Buruh dipercayai dera anak angkat teman wanita sehingga mati diburu polis – Bernama


Buruh dipercayai dera anak angkat teman wanita sehingga mati diburu polis

7 September 2012

MELAKA – Seorang lelaki dipercayai mendera anak angkat teman wanitanya berumur enam tahun sehingga mati di Taman Telok Emas di sini.

Mangsa, Noor Sofia Syaqira disahkan meninggal dunia oleh doktor di Unit Kecemasan Hospital Melaka sebaik dihantar ke unit tersebut oleh ibu bapa lelaki terbabit untuk mendapatkan rawatan pada 7.55 pagi Ahad lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Supt P.R. Gunarajan berkata pemeriksaan awal mendapati mangsa yang dijaga sejak berusia dua bulan oleh wanita tersebut mempunyai banyak kesan dera lama dan baru termasuk lebam di seluruh anggota badan.

Beliau berkata hasil bedah siasat kemudian mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala, dada dan perut akibat dipukul dan ditumbuk.

Justeru katanya polis kini giat mengesan teman lelaki ibu angkat kanak-kanak terbabit, yang berusia 32 tahun, seorang buruh yang mempunyai alamat terakhir di Jalan Kampung Bandar Dalam, Gombak bagi membantu siasatan.

Gunarajan berkata lelaki terbabit juga dipercayai turut mendera anak perempuan teman wanitanya yang berusia 5 tahun.

Beliau berkata ibu mangsa yang merupakan seorang suri rumah dan tinggal bersama lelaki terbabit sejak berpindah ke Melaka pada April lepas kini ditahan reman bagi membantu siasatan sehingga 11 Sept depan.

Katanya siasatan awal mendapati suspek dibebaskan dari penjara Simpang Renggam pada 2008 dan mempunyai 14 rekod jenayah lampau termasuk empat kes dikehendaki polis melibatkan dadah dan samun di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang awam agar menyalurkan maklumat berkaitan lelaki terbabit dengan menghubungi talian 019-6905585 (ASP R. Kumares) atau balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.- Bernama

Muhyiddin: Kerajaan akan lancar tranformasi pendidikan pribumi Sabah, Sarawak – Bernama


Muhyiddin: Kerajaan akan lancar tranformasi pendidikan pribumi Sabah, Sarawak

7 September 2012
TPM: Kerajaan sedia 3.3 juta pekerjaan menjelang 2020
Tan Sri Muhyiddin Yassin.

LANGKAWI – Kerajaan akan melancarkan program transformasi pendidikan khas bagi masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak dalam usaha meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan masyarakat di negeri itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan menyedari tidak boleh menggunakan formula yang sama untuk semua pihak kerana ada masyarakat yang memerlukan tumpuan dan perhatian tertentu.

“Tak boleh sama, kaum-kaum minoriti, sub etnik perlu program khusus. Akan ada satu program dilancarkan untuk kepentingan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Langkawi di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan telah melancarkan program tranformasi pendidikan anak-anak Orang Asli yang dilakukan di Pahang.

“Kita mahu atasi masalah ketidakhadiran ke sekolah, keciciran dan prestasi pembelajaran rendah supaya tahap pendidikan anak-anak Orang Asli dapat ditingkatkan,” katanya.- Bernama

Bonus: Tunggu Bajet 2013, kata KSN – Bernama


Bonus: Tunggu Bajet 2013, kata KSN

7 September 2012
Bonus: Tunggu Bajet 2013, kata KSN
Bajet 2013

PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa enggan mengulas mengenai pemberian bonus kepada penjawat awam dalam Bajet 2013 yang dijadual  dibentangkan 28 September nanti, sebaliknya meminta semua pihak menunggu hari  pembentangan tersebut.

“Kita tunggulah 28 haribulan ni. Saya rasa setiap bajet memang bajet terbaik. Kita tunggu saja pada hari bajet nanti,” katanya mengenai jangkaan terhadap bajet tersebut kepada pemberita selepas melawat Wisma Putra di sini hari ini.

Ali diminta mengulas mengenai permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk diberi bonus dua bulan gaji dalam bajet berkenaan.

Mengenai lawatan itu, Ali berkata, ia sebahagian daripada aktiviti ‘turun padang’ yang dipraktikkannya dalam usaha untuk mendekati pegawai kerajaan serta mengambil berat mengenai kebajikan mereka.

“Saya sangat berpuas hati dengan apa yang dilakukan di Wisma Putra. Saya rasa pegawai di sini berkaliber dan mempunyai pengalaman yang luas dari segi hubungan diplomatik dan menjalankan tugas-tugas mereka dengan cemerlang,” katanya. – Bernama

Ketua Hakim: Kes rogol pemain boling boleh disemak semula – Bernama


Ketua Hakim: Kes rogol pemain boling boleh disemak semula

7 September 2012
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria

PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria hari ini berkata Mahkamah Rayuan boleh menyemak semula kes pemain boling negara Noor Afizal Azizan yang dibebaskan dengan perintah berkelakuan baik kerana merogol gadis bawah umur.

Beliau berkata Pejabat Peguam Negara boleh memfailkan semakan semula kes itu, bagaimanapun mahkamah itu akan meneliti kewajaran bagi mahkamah itu menggunakan bidang kuasanya untuk menyemak semula kes itu.

“Jika Peguam Negara (yang merupakan pendakwa raya) memohon (bagi semakan semula), mahkamah boleh meneliti kewajaran untuk menggunakan bidang kuasanya untuk merayu. Mahkamah boleh putuskan kemudian. Saya tidak dapat ramalkan apa yang akan terjadi. Tidak wajar (untuk saya beri ulasan),” kata Arifin kepada pemberita ketika ditemui pada rumah terbuka Hari Raya di Istana Kehakiman di sini.

Ketua Hakim Negara berkata demikian ketika diminta mengulas kes mahkamah baru-baru ini membabitkan individu yang dituduh merogol gadis bawah yang hanya dikenakan bon jaminan berkelakuan baik dan bukannya hukuman penjara.

Dalam kenyataan dikeluarkan pada Rabu, Peguam Negara  Tan Sri Abdul Gani Patail berkata pihak pendakwaan sedang menimbangkan penggunaan kuasa inheren Mahkamah Rayuan untuk menyemak keputusannya.

Pada 8 Ogos tahun ini, Mahkamah Rayuan dipengerusikan oleh Presidennya Tan Sri Md Raus Sharif mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Melaka yang membebaskan Noor Afizal dengan perintah berkelakuan baik selama lima tahun dengan ikat jamin RM25,000 kerana merogol gadis berumur 13 tahun.

Panel itu mengenepikan tempoh penjara lima tahun yang dikenakan ke atas Noor Afizal oleh Mahkamah Tinggi Melaka yang membenarkan rayuan pendakwaan bagi hukuman lebih berat, selepas Mahkamah Sesyen melepaskannya dengan bon jaminan berkelakuan baik selepas mengaku salah merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka antara 12.30 pagi dan 5 pagi pada 5 Jun, 2009.

Kepada soalan mengenai juruelektrik Chuah Guan Jiu yang juga dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik oleh Mahkamah Sesyen Pulau Pinang selepas didapati bersalah merogol gadis bawah umur, Arifin berkata adalah subjudis untuk beliau mengulas kes itu ketika ini.

“Peguam Negara sedang merayu (keputusan Mahkamah Sesyen), ia akan mewujudkan keadaan prejudis terhadap kes rayuan (jika beliau (Arifin) mengulasnya).

“Tetapi kami akan menelitinya. Kami akan pertimbangkan semua aspek kes ini. Keputusan Mahkamah Rayuan adalah muktamad. Tiada apa yang kami dapat lakukan,” katanya.

Mahkamah Rayuan yang merupakan mahkamah tertinggi bagi mahkamah majistret dan sesyen mempunyai bidang kuasa untuk menggunakan kuasa inherennya untuk menyemak semula kes tetapi perlu dalam keadaan luar biasa.

Kes rogol dibicarakan di Mahkamah Sesyen dan peringkat terakhir ialah di Mahkamah Rayuan.

Mengenai badan kehakiman, Arifin berkata mulai tahun depan, badan itu akan menumpukan terhadap usaha menyelesaikan kes-kes tertunggak di Mahkamah Shah Alam  kerana terdapat banyak kes jenayah yang sedang menunggu untuk dibicarakan dan juga kes-kes sivil.

Arifin berkata beliau yakin badan kehakiman mampu menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh dua tahun.

Beliau berkata badan kehakiman telah berjaya menyelesaikan kes-kes di Mahkamah Kuala Lumpur tahun lepas. – Bernama

Kurikulum baru Sejarah harus terap jati diri Malaysia sebagai asas bina negara – Bernama


Kurikulum baru Sejarah harus terap jati diri Malaysia sebagai asas bina negara

7 September 2012

KUALA LUMPUR – Kurikulum baru subjek Sejarah di peringkat sekolah menengah yang sedang dirangka harus mampu menerapkan semangat pembinaan jati diri sebagai asas perpaduan kepada pembinaan sebuah negara, kata Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena).

Ketua Satu Gapena Prof Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata kurikulum subjek Sejarah juga harus berpaksikan kepada Perlembagaan dan Rukun Negara.

Beliau yang menyambut baik langkah kerajaan itu berkata ia memang relevan memandangkan usaha menanam semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar melalui pelajaran Sejarah walaupun ada, masih tidak mencukupi.

“Kurikulum baru itu harus memberi penekanan lebih kepada pemahaman dan penghayatan perjalanan pembentukan sebuah negara Malaysia itu.

“Dalam hal ini, pemahaman itu tidak boleh lari dari sejarah Kesultanan Melayu, manakala peranan kaum lain dalam perjuangan itu pun tidak harus diketepikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan kini dalam proses merangka kurikulum baru subjek Sejarah dalam usaha memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Abdul Latiff berkata pendekatan kepada pembelajaran dan pengajaran subjek Sejarah yang sering kali dianggap ramai sebagai matapelajaran yang membosankan juga harus dikaji semula.

“Kurikulum baru itu harus digubal dalam cara di mana ia dapat merangsang pelajar untuk berfikir dan bertindak secara rasional, bukan sekadar hafalan semata-mata untuk lulus peperiksaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Felo Penyelidik di Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia Datuk Dr Denison Jayasooria, yang sependapat dengan Abdul Latiff berkata patriotisme perlu menunjukkan rasa hormat dan sayang kepada raja, sultan dan bendera kebangsaan, yang merupakan simbol penting negara.

Beliau juga mencadangkan supaya panel itu dianggotai ahli akademik dan pemimpin daripada semua etnik untuk merangka kurikulum baru berkenaan.

Beliau berkata kurikulum baru itu juga harus mencerminkan pengorbanan dan sumbangan semua kumpulan etnik dalam membentuk negara ini dari peringkat awal penubuhannya hingga sekarang.

“Sejarah dan perjalanan kita membina negara bangsa harus mencerminkan dan menggambarkan semua kaum di negara ini,” katanya.

Beliau berkata subjek itu juga perlu ditangani secara matang dan rasional untuk menggambarkan fakta sejarah dan konflik yang berlaku.

Denison berkata turut sama penting, anggota politik di negara ini perlu menunjukkan model terbaik kepada generasi muda dalam memupuk semangat patriotisme. – Bernama

Pelajar sekolah agama bikin gempar – Sinar Harian


Pelajar sekolah agama bikin gempar

SITI SAFA MOHD NOR
7 September 2012
Pelajar sekolah agama bikin gempar
Muhammad Redhuan Ruslan

PARIT – Warga sebuah sekolah agama di sini gempar selepas salah seorang pelajarnya tiba-tiba menghilangkan diri selepas berkelakuan pelik kerana enggan berbuka puasa bersama rakan-rakan.

Kehilangan pelajar berkenaan, Muhammad Redhuan Ruslan, 13, itu disedari rakan dan penjaga sekolah berkenaan selepas solat Maghrib malam kelmarin.

Menurut rakan mangsa, Ahmad Sulaiman Md Shaari, 17, berkata, pada hari itu pelajar sekolah berkenaan berpuasa enam.

“Muhammad Redhuan menunjukkan kelakuan pelik apabila memberitahu tidak mahu berbuka puasa dan makan pada hari itu,” katanya.

Bagaimanapun, mereka tidak mengesyaki sesuatu kerana selepas itu Muhammad Redhuan berkelakuan biasa sehinggalah mereka menyedari dia sudah tidak ada di sekolah.

“Sebelum itu juga, kami melihat dia mengira duit selain duduk termenung di atas katil dan tidak mengesyaki dia akan menghilangkan diri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Tadbir Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Addin 9, Baharudin Abdul Rahman berkata, kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Ini adalah kali pertama kejadian seumpama ini berlaku kerana sebelum ini, jika ada pelajar-pelajar yang mengalami masalah mereka akan datang mengadu kepada kami dan kami akan memanggil ibu bapa untuk berbincang.

“Pelajar itu sudah belajar di sini selama sembilan bulan dan sepanjang tempoh itu dia tiada sebarang masalah,” katanya.

Kehilangan pelajar itu akhir terungkai apabila dia ditemui di sebuah bendang kira-kira dua kilometer dari sekolah berkenaan.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Parit Amir Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan pelajar itu pada jam 10 pagi semalam.

“Kami tiba di tempat kejadian pada jam 10.16 pagi dan memulakan pencarian awal di tepi sungai iaitu di kawasan yang disyaki menjadi tempat mandi.

“Namun, didapati tidak terdapat jejak yang dipercayai mangsa telah hilang ke sungai,” katanya yang melibatkan anggota seramai sembilan orang dan diketuai olehnya.

“Akhirnya pencarian kami tamat apabila pelajar berkenaan berjaya di temui di kawasan bendang berhampiran pada jam 12.15 tengah hari.

“Kes ini dianggap selesai apabila mangsa hilang telah ditemui,” katanya.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman yang mengesahkan kejadian itu berkata, hasil siasatan mendapati pelajar itu sedang menghadapi kemurungan.

Tertuduh kes cabul naik angin, ugut jurugambar – Sinar Harian


Tertuduh kes cabul naik angin, ugut jurugambar

WARTAWAN SINAR HARIAN
7 September 2012

KUANTAN – Seorang pemandu lori yang didakwa atas tuduhan mencabul bertindak agresif apabila menjerit sambil mengugut untuk menendang jurugambar yang cuba merakam wajahnya ketika dibawa keluar dari kamar Mahkamah Majistret Kuantan, semalam.

Tertuduh, berusia 50 tahun dari Taman Seri Mahkota, Jalan Gambang juga cuba membaling selipar yang dipakai walaupun dalam keadaan tangan digari bersama tertuduh lain.

“Kenapa ambil gambar saya? Hendak kena sepak ke?,” jeritnya bagaimanapun kekecohan itu berjaya ditenangkan anggota polis yang mengiring.

Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang remaja berusia 16 tahun dengan maksud mencabul kehormatan apabila bertindak mencium pipi dan mulut gadis itu.

Kejadian dilakukan .dalam sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback di tepi jalan berdekatan sebuah premis di Jaya Gading kira-kira jam 4.57 pagi, 1 September lalu.

Mashudi didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ain Fadilla Md Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh memohon supaya dikurangkan jaminan dengan alasan terpaksa menyara dua isteri dan 16 anak.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh supaya menjauhkan diri dan tidak berhubung dengan pengadu sepanjang prosiding mahkamah berlangsung.

Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan kemudiannya menetapkan tarikh 18 September depan untuk lantikan peguam.

Murid tahun 3 lemas ketika mandi di tasik – Sinar Harian


Murid tahun 3 lemas ketika mandi di tasik

WARTAWAN SINAR HARIAN
7 September 2012

PASIR MAS – “Umi, esok (hari ni) sekolah adik cuti,” itu antara kata-kata terakhir kanak-kanak mati lemas di sebuah tasik, tidak jauh dari kediamannya di Gual To’ Deh, di sini, semalam.

Biarpun merasa pelik dengan kata-kata mangsa, Rabiatul Adawiyah Kamaruzaman, 9, murid Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Norizan Hamzah, 41, hanya memendamkannya dan tidak mengesyaki perkara buruk akan menimpa anaknya.

Ibu kepada lapan anak ini tidak menyangka dalam tempoh tiga tahun dia kehilangan tiga ahli keluarga.

Bagaimanapun, dia pasrah dengan ketentuan Ilahi dan sedar tuhan lebih menyayangi suami dan anak-anaknya.

Norizan berkata, berita kematian Rabiatul Adawiyah begitu berat diterimanya kerana sekali lagi diuji tuhan kehilangan orang tersayang.

Menurutnya, 26 Jun 2009 suami meninggal kerana pendarahan dalam otak, diikuti anak lelakinya pada 1 Ogos 2010 akibat masalah pada paru-parunya sejak kecil lagi.

“Saya reda kerana tuhan lebih sayangkan mereka, tetapi tidak menyangka cuti yang dimaksudkan rupa-rupanya dia tidak mahu ke sekolah.” katanya kepada Sinar Harian.

Norizan berkata, semalam dia ke Jeli kerana ada urusan di sana, selepas itu merancang ke Kota Bharu, bagaimanapun dia tidak sempat ke sana kerana dimaklumkan berita kematian anak ketujuh daripada lapan beradik itu.

Menurutnya, setelah diberitahu anaknya, Khaliman, 11, adiknya lemas barulah dia terkenang semula kata-kata itu.

“Sebelum ini arwah pernah mengikut abangnya mengail di tasik itu, dan kerap bercerita airnya cetek.

“Saya juga kerap berpesan supaya mereka berhati-hati jika ke tasik itu,” katanya.

Norizan berkata, anaknya ke tempat kejadian bersama abangnya Khaliman, 11, Firdaus, 13, dan adik bongsunya berusia lima tahun yang juga lelaki.

Menurutnya, dia dimaklumkan penduduk semalam air ditandak untuk menanam padi berbanding biasa agak cetek dan tidak terlalu risau anaknya ke sana.

“Sekarang hanya tinggal enam anak bersama saya tiga lelaki dan tiga perempuan,” katanya sedih mengenangkan kehilangan anak perempuannya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner (ACP) Haliludin Rahim mengesahkan menerima maklumat berhubung kejadian.

9 berhimpit bilik sempit – Metro


9 berhimpit bilik sempit

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: “Kami sembilan beranak terpaksa tidur berhimpit di bilik sempit ini pada waktu malam setiap kali air hujan menitis menerusi siling yang bocor di ruang tamu.

“Kami bukan enggan berpindah dari kediaman usang yang hanya mempunyai sebuah bilik ini namun dengan pendapatan RM600 sebulan, ia tidak cukup bagi membayar sewa rumah,” kata Ruziah Marzuki, 40, ketika ditemui di kediamannya di Jalan Labu, Kampung Bendahara di sini, semalam.
Ruziah berkata, kesempitan wang dihadapi sejak bergelar ibu tunggal hampir setahun lalu mengakibatkan dia tidak mampu membaik pulih rumah papan yang dihuni lebih 20 tahun itu.

 

Menurutnya, dia yang mempunyai anak berusia setahun hingga 18 tahun terpaksa bekerja sambilan supaya dapat memberi perhatian lebih kepada mereka sejak memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
“Selain mengambil upah menjahit, saya juga membantu kenalan yang memiliki perniagaan katering selain mempromosikan mesin layan diri minuman keluaran sebuah syarikat bagi menambah pendapatan.
“Walaupun melakukan tiga kerja sambilan bermula petang hingga malam, pendapatan diperoleh hanya kira-kira RM600 sebulan.

 

 

“Menyedari beban dipikul, anak kedua, Nur Farah Amirah Hamdi yang berumur 16 tahun bekerja sambilan di sebuah gerai makan berhampiran kediaman dengan pendapatan RM200 sebulan, ia digunakan bagi menampung perbelanjaan persekolahan adiknya.
“Begitu juga dengan anak sulung berumur 18 tahun, Mohd Fariezth, dia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat lapan kredit dalam peperiksaan itu. Bagaimanapun, Fariezth menangguhkan hasrat melanjutkan pelajaran kerana bekerja sambilan sebagai jurujual di pusat beli-belah bagi membantu keluarga,” katanya.

 

Selain Fariezth dan Nur Farah, enam anak Ruziah yang lain ialah Firdaus, 15; Nurfatihah Natasya,12; Mohd Faiz, 10; Nurfarisha, 17; Nurfardiena Najwa, tiga tahun dan Nurfarina, setahun.
Ruziah berkata, dia pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini dan berharap ia diluluskan.
Menurut Ruziah, bagi memastikan pendapatan keluarganya mencukupi, dia juga berjimat dalam soal pemakanan di mana dia hanya memasak makanan sederhana bagi mengisi perut ahli keluarga.
“Ia juga bagi mengelakkan keluarga kami terputus bekalan makanan. Saya biasanya menyediakan lauk telur masak kicap bersama nasi selain mi segera untuk mengurangkan kos perbelanjaan dapur.
“Melihat kesusahan kami, ibu saya yang dimamah usia dan tinggal berjiran selain adik-beradik ada kalanya menyumbang bekalan makanan.
“Hingga kini, saya tidak pernah mendesak bekas suami menghulurkan bantuan memandangkan dia juga bukan hidup senang, namun saya berdoa mampu menaik taraf keadaan keluarga bagi membolehkan anak menjalani kehidupan lebih selesa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/07

Bayi ditemui dalam mangkuk tandas hospital – Bernama


Bayi ditemui dalam mangkuk tandas hospital

KUANTAN 6 Sept. – Seorang bayi lelaki yang dipercayai baharu dilahirkan dijumpai mati dalam mangkuk tandas di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini kira-kira 4.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusof berkata berikutan itu seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun yang dipercayai melahirkan bayi tersebut telah ditahan di hospital berkenaan.

“Bayi lelaki berkenaan telah dijumpai mati di dalam sebuah mangkuk tandas di Wad Teratai 2C dengan keadaan kepala bayi itu terperosok ke dalam mangkuk tandas.

“Anggota bomba terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan bayi yang tersepit di dalam mangkuk tandas itu,” katanya.

Beliau berkata sebelum itu pihaknya menerima panggilan dari pihak hospital tentang perkara tersebut setelah dimaklumkan oleh petugasnya.

Mohd Jasmani berkata pelajar berkenaan berada di hospital itu kerana menemani ibunya yang menerima rawatan di situ.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Pengarah HTAA Datuk Dr Marlia Muhammed Salleh mengesahkan penemuan mayat bayi tersebut. – BERNAMA