang mahram: Pengutip kelapa sawit dipenjara, sebat

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 5 Sept. – Seorang pengutip kelapa sawit terpaksa meringkuk dalam penjara selama 15 tahun dan dikenakan sebatan 12 kali atas dua kesalahan sumbang mahram dengan anak perempuannya yang ketika kejadian berusia 12 tahun.

Demikian keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini diketuai oleh Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus ketika menolak rayuan akhir lelaki itu terhadap sabitan manakala rayuan terhadap hukuman dibenarkan.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Lim Yee Lan mengurangkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 24 kali yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang mengekalkannya.

Panel itu menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan enam kali bagi setiap tuduhan. Hukuman diperintah berjalan serentak.

Pada 6 November 2009, Mahkamah Sesyen Melaka menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 12 kali bagi setiap tuduhan yang diperintahkan berjalan serentak. Mahkamah Tinggi pula mengekalkannya pada 14 Januari tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, V. Shoba manakala lelaki berusia 47 tahun itu diwakili oleh peguam V. Aravindhakshan. – UTUSAN

Kandungan kurikulum Sejarah yang baharu sedang dirangka – Utusan


Kandungan kurikulum Sejarah yang baharu sedang dirangka

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, kerajaan sedang merangka kandungan kurikulum Sejarah yang baharu khusus untuk pelajar sekolah menengah berpandukan perakuan dikemukakan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkembangan itu bermatlamat melahirkan warganegara yang mempunyai semangat patriotisme tinggi terutama di kalangan generasi muda. – UTUSAN