Ketua Hakim: Kes rogol pemain boling boleh disemak semula – Bernama


Ketua Hakim: Kes rogol pemain boling boleh disemak semula

7 September 2012
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria

PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria hari ini berkata Mahkamah Rayuan boleh menyemak semula kes pemain boling negara Noor Afizal Azizan yang dibebaskan dengan perintah berkelakuan baik kerana merogol gadis bawah umur.

Beliau berkata Pejabat Peguam Negara boleh memfailkan semakan semula kes itu, bagaimanapun mahkamah itu akan meneliti kewajaran bagi mahkamah itu menggunakan bidang kuasanya untuk menyemak semula kes itu.

“Jika Peguam Negara (yang merupakan pendakwa raya) memohon (bagi semakan semula), mahkamah boleh meneliti kewajaran untuk menggunakan bidang kuasanya untuk merayu. Mahkamah boleh putuskan kemudian. Saya tidak dapat ramalkan apa yang akan terjadi. Tidak wajar (untuk saya beri ulasan),” kata Arifin kepada pemberita ketika ditemui pada rumah terbuka Hari Raya di Istana Kehakiman di sini.

Ketua Hakim Negara berkata demikian ketika diminta mengulas kes mahkamah baru-baru ini membabitkan individu yang dituduh merogol gadis bawah yang hanya dikenakan bon jaminan berkelakuan baik dan bukannya hukuman penjara.

Dalam kenyataan dikeluarkan pada Rabu, Peguam Negara  Tan Sri Abdul Gani Patail berkata pihak pendakwaan sedang menimbangkan penggunaan kuasa inheren Mahkamah Rayuan untuk menyemak keputusannya.

Pada 8 Ogos tahun ini, Mahkamah Rayuan dipengerusikan oleh Presidennya Tan Sri Md Raus Sharif mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Melaka yang membebaskan Noor Afizal dengan perintah berkelakuan baik selama lima tahun dengan ikat jamin RM25,000 kerana merogol gadis berumur 13 tahun.

Panel itu mengenepikan tempoh penjara lima tahun yang dikenakan ke atas Noor Afizal oleh Mahkamah Tinggi Melaka yang membenarkan rayuan pendakwaan bagi hukuman lebih berat, selepas Mahkamah Sesyen melepaskannya dengan bon jaminan berkelakuan baik selepas mengaku salah merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka antara 12.30 pagi dan 5 pagi pada 5 Jun, 2009.

Kepada soalan mengenai juruelektrik Chuah Guan Jiu yang juga dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik oleh Mahkamah Sesyen Pulau Pinang selepas didapati bersalah merogol gadis bawah umur, Arifin berkata adalah subjudis untuk beliau mengulas kes itu ketika ini.

“Peguam Negara sedang merayu (keputusan Mahkamah Sesyen), ia akan mewujudkan keadaan prejudis terhadap kes rayuan (jika beliau (Arifin) mengulasnya).

“Tetapi kami akan menelitinya. Kami akan pertimbangkan semua aspek kes ini. Keputusan Mahkamah Rayuan adalah muktamad. Tiada apa yang kami dapat lakukan,” katanya.

Mahkamah Rayuan yang merupakan mahkamah tertinggi bagi mahkamah majistret dan sesyen mempunyai bidang kuasa untuk menggunakan kuasa inherennya untuk menyemak semula kes tetapi perlu dalam keadaan luar biasa.

Kes rogol dibicarakan di Mahkamah Sesyen dan peringkat terakhir ialah di Mahkamah Rayuan.

Mengenai badan kehakiman, Arifin berkata mulai tahun depan, badan itu akan menumpukan terhadap usaha menyelesaikan kes-kes tertunggak di Mahkamah Shah Alam  kerana terdapat banyak kes jenayah yang sedang menunggu untuk dibicarakan dan juga kes-kes sivil.

Arifin berkata beliau yakin badan kehakiman mampu menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh dua tahun.

Beliau berkata badan kehakiman telah berjaya menyelesaikan kes-kes di Mahkamah Kuala Lumpur tahun lepas. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s